Artikel – Kejatuhan Mugabe: Pengajaran Bagi Para Pemimpin

Artikel ini diterbitkan dalam ruang Komentar, Berita Mediacorp, 15 Disember 2017. Klik di sini untuk sumber asal.

BERITAMediacorp: Apakah yang menyebabkan sesetengah pemimpin negara yang dahulunya dihormati dan disanjungi, akhirnya dibenci malah ada yang digulingkan dengan cara yang begitu memalukan? Mengapa  sebilangan pemimpin ini terus berkuasa dan tidak mahu melepaskan kedudukannya sama sekali sehinggakan legasi mereka sebagai hero kemerdekaan dan pejuang berjiwa rakyat dilupakan sejarah. 

Muhammad Haniff Hassan dan Mustazah Bahari dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam menyelongkar pesona pemimpin dan pengajaran yang boleh dipelajari daripada komentar ini.

Setelah 37 tahun berkuasa Robert Mugabe, 93 tahun, meletak jawatan sebagai Presiden Zimbabwe pada November 2017 selepas menghadapi tekanan daripada pucuk pimpinan tentera negara itu.

Walaupun Mugabe cuba mempertahankan kedudukannya, beliau akhirnya mengalah setelah parti pimpinannya ZANU-PF memecatnya dari jawatan tertinggi parti dan setelah diberi jaminan bahawa keselamatan dan keamanan untuk diri, ahli keluarga dan kehormatannya terjaga.

Apa yang menarik adalah Mugabe memulakan karier sebagai Perdana Menteri Zimbabwe (sebelum menjadi Presiden pada 1980) sebagai tokoh yang disanjung ramai kerana berjaya memimpin perjuangan memerdekakan Rhodesia (nama Zimbabwe sebelum merdeka) dari penjajah British pada tahun 70an.

MULANYA DISANJUNG, KEMUDIAN DIBENCI 

Apa yang berlaku pada Mugabe bukan unik. Sepanjang sejarah pemerintahan pelbagai negara sebelum ini, telah wujud kes-kes yang hampir sama, iaitu pemimpin yang pada awalnya dihormati tapi kemudiannya dibenci setelah lama memerintah hingga terpaksa dijatuhkan.

Antara kes yang hampir serupa ialah,

1) Sukarno, bekas presiden Indonesia, yang dihormati sebagai hero kemerdekaan tapi dipaksa turun dari kedudukannya setelah 22 tahun berkuasa kerana hubungannya dengan Parti Komunis Indonesia yang bertanggungjawab ke atas cubaan merampas kuasa yang mengorbankan ramai jiwa;

2) Suharto, bekas presiden Indonesia yang dianggap hero kerana menyelamatkan negara dari pemberontakan berdarah komunis tapi kemudiannya dipaksa turun dari jawatannya disebabkan revolusi rakyat setelah 31 tahun berkuasa;

3) Gaddafi, bekas presiden Libya yang dianggap hero kerana menyelamatkan Libya dari sistem monarki yang menindas rakyat biasa tapi kemudiannya dibunuh oleh kumpulan pemberontak bersenjata dari kalangan rakyat Libya setelah 42 tahun memerintah dan;

4) Hosni Mubarak, bekas presiden Mesir yang pemerintahan selama 30 tahun berakhir disebabkan revolusi rakyat yang marah dan bosan dengannya hingga beliau kemudiannya ditangkap dan didakwa atas salah guna kuasa.

DIBENCI SELEPAS LAMA MEMERINTAH 

Apakah yang menyebabkan para pemimpin ini yang dahulunya dihormati, bahkan dianggap hero, tapi kemudiannya dibenci di akhir pemerintahannya setelah lama memerintah?

Mengapakah para pemimpin sering mahu kekal lama di tampuk kuasa?

Mengapakah pemimpin sebegini gagal ambil pelajaran dari peristiwa lepas yang banyak dalam sejarah sehingga melakukan kesilapan yang sama lalu mengundang nasib yang sama?

PESONA KUASA KEPIMPINAN

Satu penyebab utama para pemimpin mahu kekal lama dalam jawatan ialah kuasa yang datang bersama jawatan kepimpinan. Kuasa adalah keperluan asasi tugas kepimpinan.

Kuasa memberi kedudukan tinggi bagi para pemimpin dan kedudukan berkenaan menjana kemuliaan dan penghormatan bagi para pemimpin.

Kuasa juga adalah imbalan bagi beban tanggungjawab yang harus dipikul oleh para

pemimpin.

Pemimpin juga mendapat imbalan kewangan dan manfaat kebendaan lain bagi tugas dan jawatannya. Semakin berat tangungjawab, semakin besar imbalan yang diberi.

Kemuliaan dan sanjungan serta ganjaran kebendaan menjadikan jawatan kepimpinan selalu menggiurkan dan mempesona manusia yang tidak memilikinya, apatah lagi mereka yang sudah merasainya.

IBARAT GULA-GULA YANG MENGGIURKAN

Ia ibarat gula-gula bagi kanak-kanak – menggiurkannya apabila melihat dan telah dapat merasakannya hingga wujud keinginan untuk selalu menikmatinya hingga menjadi tabiat yang sukar ditinggalkan – walaupun ia boleh mendatangkan risiko pada kesihatan seperti kegemukan dan kencing manis.

Pemimpin menjadi lebih tergiur dan terpesona apabila menyedari kuasa di tangannya juga membuka pintu bagi pelbagai manfaat dan nikmat untuk menambah kemewahan dan kuasa yang sedia ada seperti hadiah-hadiah, peluang perniagaan bagi ahli keluarga, jaringan sosial dan kedudukan pelbagai wadah lain, baik secara sah atau tidak.

Oleh kerana manusia tercipta untuk suka dengan kemewahan dan sanjungan, lama dalam jawatan kepimpinan menimbulkan suka dengan kepimpinan dan ingin kekal lama di situ.

Semakin lama, menjadi semakin sukar untuk melepaskannya ibarat kanak-kanak yang sudah ketagih dengan gula-gula yang enak.

CUBA PERTAHANKAN KEDUDUKAN

Berikutan dari itu juga, pemimpin yang lama akan cuba mempertahankan kedudukannya dengan apa cara sekali pun, walau pun ramai sudah tidak menyukainya atau kemampuannya sudah usang oleh perubahan zaman.

Apa yang dijelaskan di atas, dirakam dalam kata-kata Lord Acton yang popular, “Kuasa condong pada penyelewengan dan kuasa yang mutlak pasti menyeleweng”.

Maksud yang sama juga diucapkan oleh William Pitt, Perdana Menteri Britain (1766 – 1778) dan ditulis oleh Alphonse Marie Louis de Prat de Lamartine dalam eseinya yang dikumpul dan diterjemah dalam buku France and England: a Vision of the Future (1848).

SERONOK UNTUK KEKAL LAMA 

Memang benar tidak semua pemimpin menerima ganjaran kewangan secara langsung dalam memikul tugas berkenaan seperti pemimpin badan-badan kemasyarakatan dan kebajikan. Tapi ini tidak bermakna apa yang dinyatakan di atas tidak relevan bagi mereka.

Ketinggian status sosial, nikmat-nikmat tidak ketara (intangible) dan peluang-peluang bagi menjana manfaat kebendaan bagi diri dan ahli keluarga memadai untuk seseorang berasa seronok untuk kekal lama dikedudukannya, sama seperti penjawat awam dan politik.

KETERIKATAN EMOSI 

Tidak semua pemimpin yang lama dijawatan menjadi korup atau melakukannya dengan niat yang serong.

Ada yang ikhlas menjalankan tugas dan kekal integritinya. Namun ini tidak bermakna kepimpinannya yang lama itu baik, disukai orang atau relevan bagi tangani cabaran semasa.

Ramai yang seperti ini mahu kekal di kedudukannya disebabkan ikatan emosi pada kerja, kedudukan atau organisasi yang dipimpinnya.

Sumbangan penting yang mereka lakukan dan tempoh lama meraka dijawatan telah membina ikatan emosi yang kuat dengan kerja, jawatan dan organisasi sehingga sukar untuk berpisah atau melepaskan (let go) apa yang ada ditangan.

BUKAN MILIK PERIBADI 

Ikatan emosi telah mengaburkan hakikat bahawa jawatan dan kedudukan bukan milik peribadi, walau pun jasa yang disumbang adalah besar.

Mereka juga terlupa bahawa usia yang lanjut dan perubahan masa dan cabaran telah menyebabkan keberkesanan kepimpinan mereka menurun. Dalam sesetengah keadaan, ia adalah penyebab pada masalah yang menjejas orang ramai.

Faktor ini memberitahu bahawa bukan semua yang mahu kekal lama dijawatan kerana niat-niat yang songsang.

TIADA JUSTIFIKASI UNTUK KEKAL LAMA

Namun ketiadaan niat songsang dan amalan rasuah bukan justifikasi untuk kekal lama dijawatan.

Ini kerana terlalu lama dijawatan berisiko untuk mempunyai ikatan emosi yang kuat pada jawatan dan tugas hingga tidak sedar bahawa tempoh luput bagi keberkesanan diri telah tiba hingga kekal dia dijawatan menjadi beban kerana telah hilang kemampuan untuk tangani cabaran semasa.

Hal ini jika berterusan akan menimbulkan kemarahan orang ramai hingga memaksa mereka menjatuhkan beliau atau dia terpaksa meletak jawatan dengan cara yang tidak terhormat.

SINDROM SENDIRI SAHAJA BOLEH 

“Sendiri sahaja boleh” adalah satu sindrom yang dirasakan oleh pemimpin lama bahawa sumbangan dan pencapaian yang dibuat adalah besar yang perlu dijaga atau diteruskan, tapi, di matanya, tiada sesiapa yang layak untuk melakukannya, kecuali dirinya sahaja.

Pemimpin seperti ini juga takut jika legasinya musnah oleh orang lain yang dianggap tidak sebagusnya.

Oleh itu, dia perlu kekal sebagai pemimpin hingga ada orang lain yang sama layak. Namun orang lain itu hampir tidak wujud di matanya.

Adakala sumbangan dan pencapaian itu memang satu fakta yang objektif yang diakui oleh ramai orang lain.

Pencapaian ini boleh dalam bentuk kemajuan besar berbanding pemimpin sebelumnya, atau kejayaan untuk mengatasi krisis besar seperti keruntuhan ekonomi, konflik antara kaum yang meluas dan perang yang semuanya diikuti pula dengan pembangunan, kestabilan dan keamanan.

TIADA SIAPA LAIN YANG LAYAK

Bentuk lain pemimpin bersindrom ini ialah seseorang yang melakarkan sesuatu visi yang besar lalu merasakan, pada setiap masa, tiada sesiapa yang mampu untuk mencapainya kecuali dirinya sahaja.

Apa yang menjadikan sindrom ini bermasalah ialah mungkin benar tiada atau belum ada yang layak untuk menjayakan visi yang dilakarkan.

Tapi menetapkan bahawa pilihan yang ada hanyalah dengan dia kekal di jawatan juga bermasalah kerana pastinya ada huraian lain boleh dibangun bagi mencapai visi yang ada.

Ini termasuklah seperti mengubahsuai pelan pelaksanaan mencapai visi atau membentuk formula atau model kepimpinan yang berbeza dari yang berpusat pada keupayaan diri pemimpin itu sahaja.

Sekali lagi, sindrom ini wujud tidak semestinya atas sebab pemimpin berkenaan berniat serong atau condong pada salah guna kuasa.

KEPENTINGAN JAGA DIRI SENDIRI

Dia mungkin berniat baik dan benar dalam menilai keadaan, tapi rumusan bahawa kekal berkuasa sebagai huraian terbaik adalah silap.

Ia terutama sekali jika dinilai pada kepentingan untuk menjaga dirinya sendiri dari risiko terpesona oleh kuasa dan bagi maslahat jangka panjang pembangunan institusi kepimpinan yang bukan berteras individu.

Pemimpin sebegini perlu bermuhasabah dengan jujur sama ada sindrom wujud lebih bersebabkan defisit dalam memberi kepercayaan kepada orang lain dalam dirinya.

Jika ini sebab sebenar, sumber masalah hakiki adalah pemimpin itu sendiri, bukan ketiadaan calon yang layak kerana pemimpin seperti ini akan terus merasa hanya dirinya sahaja yang boleh, walau pun sebenarnya ramai yang layak.

LANGKAH PENCEGAHAN 

Tidak dinafikan wujud manfaat dari pemimpin yang memegang jawatan pada tempoh yang lama.

Antara manfaatnya ialah kestabilan, konsistensi dalam pelbagai perkara, tempoh masa yang memadai untuk menjayakan sesuatu perancangan atau visi dan pengalaman yang kaya bagi atasi cabaran dan masalah.

Diakui juga tidak semua pemimpin yang lama memegang jawatan jatuh dalam penyelewengan dan turun dari kedudukannya dalam keadaan tidak terhormat.

Namun kewujudan jumlah yang ramai mereka yang menyeleweng juga menunjukkan bahawa ia adalah satu risiko yang hakiki. Seringkali pula mudarat yang timbul dari mereka ini besar.

Atas dasar itu, sikap berhati-hati bagi mengurangkan risiko dan menjaga maslahat ramai lebih disukai.

Maka diwujudkan langkah-langkah dalam sistem dan proses pemilihan kepimpinan agar segala keburukan yang dinyatakan di atas tidak berlaku pada seorang pemimpin.

BATASKAN TEMPOH JAWATAN 

Antara langkah yang biasa diwujudkan ialah membataskan tempoh membolehkan seorang pemimpin kekal di jawatan.

Jumlah tempoh ini bergantung pada jumlah tahun penggal jawatan satu kepimpinan (2, 4 atau 5 tahun/penggal) sebelum pemilihan baru dijalankan.

Sebagai contoh kebanyakan negara membataskan tempoh jawatan pada 2 penggal bertempoh lima tahun berturut-turut atau tempoh maksima 10 tahun berturut-turut sahaja bagi penjawat jawatan eksekutif tertinggi seperti di Amerika Syarikat.

Bagi penggal yang bertempoh 2 tahun seperti yang berlaku dikebanyakan badan-badan kemasyarakatan, jumlah penggal boleh dibanyakkan bagi memboleh tempoh kepimpinan yang agak lama bagi membolehkan pemimpin menjalankan programnya dengan berkesan.

Kewujudan tempoh kepimpinan tertentu pula menuntut langkah lain bagi menjamin kewujudan penerus bagi jawatan kepimpinan yang perlu dikosongkan kerana batas tempoh maksimum telah dipenuhi.

MEMBENTUK BARISAN PELAPIS 

Langkah ini dikenali sebagai sistem atau pelan penerusan kepimpinan iaitu usaha tersusun untuk membentuk barisan pelapis untuk kepimpinan di masa akan datang.

Seperti kata-kata Ralph Nader, “Fungsi sebuah kepimpinan adalah untuk menghasilkan lebih banyak lagi pemimpin, bukan pengikut” dan John D. Rockefeller, “Jangan takut untuk menyerahkan sesuatu yang baik untuk pergi ke arah yang lebih baik.”

Tidak semua jawatan kepimpinan yang bertempoh mempunyai sistem tersusun untuk melahirkan pemimpin pelapis.

Namun ketiadaan sistem tersusun ini menimbulkan risiko,

1) ketiadaan calon yang baik untuk mengganti pemimpin yang harus pergi;

2) risiko perebutan kuasa di kalangan mereka yang berambisi untuk menjadi pemimpin lebih tinggi;

3) memberi alasan bagi pemimpin sedia ada untuk cuba kekal di jawatannya dengan meminda undang-undang atau menggunakan jalan-jalan lain.

SUBURKAN KEWARGANEGARAAN AKTIF 

Langkah lain ialah menyuburkan kewarganegaraan yang aktif (active citizenry) di kalangan rakyat/ahli iaitu menanamkan rasa kepekaan untuk ambil tahu dan melibatkan diri secara aktif dalam urusan pentadbiran, pemerintahan dan kepimpinan.

Rakyat/ahli yang aktif dan celik tanggungjawab diri akan sentiasa memantau prestasi para pemimpin dan mengkritik mereka jika didapati sesuatu yang meragukan.

Hal ini berfungsi sebagai pengimbang bagi kuasa pemimpin dan pemberi ingatan, jika mereka berniat serong.

Selain langkah-langkah struktural yang dinyatakan di atas, diperingkat individu pula ialah menanam dan mengukuhkan nilai-nilai murni dalam diri para pemimpin yang akan memandu tingkah lakunya dari menyeleweng.

PEMIMPIN PERLU REFLEKSI DIRI 

Selain dari nilai-nilai seperti amanah, pemimpin hendaklah sentiasa melakukan refleksi diri tentang pesona kuasa dan jawatan kepimpinan dalam mengubah niat seseorang dan condong pada salah guna.

Ia juga perlu sentiasa sedar sama ada keupayaannya masih serasi dengan keadaan semasa untuk terus berkhidmat atau atasi cabaran-cabaran yang ada atau persekitaran yang ada masih serasi dengan keadaan dirinya?

Agar tidak jatuh dalam kejatuhan yang mendadak kerana kemarahan rakyat yang tidak dijangka lebih awal, pemimpin hendaklah tahu diri, iaitu tahu sama ada keupayaannya masih relevan dengan keadaan semasa atau telah tiba masa luput.

Ini hanya dapat dicapai jika dia selalu melakukan refleksi diri dengan jujur.

PENGAJARAN SESUAI UNTUK SEMUA PEMIMPIN 

Segala apa yang dinyatakan di atas bukan hanya sesuai dalam konteks kepimpinan skala besar (nasional), tapi juga sesuai bagi pemimpin skala kecil (badan-badan kemasyarakat atau sivil).

Maka bagi manfaat semua jenis pemimpin, pengajaran dari kejatuhan Mugabe dan yang sepertinya sebagaimana dinyatakan di atas dapat disimpulkan seperti berikut:

· Kuasa kepimpinan mempunyai pesona yang boleh menyelewengkan para pemimpin.

· Semakin lama berada di jawatan kepimpinan semakin tinggi dan kuat pesona kuasa ke atas pemimpin.

· Niat yang baik di permulaan kepimpinan tidak menjamin seorang itu kekal sedemikian disebabkan pesona kuasa kepimpinan.

· Niat yang baik juga boleh menyebabkan seseorang itu buta tentang hakikat diri sendiri dan realiti sekitarannya hingga tidak mahu melepaskan jawatannya.

· Sewajarnya pemimpin tahu diri dan membataskan tempoh kepimpinannya secara sukarela, jika sistem tidak mewajibkannya, bagi elak dari jatuh dalam pesona kuasa atau dipaksa turun secara tidak terhormat.

· Pembatasan tempoh kepimpinan adalah satu langkah yang baik bagi atasi risiko penyelewengan pemimpin dan bagi memaksa kewujudan sistem melahirkan barisan pelapis kepimpinan yang berkesan.

· Orang ramai adalah pengimbang terbaik bagi memeriksa para pemimpin selama mana mereka celik akan tangungjawab dan aktif berperanan.

· Pemimpin hendaklah sentiasa melakukan refleksi diri agar tahu bila untuk terus memimpin dan bila pula mengundur secara terhormat.