Artikel saya – Salah Faham Terhadap Wacana (Discourse) Wasatiyah

debating moderate islam

(Artikel ini diterbitkan di Wasat no. 12/December 2016. Lihat di sini.)

(c) Muhammad Haniff Hassan, 2016.

Pengenalan

Dua wacana agama berkaitan Islam muncul dan menjadi penting di era pasca Peristiwa 9/11; wacana menolak ideologi pelampauan atas nama Islam dan wacana wasatiyah (kesederhanaan).

Wacana menolak ideologi pelampauan atau seringkali juga dinamakan sebagai wacana deradikalisasi adalah usaha mendedahkan penyelewengan tafsiran ajaran Islam oleh kumpulan-kumpulan pelampau yang intipatinya ialah menyeru pada keganasan yang permisif (jihad tanpa batasan) bagi tujuan politik dan kuasa (penubuhan negara yang diatasnamakan Islam). Sasaran utama wacana ini ialah golongan yang terpengaruh dan bersimpati dengan kumpulan pelampau agar kembali ke fahaman Islam yang benar, walau pun ia juga disasarkan kepada masyarakat umum untuk tujuan pencegahan.

Wacana wasatiyah atau dikenali juga sebagai wacana kesederhanaan pula ialah wacana menjelaskan sifat wasatiyah sebagai inti bagi ajaran Islam dan bagaimana ia mempengaruhi cara mentafsir, memahami dan mengamalkan Islam dalam konteks tertentu, sebagai alternatif bagi ideologi kumpulan-kumpulan pelampau. Sasaran utamanya ialah masyarakat umum bagi membimbing mereka memahami Islam yang benar dan memelihara dari pengaruh kumpulan pelampauan. Disamping itu, ia juga menyasarkan mereka yang pernah dipengaruhi oleh ideologi pelampau dan mencari jawapan bagi masalah kehidupan dari sudut agama.

Kededua masalah ini berkaitan tapi juga berbeza. Wacana wasatiyah tidak semestinya bersifat anti-pelampauan (counter-extremism). Ia boleh bersifat penjelasan akan Islam yang sebenar pada konteks tertentu semata-mata dan bebas dari isu pelampauan. Isinya juga lebih positif – tidak semestinya disampaikan dalam bentuk kritikan terhadap fahaman yang melampau.

Dalam konteks Singapura, kededua wacana ini menjadi lebih menonjol dan penting, apabila berlaku penangkapan besar-besaran anggota Jemaah Islamiyah pada tahun 2001-2002 dan beberapa tangkapan kecil pada tahun sesudah itu.[1]

Kemunculan kededua wacana ini di era pasca Peristiwa 9/11 dan penangkapan anggota JI diringi dengan kontroversi. Sebahagian kontroversi ini muncul disebabkan oleh salah faham dan salah faham ini masih terus ada, walau pun era pasca Peristiwa 9/11 telah berlalu lebih dari sedekad.

Memandangkan kepentingan kededua wacana ini bagi kesejahteraan fahaman dan amalan agama masyarakat Islam Singapura, artikel ini akan cuba menjelaskan beberapa salah faham yang didapati dalam masyarakat berkaitan wacana wasatiyah.

Fokus pada wacana wasatiyah sahaja adalah kerana keterbatasan ruang untuk menyentuh kededua wacana sekali gus dalam satu artikel. Disamping itu, wacana wasatiyah lebih relevan bagi Wasat sebagai wadah untuk menguar-uarkan konsep wasatiyah kepada umum.

Wasatiyah tafsiran baru agamaalbaqarah114

Salah satu salah faham berkaitan wasatiyah ialah tanggapan bahawa ia satu konsep baru yang diperkenalkan dalam agama Islam, khususnya jika konsep ini dikemukakan dengan istilah kesederhanaan atau moderat.

Mungkin disebabkan penggunaan istilah tempatan, bukan Arab, menjadikan ia lebih bernuansa kontemporari dan dinilai asing dari tradisi ilmu Islam, sehingga istilah wasatiyah perlu lebih digunapakai untuk menggantikan perkataan kesederhanaan dan moderat dalam wacana ini.

Hakikatnya wacana wasatiyah mempunyai akar yang kuat dan lama dalam tradisi ilmu Islam.

Semua yang membicarakan tentang wasatiyah, walau pun berbeza dari segi konsep dan pengertian, tidak akan dapat elak dari merujuk pada ayat Al-Quran (2:143) dan seterusnya huraian para ulama tafsir apabila menjelaskan ayat berkenaan. Hal ini pula pasti membabitkan kita tafsir lengkap yang tertua dalam khazanah ilmu Islam, Tafsir Al-Tabari, sebagai salah satu sumber primer dan utama sebelum dapat menawarkan konsep wasatiyah pada fahaman mereka.[2]

Kewujudan perkataan wasat dalam ayat Al-Quran menjadikannya tumpuan semua ahli tafsir sepanjang zaman dan menatijahkan perbincangan mengenainya berakar di zaman silam. Bahkan, ia berakar pada generasi awal Islam.

Untuk menghuraikan erti wasat dari sudut etimologi sahaja pun, memerlukan rujukan pada hadis dan syarahnya bagi mendapatkan makna perkataan itu ketika digunakan di zaman Nabi s.a.w dan para sahabatnya.

kamali-wasatiyah-bookSememangnya, apa jua wacana dan perbahasan ada pasang surutnya sepanjang sejarah. Konsep wasatiyahtidak terkecuali dari ini. Ia muncul kembali dengan mendadak dan menjadi topik penting berkaitan ajaran Islam di era pasca Peristiwa 9/11 setelah sekian lama ia terkambus dalam timbunan khazanah ilmu Islam. Kemunculannya yang mendadak mungkin menjadikannya seperti sesuatu yang baru tetapi sebenarnya ia bukan satu tafsiran baru dan kontemporari. Sesiapa yang membaca penulisan-penulisan kontemporari berkaitan wasatiyah pun pasti akan dapati bahawa apa yang dikemukakan dari segi idea asasnya bukanlah berbeza dan baru berbanding apa yang telah dihuraikan oleh ulama dan pemikir Islam masa lalu, kecuali pada perincian yang membabitkan masalah-masalah yang bersifat kontemporari sahaja.

Sebagai contoh, buku bertajuk Moderation and Balance in Islam: The Qur’anic Principle of Wasatiyyah oleh Mohammad Hashim Kamali, yang bertujuan mengkonsepsikan wasatiyah dalam Islam merujuk pelbagai kitab-kitab turats dan tidak bergantung pada karya-karya kontemporari atau Barat semata-mata.[3]

Wasatiyah agenda Barat

Salah faham yang lebih serius ialah tanggapan bahawa wacana wasatiyah hanyalah agenda Barat untuk mempengaruhi fahaman dan amalan agama umat Islam sesuai dengan kehendak dan kepentingan mereka dan ini pula pasti akan menatijahkan penggadaian prinsip oleh umat Islam. Ia bukan Islam tulen, tapi Islam yang telah dicairkan untuk disesuaikan dengan kemodenan yang acuannya ialah falsafah dan ideologi dunia Barat.

rand-booksMereka yang mempunyai tanggapan ini sering merujuk pada buku-buku terbitan Rand, satu institut kajian mendapat biaya dari pemerintah Amerika Syarikat, yang bertajuk Civil Democratic Islam: Partners, Resources and Strategies dan Building Moderate Muslim Networks.[4] Buku-buku ini merakamkan kebimbangan pemerintah Amerika Syarikat (AS) mengenai ancaman ideologi pelampauan dari dunia Islam dan umatnya setelah mengalami Peristiwa 9/11 yang mengerikan. Ia mencadangkan polisi-polisi pro aktif bagi memelihara diri dari ancaman ini yang antara lain usaha untuk mencorakkan pemikiran umat Islam sesuai dengan acuan dan kepentingan AS dengan jenama “Islam Sederhana”. Dicadangkan juga selain itu usaha mengenal pasti kalangan umat Islam yang berkongsi pemikiran yang sama untuk dibina jaringan dengan mereka dan kemudiannya dijadikan rakan AS yang akan berbicara bagi pihaknya kepada umat Islam sejagat.

Kededua buku dan kandungannya seperti yang dinyatakan di atas adalah satu yang benar dan wujud, bukan mitos, rekaan atau dakwaan yang berdasarkan pemikiran “teori konspirasi” semata-mata.

Apa yang bermasalah di sini hingga menatijahkan salah faham ialah apabila kesemua mereka yang berbicara tentang wasatiyah dan kesederhanaan setelah Peristiwa 9/11 diletakkan dalam satu bakul yang sama, iaitu jurubicara AS atau tali barut  Barat bagi menjinakkan umat Islam dari menimbulkan ancaman kepada mereka serta mencairkan fahaman dan amalan Islam agar sesuai dengan ideologi dan nilai-nilai mereka yang berteraskan liberalisme.

Hakikatnya, terdapat segolongan ramai dari kalangan ulama dan pemikir Islam yang aktif dalam menguar-uarkan wacana wasatiyah bukan kerana menyokong agenda AS atau Barat dan bukan sebagai jurubicara, apatah lagi sebagai tali barut mereka.

Mereka melakukannya sebagai satu tugas agama, iaitu menjelaskan ajaran sebenar, membetulkan salah tafsiran dan membetulkan salah faham tentang Islam. Pada mereka, kumpulan pelampau seperti Al-Qaeda, JI dan kini ISIS adalah satu realiti, walau pun pahit ditelan oleh umat Islam. Kumpulan-kumpulan ini juga, tidak kira siapa dibelakang mereka, telah menyebarkan ajaran salah tentang Islam dan terdapat segolongan anak muda Muslim pula yang terpengaruh dengan ajaran salah ini. Kesalahan ini perlu dibetulkan dan pencemaran terhadap nama baik Islam perlu dihilangkan pula. Bagi mereka, masalah ini adalah masalah penyelewengan dalam agama, bukan masalah keselamatan AS atau negara-negara Barat, walau pun kededuanya berkaitan.

Mereka juga melakukannya kerana menyedari usaha aktif golongan bukan Muslim untuk mencorak erti wasatiyah dan mempengaruhi fahaman serta amalan Islam di kalangan penganutnya sesuai dengan kehendak mereka tapi tidak semestinya menepati tuntutan sebenar agama Islam sendiri. Dalam konteks ini, kewujudan mereka bukan satu persekongkolan, tapi usaha menawarkan suara alternatif dan tulen.[5]

Oleh itu, menyamakan semua pembicara wacana wasatiyah sebagai jurubicara AS dan Barat merupakan satu penghinaan terhadap golongan ini yang mana sebahagian mereka adalah tokoh-tokoh besar umat di zaman ini seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradawi,[6] Sheikh Abdullah bin Bayyah[7] dan Habib Omar.[8]

Merupakan satu kedangkalan minda juga menyamakan semua orang yang berbicara wacana dalam satu kategori yang sama, kerana persamaan wacana segolongan Muslim berbicara dengan wacana AS atau Barat bukan bukti bahawa mereka bersekongkol dan menjurus pada tujuan yang sama.islamic-extremism-qaradhawi

Ketelitian dan sikap adil menuntut perhatian pada aspek-aspek perbezaan pada isi, perincian dan metodologi apabila golongan ini berbicara tentang wasatiyah berbanding dengan apa yang dikemukakan dan dikehendaki oleh AS.

Tambahan pula, ramai dari golongan ini juga merupakan pengkritik AS walau mereka berkongsi usaha menguar-uarkan satu wacana yang sama.

Mereka yang bertanggapan wacana ini hanyalah agenda Barat telah salah baca akan hakikat masalah yang ada dan menggolongkan semua pembicara wacana ini sebagai jurubicara AS dan Barat adalah prejudis dan buruk sangka yang terlarang.

Sesiapa yang mengkaji secara jujur pasti juga akan menyimpulkan bahawa wacana wasatiyah bukanlah fenomena baru di era pasca 9/11. Karya agama membanteras pelampauan di kalangan Muslim telah wujud sejak tahun 1980an lagi. Satu contoh yang masyhur ialah buku Sheikh Al-Qaradawi Kebangkitan Islam: Antara Penolakan dan Pelampauan.[9] Sheikh Al-Qaradawi dan ramai ulama Islam yang lain juga telah menghasilkan banyak karya agama yang mendakwahkan kesederhanaan dan membangun tafsiran baru bagi agama sesuai dengan perubahan dunia kontemporari. Peristiwa 9/11 menyumbang pada penonjolannya. Maka mengaitkan semua yang menguar-uarkan wasatiyah dengan agenda AS dan Barat pasca Peristiwa 9/11 bercanggah dengan fakta ini.

Hal ini juga memberitahu bahawa wacana ini bukan reaktif semata-mata tapi ialah adalah kesinambungan dari usaha sebelum peristiwa berdarah itu.

Islam sahaja, tidak perlu wasatiyah

Salah tanggapan ini menolak wacana wasatiyah kerana bertanggapan bahawa Islam tidak perlu pada apa jua kata sifat seperti sederhana, moderat dan wasati kerana Islam yang difahami dan diamalkan dengan betul pastilah meliputi sifat-sifat itu. Atas dasar itu juga, islam-is-islamtanggapan ini menolak idea Muslim sederhana, wasati atau moderat. Bagi mereka, Muslim adalah Muslim, tidak perlu pada istilah Muslim sederhana. Jika tidak sederhana, seseorang itu bukan Muslim.

Masalah pada tanggapan ini ialah ia terlepas pandang bahawa Al-Quran sendiri yang memperkenalkan perkataan wasat sebagai kata sifat bagi umat Islam generasi awal yang harus dicontohi pula oleh umat Islam sepanjang zaman.[10]

Untuk apa Allah gunakan perkataan wasat bagi menyifatkan umat yang diredaiNya? Berdasarkan logik tanggapan ini, tidak sepatutnya dan memadai sahaja jika umat itu hanya disifatkan sebagai “ummatan muslimatan”, bukan  “ummatan wasatan”, kerana sifat “muslimatan” sepatutnya telah merangkumi sifat “wasatan”. Kalau umat ini hanya perlu pada kata sifat Muslim sahaja, tidak sepatutnya kata sifat wasat diguna bagi perkataan umat dalam ayat Al-Quran berkenaan.

Penggunaan perkataan wasat bagi merujuk para sahabat Nabi s.a.w yang telah pun memeluk Islam pastinya mempunyai tujuan untuk difikirkan. Antaranya ialah sebagai penekanan bagi sifat wasat dan ini mempunyai tujuan memberitahu betapa sifat ini adalah sifat yang amat kritikal bagi Islam hingga ia dipilih dari sifat-sifat yang lain untuk menggambarkan umat Islam yang diredai Tuhan.

Yang lebih penting ialah menggunakan wasat dan perkataan-perkataan yang diambil darinya sebagai satu istilah tersendiri untuk memberi penekanan tentang kepentingan dan keutamaannya dalam Islam adalah pendekatan Al-Quran juga.

Boleh juga dikatakan tanggapan ini juga keliru antara kesempurnaan Islam dan kesempurnaan Muslim. Islam sebagai agama yang datang dari Tuhan memang sempurna dan, oleh itu, tidak perlu atau boleh diberikan kata sifat. Namun, menjadi Muslim tidak menjadikan seseorang itu sempurna seperti Islam. Seorang Muslim boleh bersifat pelampau, fasiq, bermaksiat, zalim, jahil, berdosa dan sebagainya. Pada prinsipnya juga ketidaksempurnaan seorang Muslim kerana bersifat pelampau, fasiq, zalim, pengganas dan sesat tidak semestinya menafikan statusnya sebagai Muslim atau mengeluarkan dirinya dari golongan Muslim.

Oleh itu, mengatakan tiada Muslim moderat, sederhana atau wasati, hanya Muslim sahaja adalah satu kesilapan dan mengatakan “kalau mereka Muslim, pasti mereka tidak muzabzabmelakukan pelampauan dan pengganasan” pula boleh menjurus pada perbuatan mengkafirkan seseorang secara salah.

Wasatiyah ialah “tidak di sini dan tidak di sana”

Maksud “tidak di sini dan tidak di sana” ialah tidak beraliran/mazhab dan tidak pula berpihak dalam isu-isu yang terdapat perbezaan pendapat dalam agama.

Yang benar ialah wacana wasatiyah bukan seruan kepada tidak beraliran/mazhab kerana termasuk dalam fahaman wasatiyah ialah bertaklid pada mazhab dan aliran agama yang muktabar adalah satu keperluan bagi golongan awam yang tidak mempunyai keupayaan untuk memahami sendiri teks-teks primer agama Islam.

Wasatiyah ialah “silakanlah bermazhab, walau pun jika seseorang itu mampu memahami tesk-teks primer agama”. Ia bukan satu kecelaan. Namun, apa jua mazhab yang  hendak diikuti, hendaklah bersederhana dengan mengakui kepelbagaian yang boleh ada dan menghormati pilihan berbeza orang lain, tidak kira samada orang itu jenis bermazhab, tapi ikuti mazhab lain atau jenis tidak bermazhab kerana ikuti pendapat-pendapat berbeza dari mazhab-mazhab berbeza.dua-muka

Wasatiyah juga bukan mazhab atau aliran tersendiri yang bukan salafi, “aswaja”, sufi, atau tabligh. Yang dianjurkan oleh wacana wasatiyah, “jadilah atau kekallah dalam salafi, “aswaja”, sufi atau tabligh, asalkan sederhana sahaja” kerana hakikatnya terdapat segolongan yang menamakan diri mereka pengamal aliran-aliran yang dinyatakan secara melampau kerana memandang diri mereka lebih Islam dari yang lain dan kebenaran milik mereka semata-mata.

Wasatiyah bukan tidak berpihak pada mana-mana golongan dalam isu-isu yang ada perbezaan. Apa yang dianjurkan oleh wasatiyah dalam isu-isu yang ada perbezaan ialah  keberpihakan itu tidak mesti pada satu golongan sahaja, tapi berdasarkan pendapat yang lebih dekat pada kebenaran. Sebagaimana yang dinyatakan di atas, hal in pula bukan bermakna tidak perlu bermazhab kerana seseorang itu mungkin bermazhab Shafi’ii, tapi dalam isu kontroversi tertentu ia memilih untuk berpegang pada pendapat lain yang berbeza dengan pendapat masyhur mazhabnya kerana berkeyakinan pendapat lain itu lebih tepat bagi masalah dan konteks yang dihadapi.

Kesimpulan

Wasatiyah adalah satu konsep yang berakar kuat pada Al-Quran dalam ayat 2:243, dan bukan idea yang baru dicerna pada masa kini sebagai reaksi pada perkembangan dunia pasca Peristiwa 9/11. Oleh itu, wacana berkaitannya juga telah wujud sejak zaman silam lagi dalam kita-kitab turats dalam pelbagai bidang pengajian Islam.

Wasatiyah bukan hanya wacana yang diuar-uarkan bagi memenuhi kepentingan AS, dunia Barat atau pemerintah bukan Islam tempatan sebagai akibat dari Peristiwa 9/11. Ramai yang menguar-uarkannya melakukannya kerana terpanggil oleh rasa tangungjawab untuk membela agama Islam dari diselewengkan dan dicemari oleh ideologi kumpulan pelampau yang menyulut keganasan, konflik dan kebencian atas nama Islam. Persamaan pada tema bukan bukti seseorang itu telah menjual dirinya atau dipergunakan untuk agenda bukan Muslim. Bahkan, bekerjasama pada bidang-bidang yang mana mereka mempunyai persamaan dan kepentingan bersama adalah satu perkara yang lumrah, logik dan tidak salah juga di sisi agama. Sesiapa yang mendakwa wujudnya penggadaian prinsip, dibahunya beban untuk memberi bukti kukuh (bukan hanya korelasi), dan bukan ke atas tertuduh membersihkan dirinya.

Menguar-uarkan wasatiyah sebagai satu sifat penting Muslim dalam tujuan memberi penekanan dan dalam konteks melawan penyelewengan kumpulan pelampauan yang lantang bersuara bukan sesuatu yang salah di sisi agama. Bahkan, ia mempunyai akar dalam Al-Quran apabila Allah mensifatkan umat yang diredainya dengan sifat “wasat”, bukan Muslim.

Mereka yang menguar-uarkan wacana wasatiyah pula bukan golongan yang menyeru kepada tidak bermazhab atau berusaha mewujudkan aliran baru. Muslim tidak perlu meninggalkan mazhab mereka untuk mengamalkan wasatiyah. Yang perlu Muslim lakukan ialah beramal dengan mazhab secara wasatiyah.

 

——————-

Nota:

[1]Lihat Muhammad Haniff Hassan and Zulkifli Mohamed Sultan (2011), “Langkah sesudah wacana pelampau”, Berita Harian, 5 Oktober, di http://haniff.sg/artikel-pendek/artikel-asal-yang-bertajuk-langkah-sesudah-wacana-pelampau-terbitan-berita-harian-singapura-5-oktober-2011/ (26 Oktober 2016).

[2]Lihat pelbagai tafsir bagi ayat 2:143 yang menjadi asas bagi wacana wasatiyahmasa kini di http://www.altafsir.com/ (20 Oktober 2016).

[3]Lihat Mohammad Hassan Kamali (2010), Moderation and Balance in Islam: The Qur’anic Principle of Wasatiyyah, Kuala Lumpur: Ilmiah Publishers.

[4]Lihat Cheryl Benard (2003), Civil Democratic Islam: Partners, Resources and Strategies, Santa Monica: Rand dan Angela Rabasa et. al. (2007), Building Moderate Muslim Networks, Santa Monica: Rand.

[5]Lihat kata pengantar oleh Presiden Pergas dalam Pergas (2004), Moderation in Islam in the Context of Muslim Community in Singapore, Singapore: Pergas, pp. xxviii-xxxi.

[6]Usaha Sheikh Al-Qaradawi meuar-uarkan wacana wasatiyah di kenang dengan penubuhan pusat kajian wasatiay atas nama beliau oleh Fakulti Pengajian Islam Qatar. Lihat Al-Qaradawi Center for Islamic Moderation and Renewal di http://www.qfis.edu.qa/research-centres/alqaradawi-center/qcimr (20 Oktober 2016)

[7]Robert Pennington (2014), “Spiritual leaders set out action plan to combat violent extremism”, The National, 13 December, available at http://www.thenational.ae/uae/spiritual-leaders-set-out-action-plan-to-combat-violent-extremism (20 Oktober 2016).

[8]`Umar bin Hafidh (2014), Al-Wasatiyah Fi Al-Islam, Hadhramawt: Maktabat Tarim Al-Hadithah; `Umar bin Hafidh (1427H), Ta`ayush Al-Muslimin Ma`a Ghayrihim, kertas kerja dibentangkan di Mu’tamar Nahn Wa Al-Akhar, anjuran Kementerian Waqf Kuwait, 6 – 8 Safr, di http://www.habibomar.com/files/taaish.pdf (26 Oktober 2016); Al-Nadwah Al-`Ilmiyah “Al-Wasatiyah Fi Al-Islam” Ma`a Al-Habib `Umar bin Hafidh (2014), Youtube, bah. 1, 4 Januari, di https://www.youtube.com/watch?v=eo4o_7EHZqE; Al-Nadwah Al-`Ilmiyah “Al-Wasatiyah Fi Al-Islam” Ma`a Al-Habib `Umar bin Hafidh (2014), Youtube, bah. 2, 4 Januari, di https://www.youtube.com/watch?v=x0JcTz-yAGY&feature=youtu.be ; Al-Nadwah Al-`Ilmiyah “Al-Wasatiyah Fi Al-Islam” Ma`a Al-Habib `Umar bin Hafidh (2014), Youtube, bah. 3, 4 Januari, di https://www.youtube.com/watch?v=khuYKgX3QBo (26 Oktober 2016); Musharakah Al-Habib `Umar bin Hafidh Fi Mu’tamar Nahn Wa Al-Akhar Fi Al-Kuwait(2006), alhabibomar.com, 25 Jun, di http://www.alhabibomar.com/Trip.aspx?SectionID=3&RefID=49 (26 Oktober 2016); Musharakah Al-Habib `Umar bin Hafidh Fi Al-Mu’tamar Al-Duwali `An Al-Wasatiyah Wa Al-‘I’tidal (2011), alhabibomar.com, 13 Januari, di http://www.alhabibomar.com/NewsItem.aspx?SectionID=2&RefID=146 (26 Oktober 2016);

[9]Lihat versi Inggeris, Yusuf Al-Qaradawi (1987), Islamic Awakening Between Rejection and Extremism, Herndon: IIIT.

[10]Lihat Al-Quran, 2:143 dan tafsir mengenainya di http://www.altafsir.com/ (20 Oktober 2016).