Islam dan Penuaan (Bahagian 1): Pemikiran Asas

Artikel ini diterbitkan di Wasat, edisi no. 26/April 2019, di sini.

Islam dan Penuaan (Bahagian 1): Pemikiran Asas[1]

Pengenalan

Salah satu cabaran sosial yang bakal dihadapi oleh masyarakat Singapura di masa akan datang ialah menangani penuaan rakyatnya.

Hal ini dinyatakan oleh pemerintah sendiri berdasarkan data penduduk yang dikumpulkan. Data ini menunjukkan bahawa jumlah rakyat Singapura yang berada di usia tua akan bertambah dari era sebelum ini sebagai akibat dari penurunan kadar kelahiran dan peningkatan jangka hayat individu kerana kemajuan dalam banyak aspek kehidupan selama beberapa dekad yang lalu.[2]

Fenomena penuaan bukan sesuatu yang baru bagi Singapura kerana ia adalah sesuatu yang tabi’ii yang berlaku sepanjang masa. Namun peningkatan signifikan kadar penuaan di kalangan rakyat Singapura memberi cabaran baru. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah yang antaranya akan menjejas warga tua seperti pengabaian kebajikan mereka yang sebelum ini telah memberi sumbangan kepada kemajuan Singapura. Ini bukan hanya situasi yang tidak adil bagi mereka kerana penjagaan kebajikan mereka adalah hak asasi mereka sebagai rakyat. Selain itu, tiada seorang rakyat pun yang patut dilayan seperti “habis madu sepah dibuang”.

Jika pengabaian terhadap nasib warga tua wujud secara berleluasa kerana kecuaian dalam membuat perancangan yang sepatutnya, ia, bukan hanya akan menjejas moral warga tua, tapi juga rakyat yang lain. Rakyat akan merasa kerja keras pada hari ini tidak berguna kerana kebajikan mereka bakal terabai apabila sumbangan mereka kepada ekonomi negara telah tiada disebabkan usia tua.

Masyarakat Muslim Singapura tidak terkecuali dari menghadapi masalah penuaan di masa akan datang kerana ia juga mengalami penurunan kadar kelahiran dan peningkatan jangka hayat.

Atas dasar ini, masyarakat Muslim Singapura perlu berinisiatif untuk menangani masalah ini juga, bagi melengkapi usaha-usaha pemerintah.

Maka memahami perspektif agama Islam berkaitan isu penuaan menjadi penting kerana;

  • segolongan masyarakat Muslim pasti ingin tahu panduan dan sikap Islam dalam isu penuaan bagi menanganinya di peringkat individu atau menyumbang dalam program kemasyarakatan
  • perspektif agama boleh menjadi sumber yang positif bagi menangani isu ini
  • membantu merangka apa jua inisiatif berkaitan isu penuaan sesuai dengan nilai-nilai pegangan masyarakat Muslim Singapura kerana pengaruh Islam yang kuat terhadap kehidupan mereka
  • mengukuhkan pegangan masyarakat Muslim terhadap agama Islam dengan menjadikannya relevan bagi cabaran semasa hidup mereka
  • institusi agama Islam seperti masjid, madrasah dan asatizah dapat dimanfaatkan bagi menangani isu penuaan dalam masyarakat Muslim yang akan turut menyumbang di peringkat nasional.

Islam diwahyukan oleh Allah taala melalui rantaian para Nabi untuk menjadi panduan bagi kehidupan manusia. Kehidupan di sini merujuk kepada segala aspeknya dan bukan terbatas pada soal akidah dan ritual sahaja.[3]

Di sisi Al-Quran juga, kitab suci umat Islam, Islam disifatkan sebagai agama fitrah (semula jadi, tabi’ii) bagi manusia.[4]

Sebagai panduan hidup dan fitrah bagi manusia, Islam pastinya mempunyai panduan asasi berkaitan penuaan sebagai satu fenomena alami dalam jangka hayat manusia; apakah sikap yang dianjurkan oleh Muslim terhadap penuaan? bagaimanakah Muslim berhadapan dengan penuaan di peringkat peribadi dan masyarakat? apakah objektif yang perlu dicapai dari fasa kehidupan tua seorang Muslim?

Artikel ini ditulis bagi meneroka idea asas Islam, bukan sikap komprehensif Islam, dalam isu penuaan dengan tujuan untuk meletakkan asas yang betul bagi individu dan institusi masyarakat Muslim dalam merangka inisiatif bagi menghadapi cabaran penuaan.

Apa yang dilakukan ini pula bukanlah sesuatu yang baru. Ia hanyalah penerusan pada tradisi para ulama sejak zaman dahulu hingga hari ini dan kesinambungan dalam tradisi ilmu yang telah ada sekian lama.

Perhatian mengenai warga tua dan kehidupan di masa tua ditunjukkan oleh para ulama silam, antaranya, dengan mendedikasikan bab-bab khusus berkaitannya. Sebagai contoh Al-Bukhari membuat tiga bab dalam bukunya Al-Adab Al-Mufrad berkaitan usia tua; Bab Al-Kabir (Bab Orang Tua), Bab Fadl Al-Kabir (Bab Kelebihan Orang Tua) dan Bab Yubda’ Al-Akbar Bi Al-Kalam Wa Al-Sual (Bab Memulakan Orang Tua Bercakap dan Menyoal).[5]

Selain itu, sesetengah ulama menulis buku-buku khusus berkaitan dengan usia tua sebagai panduan Muslim.[6] Usaha ini diteruskan pula oleh para ulama dan pemikir masa kini dan antara karya-karya yang boleh dijadikan rujukan.[7] Semua ini merupakan khazanah yang telah sedia ada untuk dimanfaatkan bagi sesiapa yang berminat untuk mendalami isu ini, merangka polisi, melakar perancangan atau melaksanakan program-program bagi menangani cabaran penuaan di kalangan masyarakat Muslim, dari kaca mata Islam.

Artikel ini juga merupakan kesinambungan dari usaha-usaha lepas dan hanyalah satu sumbangan kecil bagi isu yang dibicarakan. Namun diharapkan ia bermanfaat bagi yang berminat mengenai isu penuaan.

Penuaan dalam Islam

Sememangnya soal penuaan memang disebut dalam Al-Quran dan hadith yang darinya dapat dirumuskan pelbagai pengajaran, bimbingan, petunjuk dan hukum Islam untuk manusia berkaitan pelbagai aspek penuaan.

Al-Quran mengandungi banyak ayat yang membicarakan tentang penuaan. Antara perkara penting yang disebut dalam Al-Quran sebagai asas pemikiran bagi menangani isu penuaan di kalangan Muslim ialah:

  • penuaan adalah satu fenomena alami dan sebahagian dari tahap-tahap kehidupan manusia sebelum ia berakhir dengan kematian, namun tidak semua manusia akan melalui fasa tua disebabkan ajalnya datang lebih awal
  • penuaan membawa perubahan pada manusia, iaitu kemerosotan pada kekuatan dan fungsi tubuh, penampilan dan intelek
  • kepentingan sikap perihatin dan ambil berat akan fasa usia tua yang akan menjelang dan sekali gus memikirkan tentang langkah persediaan
  • penuaan dikaitkan dengan peringatan tentang kematian yang pasti datang pada manusia sebagai permulaan bagi hidup di alam, yang walau pun hanya bersifat peralihan, tetapi petunjuk samada seseorang itu akan bahagain di syurga atau celaka di neraka di Akhirat nanti.

Terdapat lima ayat Al-Quran yang memberitahu bahawa penuaan adalah satu fasa tabi`ii dalam kehidupan manusia. Allah taala berfirman;

  • “Dia-lah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setetes, air mani, sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami (nya).” (Ghafir: 67)
  • “Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Al-Rum: 54)
  • “Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur), maka (ketahuilah) sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setetes mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu dan Kami tetapkan dalam rahim, apa yang Kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampailah kepada kedewasaan, dan di antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) di antara kamu yang dipanjangkan umurnya sampai pikun, supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.” (Al-Haj: 5)
  • “Allah menciptakan kamu, kemudian mewafatkan kamu; dan di antara kamu ada yang dikembalikan kepada umur yang paling lemah (pikun), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatu pun yang pernah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Al-Nahl: 70)

Adapun ayat-ayat Al-Quran yang memberi petunjuk akan perubahan-perubahan manusia di usia tua ialah:

  • perubahan penampilan dalam bentuk rambut beruban dalam firman Allah taala dalam Al-Rum: 54 yang telah disebut di atas dan ayat,

“Ia [Zakaria] berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku.” (Maryam: 4)

  • kemerosotan pada kekuatan dan tenaga pada tubuh badan sebagaimana yang disebut dalam firman Allah taala dalam Al-Rum: 54, Al-Haj: 5 dan Al-Nahl: 70.

Manakala firman Allah taala dalam Maryam: 4 pula menyebut secara khusus tentang sakit pada tulang disebabkan kemerosotan pada kekuatannya.

  • kemerosotan pada daya intelek dan ingatan hingga ke peringkat demensia dan nyanyuk sebagaimana yang disebut Al-Haj: 5, Al-Nahl: 70 dan ayat,

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya.” (Al-Tin: 5-6)

Sebahagian ulama mentafsirkan Al-Tin: 6 dengan maksud peringkat usia tua yang lanjut di mana seseorang itu berada dalam keadaan yang hilang ingatan kerana demensia, nyanyuk dan lemah, iaitu terbaring di katil, tidak mampu urus diri sendiri dan bergantung pada orang lain untuk mengurus dirinya seperti bayi kecil, sedangkan semasa mudanya ia seorang yang kacak/cantik, kuat dan pandai.

  • kemerosotan pada kesuburan untuk mendapat zuriat sebagaimana disebut dalam firman Allah taala,

“Zakaria berkata: Ya Tuhanku, bagaimana akan ada anak bagiku, padahal isteriku adalah seorang yang mandul dan aku (sendiri) sesungguhnya sudah mencapai umur yang sangat tua.” (Maryam: 9)

“Isterinya [Ibrahim] berkata: Sungguh mengherankan, apakah aku akan melahirkan anak padahal aku adalah seorang perempuan tua, dan ini suamiku pun dalam keadaan yang sudah tua pula? Sesungguhnya ini benar-benar suatu yang sangat aneh.” (Hud: 72)

Hakikatnya manusia tidak memerlukan ayat Al-Quran untuk mengetahui tentang penuaan dan kesannya pada diri manusia sebagai satu fenomena tabi`ii kerana ia adalah satu hakikat yang dapat dilihat dan alami oleh manusia. Ia juga bertepatan dengan dapatan sains. Namun, sebutannya dalam Al-Quran mempunyai signifikan tersendiri, iaitu pemberitahuan kepada bahawa Islam memberi perhatian akan persoalan ini dan menuntut Muslim agar turut berfikir dan mengambil perhatian tentangnya. Hal ini disokong oleh firman Allah taala yang meletakkan usia 40 tahun sebagai masa kritikal untuk seorang Muslim melakukan refleksi akan masa lalunya dan masa akan datangnya iaitu masa tua. Allah taalah berfirman,

“…sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdoa: Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau redai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertobat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Al-Ahqaf: 15)

Usia 40 tahun sebagai stesyen kehidupan dipilih kerana umumnya ia dianggap sebagai pemisah antara usia muda dan usia tua. Namun, sama penting dengan refleksi diri ialah anjuran ke atas Muslim untuk mengambil langkah-langkah persiapan bagi menghadapi fasa baru, pasca usia 40 tahun sebagai permulaan bagi usia tua, baik di peringkat individu atau masyarakat dan tidak bersikap sambil lewa serta menyerahkan pada keadaan semata-mata. Hal ini akan disokong oleh beberapa hadis yang akan dibicarakan di bawah nanti.

Kaitan penuaan dengan kematian jelas dalam Ghafir: 67 dan diperkuatkan oleh ayat sesudahnya, “Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya berkata kepadanya: Jadilah, maka jadilah ia.” (Ghafir: 68).

Perkara yang sama juga dapat dilihat pada ayat sesudah Al-Haj: 5, yang diperkuatkan dengan dua ayat sesudahnya yang mana Allah taala seolah-olah menuntut manusia berfikir tentang kematian dan Akhirat setelah berfikir tentang fasa-fasa kehidupan;

“Yang demikian itu, karena sesungguhnya Allah, Dialah yang hak dan sesungguhnya Dialah yang menghidupkan segala yang mati dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala suatu. Dan sesungguhnya hari kiamat itu pastilah datang, tak ada keraguan padanya; dan bahwasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur.” (Al-Haj: 6-7)

Dalam hal kaitan penuaan dengan kemerosotan pada kekuatan dan fungsi tubuh dan kematian, dua poin berikut perlu difahami bersama.

Pertama, Al-Quran memberi tahu, dalam Ghafir: 67 dan Al-Haj: 5, bahawa tidak semua manusia akan melalui fasa-fasa hidup yang dinyatakan dalam ayat-ayat itu. Sebahagian dari mereka akan mengalami kematian sebelum melalui fasa penuaan. Dengan kata lain, mati tidak hanya datang setelah usia tua dan di kalangan warga tua sahaja. Ia boleh datang kepada sesiapa tanpa kira di fasa kehidupan mana dia berada. Hal ini bermakna persiapan menghadapi kematian berbeza dengan persiapan menghadapi penuaan. Persiapan kematian menjangkau semua manusia tanpa kira usia, walau pun ia lebih pasti dan kritikal dalam persiapan bagi fasa penuaan.

Kedua, walau pun Al-Quran mengaitkan penuaan dengan demensia dan nyanyuk, realiti kehidupan dan sains menunjukkan bahawa tidak semua mereka yang mencapai usia lanjut mengalami keadaan ini sebelum menemui kematian.

Ada kalangan orang tua yang berusia tujuh puluh dan lapan puluh tahun tapi tidak mengalami kededua keadaan yang dinyatakan. Apa yang Al-Quran nyatakan ialah kededua keadaan itu sebagai perkara yang boleh berlaku apabila berada dalam usia tua, bukan sesuatu yang mesti berlaku.[8]

Kajian sains pula membantu untuk memahami pandangan Al-Quran ini bahawa berlakunya kededua keadaan itu bergantung pada pelbagai faktor dan faktor-faktor ini boleh ditangani bagi mengelakkan, merawat, mencegah atau meminimakan risiko demensia, nyanyuk dan segala simtom penuaan yang telah diketahui.

Gabungan dari pernyataan Al-Quran, dapatan sains dan realiti kehidupan memberi kefahaman bahawa penuaan adalah sesuatu yang pasti berlaku tapi kadar keseriusan kemerosotan tenaga dan fungsi tubuh boleh diurus dengan baik sehingga dapat dielak atau diminimakan.[9] Poin ini akan disokong pula oleh beberapa hadis yang akan dibicarakan nanti berkaitan anjuran Islam untuk merancang dan mengurus usia tua yang meliputi soal mencegah dan meminimakan kemerosotan kualiti kehidupan dan bukan bersikap pasif atau berserah pada keadaan semata-mata.

Kajian terhadap hadis menunjukkan Rasulullah s.a.w juga mahu Muslim memberi perhatian terhadap penuaan dengan menjelaskan sikap yang betul terhadap usia tua, perkara yang perlu diberi perhatian oleh individu apabila memasuki usia tua dan peranan individu dan masyarakat terhadap warga tua dan langkah.

Dari sudut sikap, Rasulullah mengajar Muslim agar bersikap positif apabila memasuki usia tua, walau pun kemerosotan kualiti hidup di usia berkenaan adalah sesuatu yang tabi’ii sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran juga.

Antara sikap positif yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah usia yang panjang adalah;

  • usia panjang petanda keberkatan hidup dan membawa keberkatan pada kehidupan.[10]Rasulullah s.a.w bersabda, “Keberkatan itu bersama warga tua kamu.” (Riwayat Ibn Hibban)Di dalam hadis lain, disebutkan sabda beliau s.a.w berbunyi, “Kebaikan itu bersama warga tua kamu.” (Riwayat Al-Bazzar)
  • usia panjang adalah pintu bagi menggandakan amal dan memperoleh kedudukan yang lebih dekat kepada Allah taala[11]

Apabila ditanya mengenai siapakah manusia yang paling baik, Rasulullah s.a.w menjawab, “Seorang yang panjang umurnya dan baik amalannya pula.” (Riwayat Al-Turmuzi)

“Tidak ada seorangpun yang lebih utama di sisi Allah daripada seorang Mukmin yang diberi umur panjang dalam agama Islam untuk bertasbih, bertakbir, dan bertahlil untukNya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Ya`la)

  • usia panjang memberi kemuliaan dan hak penghormatan dalam masyarakat[12]

Rasulullah s.a.w bersabda,

Uban adalah cahaya bagi seorang mukmin. Tidaklah seseorang beruban, walau hanya sehelai, kecuali setiap ubannya akan dihitung sebagai kebaikan yang akan meninggikan darjatnya.” (Riwayat Al-Baihaqi)

“Bukan dari kalangan kami, sesiapa yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang dari tua kami.” (Riwayat Al-Bukhari)

“Termasuk dalam memuliakan keagongan Allah ialah memuliakan orang tua Muslim, penghafaz Al-Quran yang tidak berlebihan dan mencuaikannya, dan penguasa yang adil.” (Riwayat Abu Dawud)

Berkaitan dengan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian bagi mereka yang akan memasuki usia tua, Rasulullah mengingatkan bahawa memasuki usia tua yang diiringi dengan kelemahan tubuh badan dan risiko alami pelbagai penyakit tidak melepaskan Muslim dari tanggungjawab berubudiyah kepada Allah taala (melaksanakan perintah yang diwajibkan dan meninggalkan apa yang diharamkan), sebagaimana firman Allah taala, “Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu.” (Al-Zariyat: 56).

Tanggungjawab ini mestilah diteruskan hingga ke akhir hayat sebagaimana firman Allah taala, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.” (Ali Imran: 102).[13]

Kelemahan pada usia tua tidak boleh dijadikan alasan untuk berhenti dari menunaikan ubudiyah. Apa yang dibenarkan ialah mengambil rukhsah (keringanan) yang sah di sisi syariah seperti solat duduk atau baring, tidak berpuasa apabila telah hilang upaya untuk melakukannya dan digantikan dengan fidyah dan mewakilkan orang lain melakukan haji untuk diri, bukan berhenti dari beribadah kepada Tuhan.[14]

Rasulullah s.a.w juga mengingatkan agar Muslim melakukan introspeksi diri apabila memasuki usia tua. Melalui introspeksi ini, Muslim kenal pasti kesilapan dan kelemahan yang ada pada dirinya lalu bertaubat dan berusaha pula untuk mengubah ke keadaan yang lebih baik. Jika tidak, seorang Muslim itu berisiko untuk jatuh dalam keadaan yang mana peluang untuk berubah dan meninggalkan dosa ditutup sehingga akhirnya dia menemui kematian dalam keadaan yang tercela. Walaupun introspkesi dan taubat bukan sesuatu yang khusus bagi warga tua, tapi ia lebih dipertekankan kepada mereka oleh Rasulullah s.a.w kerana kematian lebih pasti dan dekat bagi golongan ini. Sebab itulah amaran keras juga diberikan kepada mereka yang terus dalam kelalaian kerana, setelah peluang yang banyak diberi melalui usia yang panjang, mereka masih lagi tidak sedar diri dan hidup dalam kelalaian. Sebagai contoh ialah sabda Rasulullah s.a.w berkaitan mereka yang telah menjangkau umur 60 tahun, “Allah memberi uzur kepada seseorang yang Dia akhirkan ajalnya, hingga sampai usia 60 tahun.” (Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Abbas mengaitkan hadis ini dengan firman Allah taala, “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu sehingga sempat untuk beringat bagi sesiapa yang mahu beringat.” (Fatir: 37) dengan berkata, “Umur yang Allah tidak lagi menerima alasan bagi anak Adam dalam firmanNya ini ialah 60 tahun.”[15]

Al-Khattabi pula berkata, “Orang yang Allah panjangkan umur sehingga 60 tahun, tidak diterima lagi keuzuran (alasan). Hal ini kerana umur 60 tahun merupakan umur yg dekat dengan kematian, umur kembali bertaubat, khusyuk dan bersiap-siap bertemu Allah.”[16]

Rasulullah s.a.w juga melalui pelbagai hadis meletakkan hak bagi warga tua yang perlu ditunaikan oleh Muslim baik secara individu atau kolektif atau masyarakat, iaitu:

  • hak untuk dihormati
  • hak untuk dibela nasib dan dijaga kebajikannya disebabkan keadaan diri yang sudah lemah atau sakit atau keadaan ekonomi yang sempit kerana hilang upaya mencari rezeki atau ketiadaan simpanan yang memadai.[17]

Contoh hadis berkaitan ini telah disebutkan di atas.

Segala anjuran-anjuran ini memberi pengajaran bahawa soal penuaan dan kebajikan warga tua bukan soal peribadi atau individu yang berada dalam fasa hidup itu semata-mata. Mereka yang selain dari warga tua ada peranan dan kewajipan yang perlu ditunaikan terutama kepada warga tua yang tiada kemampuan untuk menjaga kebajikan diri sendiri. Hal ini akan dihuraikan lebih lagi di bawah nanti.

 

…. bersambung di Islam dan Penuaan (Bahagian 2): Perancangan dan Pengurusan, di sini.

____________________________

Nota:

[1]Kertas ini disiapkan atas permintaan dari Masjid Darussalam bagi menjadi dasar bagi perancangan dan pelaksanana program-program bagi warga tua Muslim di kawasan perumahan sekitar masjid secara khusus dan di daerah-daerah lain di Singapura secara umum.

[2]Lihat Population Trends: Facts and Figures on Singapore’s Population in 2016, population.sg, di https://www.population.sg/population-trends/demographics (23 September 2018).

[3]Lihat tafsir bagi Ali Imran: 19 dan Ali Imran: 85.

[4]Lihat tafsir bagi Al-Rum: 30

[5]Benouda Bensaid and Fadila Grine (2014), “Old Age and Elderly Care: An Islamic Perspective”, Cultura: International of Journal of Philosophy of Culture and Axiology, 11:1, ms. 141-2

[6]Ibid, ms. 142.

[7]Lihat Mahjabeen Ahmad (2017), Muslim Aged Care, South Australia: ACH Group; Mahjabeen Ahmad dan Shamsul Khan (2016), “A Model of Spirituality for Ageing Muslims”, Journal of Religious Health, 55:3; Sa`ad Al-Din Al-Hilali (2002), Qadiyyat Al-Musinnin Wa Ahkamuhum Al-Khassah Fi Al-Fiqh Al-Islami, Kuwait: Jami`at Al-Kuwait; `Abd Allah bin Nasir Al-Sadhan (1999), “Ri`ayat Al-Musinnin Fi Al-Islam”, Majallat Al-Shari`ah, no. 33; Yusuf Al-Qaradhawi (2009), Huquq Al-Shuyukh Wa Al-Musinnin Fi Daw’ Al-Shari`ah Al-Islamiyah, Kaherah: Maktabah Wahbah; Abd Al-Razzaq `Abd Al-Muhsin Al-Badr (2011), Huquq Kibar Al-Sin Fi Al-Islam, Riyad: Maktabat Al-Malik Fahd Al-Wataniyah; Hakim Mohammed Said (1989), “Islam and the Health of Elderly”, Journal of Religion & Aging, 4:3-4; Benouda Bensaid and Fadila Grine (2014), “Old Age and Elderly Care: An Islamic Perspective”, Cultura: International of Journal of Philosophy of Culture and Axiology, 11:1.

[8]Bensaid and Grine (2014), ms. 143-6

[9]Mohd Amzari Tumiran, et. al. (2018), “Senile Dementia from Neuroscientific and Islamic Perspectives”, Journal of Religion and Heatlh, 57:1, ms. 5-7.

[10]Al-Sadhan (1999), ms.17-21; Bensaid and Grine (2014), ms. 146-9.

[11]Ibid; Ibid.

[12]Ibid, ms. 32-3; Ibid, 148-55.

[13]Mahjabeen Ahmad and Shamsul Khan (2016), “A Model of Sprituality for Ageing Muslims”, Journal of Religion and Health, 55:3; Sa`id (1989), ms. 27-8; Bensaid and Grine (2014), ms. 143.

[14]Lihat Al-Hilali (2002); Hibah Madhat Raghib Al-Dalw (2009), Ahkam Al-Musinnin Fi Fiqh Al-`Ibadat: Dirasah Fiqhiyah Muqaranah, Gaza: Al-Jami`ah Al-Islamiyah; Haifa’ Muhammad Al-Zubaidi (2012), “Ri`ayat Al-Musinnin Fi Al-Tashri` Al-Islami”, Majallat Kulliyat Al-Tarbiyah Al-Islamiyah, no. 75; Bensaid and Grine (2014), ms. 155-7.

[15]Al-Qurtubi (online), Al-Jami` Li Ahkam Al-Quran, di https://altafsir.com/Tafasir.asp?tMadhNo=1&tTafsirNo=5&tSoraNo=35&tAyahNo=37&tDisplay=yes&UserProfile=0&LanguageId=1 (23 September 2018).

[16]Ibid.

[17]Raudlotul Firdaus Fatah Yasin, Ali Asaa Ali Mubaraak dan Mohd Shah Jani (2016), “Ri`ayat Al-Musinnin Fi Manzur Al-Quran Wa Al-Sunnah Dirasah Mu`asarah”, Global Journal Al-Thaqafah, 6:1; Al-Zubaidi (2012); Al-Sadhan (1999).