Artikel – Islam Anjurkan Sikap Terbuka Dalam Mencari Ilmu

optimized-man-salaka-toriqon2

 

 

Artikel ini terlah diterbitkan oleh Berita Harian (Singapura) pada 14 September 2012.

Islam Anjurkan Sikap Terbuka Dalam Mencari Ilmu

(c) Muhammad Haniff Hassan, 2012

Satu aspek berkaitan dengan mencari ilmu yang dianjurkan oleh Islam tetapi tidak banyak dibicarakan ialah sikap terbuka dalam melakukannya.

Di sini ia merujuk pada keterbukaan untuk memperolehi ilmu melalui apa jua sumber selama ianya benar dan baik.

Sikap ini didasari oleh satu premis bahawa kebaikan bukan milik eksklusif atau dimonopoli oleh kelompok (agama, bangsa dan sosial), daerah atau masa tertentu. Sebaliknya, ia wujud di mana-mana dengan kehendak Allah taala.

Dalil-dalil

Terdapat banyak dalil dari Al-Quran, hadith dan tradisi para ulama Islam yang menunjukkan bahawa Islam anjurkan keterbukaan dalam mencari ilmu.

Antara yang terkandung dalam Al-Quran ialah:

· Al-Quran memuji hamba-hamba Allah yang mendengar pelbagai pendapat dan dari pelbagai sumber (bukan sumber-sumber tertentu sahaja) sebelum memilih pendapat yang paling baik (Al-Zumar:17-8).

· Al-Quran memberitahu bahawa Allah memberi hikmah (ilmu dan kebijaksanaan) kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki (tidak terbatas pada golongan tertentu) (Al-Baqarah:269).

· Allah taala sendiri memerintahkan nabi Muhammad s.a.w agar bertanya pada Ahli Kitab, jika dia mempunyai keraguan tentang kebenaran yang diwahyukan padanya (Yunus:94). Ini bermakna, melalui kaedah kajian yang betul, kebenaran boleh dijumpa dari sumber agama lain juga untuk membenarkan ajaran Islam.

· Al-Quran mengajar bahawa dari binatang seperti gagak dan burung hud-hud pun manusia boleh perolehi pelajaran dan maklumat berguna (Al-Maidah:31, Al-Naml:22)

· Al-Quran mengandungi pelbagai pengajaran dari sejarah lalu sebagai panduan yang menunjukkan kebenaran dan kebaikan bukan hanya ada pada golonga terkini atau moden sahaja.

Dari hadith dan sunnah nabi kita boleh berjumpa dalil-dalil berikut:

· Sabda nabi s.a.w yang bermaksud, “Hikmah (kebijaksanaan/ilmu) adalah barang yang hilang dari Muslim. Di mana dia temukannya, hendaklah dia ambilnya.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah).

Hadith ini mempunyai makna yang sama dengan ayat Al-Baqarah:269 di atas.

· Sirah nabi banyak memberitahu bahawa beliau menerima kebaikan/ilmu dari kaum lain seperti penggunaan parit bagi tujuan pertahanan Madinah dan pengunaan cop mohor bagi surat rasmi beliau.

· Rasulullah s.a.w sering kali mendapatkan pendapat dari sahabat-sahabatnya seperti dalam memilih tempat semasa Perang Badr dan sebelum keluar untuk Perang Uhud, walaupun beliau adalah seorang nabi yang menerima wahyu dan bimbingan langsung dari Allah taala.

· Rasulullah s.a.w mengekallan tradisi-tradisi Arab yang baik hingga menjadi sebahagian dari syariat Islam seperti amalan mudarabah (pelaburan dan perkongsian) dan bayaran diyah.

Ertinya beliau mengaku ada kebaikan pada Arab jahiliyah dan bukan semuanya yang perlu ditolak atau banteras.

Dari sudut tradisi ulama pula:

· Para sahabat nabi s.a.w dahulu memanfaatkan pelbagai ilmu dari Parsi dan Rom untuk mentadbir negara Islam pada ketika itu.

· Pesanan para ulama yang masyhur, “tuntulah ilmu walau ke negeri Cina”, walaupun pada ketika itu negeri Cina bukanlah sebuah daerah Islam dan majoriti penduduknya bukan beragama Islam.

Mengapa sikap terbuka?

Selain dari ianya adalah anjuran Islam, sikap terbuka mencorak tingkah laku kita dalam mencari ilmu.

Sikap terbuka menjadikan skop pencarian ilmu kita lebih luas.

Ini kemudiannya menatijahkan seorang yang mempunyai ilmu yang luas dan mendalam, ufuk pemikiran yang jauh dan condong pula untuk bersikpa hormat pada yang lain kerana ia tahu bahawa yang lain juga ada kebaikan dan menghargai pula kebaikan yang pernah ia temui dari yang lain.

Ini pula sesuai dengan anjuran Al-Quran agar kita saling mengenali (Al-Hujurat:13).

Sebaliknya, sikap tertutup menyebabkan ilmu seseorang terbatas pada sumber tertentu sahaja yang boleh menyebabkan kedangkalan dalam berfikir.

Lebih buruk lagi, ia menyebabkan sikap prejudis dan negatif terhadap yang lain kerana sangkaan bahawa hanya sumber ilmunya sahaja yang baik atau betul.

Kita memerlukan ilmu untuk maju.

Lebih luas ilmu, lebih jauh kemajuan yang boleh dicapai.

Namun, ini boleh terhambat jika sekiranya kita mempunyai sikap tertutup dalam mencari ilmu, iaitu membataskan sumber ilmu hanya dari sumber umat Islam atau khazanah/tradisi Islam sahaja atas alasan Islam adalah agama yang memberi huraian bagi segala perkara dan ia adalah kebenaran dari Tuhan sedangkan yang lain adalah sesuatu yang diragui atau anti-Islam khususnya dalam bidang pengajian selain sains tabi’ii.

Batas-batas

Namun ini tidak bermakna sikap keterbukaan tanpa batas dan panduan, kerana dunia keilmuan hari ini sememangnya dimonopoli oleh kalangan bukan Muslim yang mempunyai prinsip, konsep ilmu dan cara berfikir yang berbeza.

Apa yang dihasilkan oleh mereka bukanlah sesuatu yang bebas sepenuhnya dari nilai mereka yang berbeza.

Mengandaikan segala yang dihasilkan oleh mereka semestinya sesuatu yang objektif adalah sama dangkalnya dengan sikap yang menolak segala-galanya.

Tambahan pula terdapat petunjuk dari Islam yang meletakkan batasan pada keterbukaan dalam hal ini.

Antaranya ialah, sebagaimana yang difahami oleh sebahagian ulama, perbuatan Rasulullah s.a.w yang pernah satu masa melarang sahabat-sahabatnya membaca dan mempelajari kitab suci Ahli Kitab dengan tujuan supaya mereka memberi tumpuan pada asas-asas agama mereka sendiri.

Hanya setelah ini tercapai, barulah diberi kelonggarkan sehingga sebahagian sahabat sendiri mengumpul, simpan dan baca kisah-kisah yang diriwayatkan dari Ahli Kitab.

Oleh itu, janganlah sampai sikap terbuka untuk mencari ilmu dari mana-mana menyebabkan kita lupa akan keutamaan dan asas-asas ilmu yang perlu ada sebagai seorang Muslim khususunya ilmu fardhu `ain.

Kesibukan kita mencari ilmu dari pelbagai sumber juga jangan menyebabkan kita melupakan atau meremehkan khazanah ilmu kita sendiri dengan sangkaan ia hanyalah satu khazanah yang lapok dan tidak relevan.

Sesiapa pun yang mengkaji kemajuan tradisi moden yang dimonopoli oleh Barat hari ini pasti akan tahu bahawa Barat sendiri tidak maju dengan membuang dan membelakangi khazanah dan tradisi ilmu mereka.

Hingga ke hari ini tokoh-tokoh dan karya klasik Barat, hatta dari zaman Rom dan Greek kuno, masih dihormati, dikagumi dan dipelajari.

Tiada satu bangsa yang bermaruah akan membuang dan memandang rendah tradisi dan khazanah ilmu bangsa dan agamanya demi mencapai kemajuan.

Meninggalkan tradisi bangsa dan agama dengan meleburkan diri dalam tradisi ilmu masa kini tidak akan menyetarakan kita dengan “mereka” tetapi hanya menjadikan kita cair diserap oleh “mereka”.

Di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat yang menganjurkan umat Islam bersikap kritikal dalam menerima ilmu.

Berfikiran kritikal merupakan pembatas penting bagi keterbukaan terhadap ilmu.

Ertinya kita hendaklah bersikap terbuka untuk menggali ilmu tetapi apa yang digali itu hendaklah dinilai kebenaran dan kebaikannya dengan kritikal dan tidak diterima begitu sahaja.

Namun perlulah difahami bahawa sikap kritikal bukan hanya dipakai pada ilmu yang diperolehi dari sumber dan tradisi bukan Islam.

Terdapat bukti bahawa Al-Quran menganjurkan sikap kritikal hatta pada tradisi Islam sendiri.

Bahkan juga dalam menerima perintah-perintah agama sekali pun.

Hal ini boleh dilihat dari sikap malaikat yang bertanya pada Allah taala sebab penciptaan manusia.

Begitu juga kisah nabi Ibrahim yang berjidal dengan Allah apabila mengetahui bahawa Dia akan menurunkan azab pada kaum nabi Lut dan kisah beliau bertanya Allah taala agar buktikan kuasaNya untuk menghidupkan apa yang telah mati.

Dalam contoh-contoh ini, malaikat dan nabi Ibrahim tidak hanya menerima perkhabaran dan perintah dari Allah taala begitu sahaja sebaliknya mereka meminta alasan, bukti dan hujah.

Pastinya terdapat beberapa batas-batas lain terhadap keterbukaan yang tidak dapat disenaraikan semuanya di sini disebabkan keterbatasan ruang. Oleh itu, pembacaan lebih lanjut amat digalakkan.

Rumusan dari artikel ini ialah mulakan langkah mencari ilmu dengan sikap terbuka yang terpandu oleh batas-batas yang telah dinyatakan di atas dan bukan sikap cemburu buta dan yang dikaburi oleh kegemilangan masa lalu sahaja.