Alternatif Muzik : Cukup Sudah Perbahasan, Terbuka Dengan Ketidaksempurnaan

arabian-music8Realiti hari ini menjadi saksi akan pengaruh besar dunia muzik terhadap penanaman nilai dan gaya hidup individu serta masyarakat. Malangnya, penggunaan media ini di rantau ini sebagai satu alat dakwah untuk menanam nilai-nilai murni dan mengubah masyarakat ke arah kebaikan masih terhad dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Tidak dinafikan akan wujudnya usaha ke arah sedemikian telah diterokai seperti melalui kemunculan kumpulan nasyid dan Radio IKIM tetapi ia masih terhad bagi segolongan tertentu di kalangan masyarakat Melayu sahaja. Ia hanya menembusi pasaran yang amat terhad dibandingkan dengan seluruh masyarakat yang pelbagai bangsa, agama dan selera. Berlainan sekali dengan pengaruh muzik pop kontemporari hari ini.

Dalam isu ini pula, gerakan dakwah masih disibukkan atau lebih menumpukan kepada aspek fiqh yang berkaitan dengan muzik dan nyanyian- adakah ia halal dalam Islam? adakah boleh bernyanyi dengan alat muzik? apakah alat muzik yang halal dan apa pula yang haram? apakah boleh nyanyian seorang wanita di dengar umum?

Hakikatnya hampir keseluruhan persoalan yang dinyatakan tadi telah pun dibincangkan oleh para ulama sejak ratusan tahun dahulu hingga hari ini. Pelbagai pandangan telah dihasilkan dan jelas sekali bahawa persoalan-persoalan itu akan terus kekal sehingga masa akan datang sebagai perkara yang diperselisihkan oleh para ulama.

Ditinjau dari sudut syariah pula, perselisihan ini adalah satu perkara yang lumrah dalam tradisi hukum Islam. Ia adalah natijah dari kebijaksanaan Allah taala yang melakar agama ini dengan sifat keanjalan dan dinamik bagi membolehkannya untuk menangani pelbagai keadaan dan zaman. Ia adalah perselisihan yang sepatutnya membuka ruang bagi gerakan dakwah untuk mengemukakan pelbagai alternatif yang berkaitan dengan muzik bagi pelbagai keadaan dan ragam masyarakat. Perselisihan ini tidak sepatutnya menjadikan gerakan dakwah hanya melihat satu pandangan sebagai pegangan dengan meninggalkan pandangan yang lain atau menetapkan satu hukum bagi semua golongan.

Persoalannya bukanlah yang mana satukah pandangan yang lebih kuat yang harus dipegang dan yang mana pula yang lemah yang harus ditinggalkan. Yang lebih baik ialah dengan melihat bahawa kesemua itu adalah ijtihad para ulama yang muktabar yang kita dibenarkan untuk memanfaatkannya berdasarkan konteks dan maslahat yang boleh dicapai darinya.

Satu perkara lagi yang gerakan dakwah dan pencinta Islam dalam masyarakat harus faham ialah untuk menghasilkan satu alternatif muzik dan hiburan Islama yang ideal ia memerlukan proses pentahapan atau tadarruj. Dalam melalui proses ini pula, kadangkala memerlukan kita untuk menerima alternatif yang tidak 100% Islamik dahulu tetapi ia lebih baik dari yang sedia ada.

Tidak berapa lama dahulu sebuah saluran radio dilancarkan sebagai sebahagian dari usaha dalam bidang ini. Secara relatif ia mengumandangkan lebih banyak lagu-lagu nasyid dan program-program nasihat keagamaan dibandingkan dengan saluran yang biasa didengar. Walau bagaimanapun, saluran ini dikritik kerana masih lagi tidak Islamik disebabkan masih mengumandangkan lagu-lagu cinta dan berbau nafsu. Maka usaha untuk mempopularkannya dikalangan masyarakat turut dikritik. Perspektif ini sebenarnya telah gagal untuk melihat bahawa walau pun saluran ini tidak 100% Islamik tetapi ia merupakan alternatif yang lebih baik dari yang ada sebagai satu anak tangga bagi kesempurnaan di masa akan datang. Hari ini hampir sukar bagi kita untuk menghalang masyarakat dari mendengar radio yang penuh dengan perkara yang sia-sia, maka memaling mereka kepada sesuatu yang kurang mudaratnya adalah satu langkah progresif menuju kesempurnaan. Apakah tidak wajar kita menyokong inisiatif seperti ini disamping memberi input atas kelemahannya bagi masa-masa akan datang? Apakah tidak mustahil dengan mempopularkan inisiatif sedemikian akan turut mempengaruhi perubahan dalam media-media yang ada?

Sememangnya gerakan dakwah memerlukan kebijaksanaan dan keberanian untuk mencuba idea-idea baru yang walau pun kurang popular tetapi masih berada dalam ruang lingkung khilaf ulama bagi memanfaatkan media hiburan sebagai alat mengubah masyarakat.

Bidang alternatif muzik dan hiburan masih merupakan bidang yang tidak diceburi secara serius oleh gerakan dakwaha yang ada. Apakah tidak boleh jika ada di antara badan-badan yang ada atau individu-individu berpadu tenaga untuk memikirkan isu ini dan mencari huraian baginya?