Artikel – Meluruskan Jalan Menimba Ilmu (Berita Harian (Singapura), 4 Jun 2010)

4 Jun 2010

BERITA HARIAN

Meluruskan jalan menimba ilmu

Oleh
Ustaz Muhammad Haniff Hassan

ILMU adalah kunci kemajuan.

Tradisi yang mengutamakan ilmu adalah sesuatu yang berakar umbi dalam ajaran Islam.

Hakikat ini menjadi lebih penting dalam ekonomi yang menyejagat hari ini. Penakatan dan kemajuan sesebuah negara terletak pada penguasaan ilmu anggota masyarakatnya.

Namun, penguasaan ilmu umat Islam boleh terhambat disebabkan sikap yang tidak betul terhadap pengambilan dan penerimaan ilmu.

Salah satu sikap yang menghambat ini dan wujud di kalangan sebahagian umat Islam ialah kecurigaan yang keterlaluan terhadap ilmu yang bersumber dari luar umat Islam dan tradisinya.

Kecurigaan ini antara lain berpunca daripada kefahaman atau tafsiran yang cetek terhadap beberapa dalil daripada Al-Quran dan hadis. Antara ayat Al-Quran yang dimaksudkan ialah firman Allah swt yang bermaksud:

‘Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang kafir itu, nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.’ (3:149); dan

‘Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang: ‘Kalau mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh’. Akibat (daripada perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka. Allah menghidupkan dan mematikan. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan.’ (3:156).

Antara hadis yang sering ditukil sebagai amaran ialah sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud yang bermaksud:

‘Barangsiapa yang meniru-niru (budaya) sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan kaum itu.’

Satu lagi hadis pula bermaksud:

‘Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani? Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka.’ (HR Bukhari and Muslim).

Kesemua dalil ini difahami sebagai satu larangan daripada mendengar nasihat dan menjauhi tingkah laku serta budaya asing kerana ia bakal membawa umat Islam kepada kecelakaan dan kesesatan.

Natijahnya ialah sikap eksklusif dan sentiasa menolak sesuatu yang datang daripada golongan lain.

Ini termasuklah ilmu yang datang daripada golongan asing.

Walhal untuk maju dalam hidup, kita memerlukan ilmu yang banyak.

Menjauhi sumber-sumber ilmu daripada luar umat Islam bukanlah pilihan yang tepat. Hakikatnya, bidang keilmuan masa kini didominasi oleh golongan bukan Islam.

Namun, jika dilihat pada ayat Al-Quran dan hadis serta sejarah umat Islam daripada perspektif yang lebih luas, ternyata perspektif di atas bukan satu-satunya tafsiran dan cara memahami ayat-ayat dan hadis-hadis yang dinyatakan dan yang seumpamanya.

Ayat-ayat tersebut tidak memadai untuk membentuk pendirian yang saksama.

Antara ayat Al-Quran yang memberi perspektif yang lain ialah firman Allah swt yang bermaksud:

‘Sebab itu sampaikanlah berita gembira itu kepada hamba-hamba-Ku. Yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang- orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.’ (39:17-18)

Pengajarannya ialah untuk memilih yang terbaik, seseorang itu perlu meneliti dahulu pendapat-pendapat lain.

Pendapat-pendapat lain termasuk yang datang daripada pelbagai sumber dan perspektif.

Ia tidak seharusnya dihadkan pada ‘pendapat kita’ kerana Al-Quran mengatakan bahawa hikmah (kebijaksanaan dan ilmu) itu diberi oleh Allah kepada sesiapa sahaja dan tidak terhad pada umat Islam sahaja (10:94).

Al-Quran mengandungi banyak hikmah yang diambil daripada sejarah umat-umat dahulu (sebahagian contoh 28:26 dan 12:47). Bahkan, Al-Quran menunjukkan contoh sifat keterbukaan menerima ilmu hatta daripada binatang sekalipun sebagaimana yang berlaku antara Nabi Sulaiman dengan burung hud-hud (27:22).

Allah swt memerintahkan Rasulullah saw merujuk kitab-kitab terdahulu untuk memastikan kebenaran yang turun kepada Baginda yang memberi pengajaran bahawa daripada kitab-kitab suci terdahulu, seseorang masih boleh mendapatkan hikmah atau ilmu (10:94).

Namun ini perlu dilakukan dengan berhati- hati dan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh ulama.

Daripada hadis pula, terdapat sabda Rasulullah saw yang mengandungi anjuran yang sama daripada sabda beliau yang bermaksud:

‘Hikmah adalah sesuatu yang hilang daripada setiap orang Mukmin. Ambillah ia di mana saja kamu menjumpainya.’ (HR At-Tirmizi dan Ibnu Majah).

Sejarah hidup Baginda juga banyak menunjukkan sikap keterbukaannya dalam memanfaatkan idea-idea yang baik daripada umat lain.

Contohnya usulan Salman Al-Farisi agar menggunakan parit untuk melindungi kota Madinah ketika Perang Khandaq dan penggunaan mohor untuk mengirim risalah-risalah rasmi.

Di dalam sunah Rasulullah saw juga, kita mendapati bahawa Rasulullah mengakui adat-adat yang baik yang terdapat di kalangan masyarakat jahiliyah seperti amalan mudharabah (pemodal memberi modal kepada peniaga dengan persetujuan untuk berkongsi keuntungan) dan diat (pampasan duit kepada keluarga mangsa pembunuhan).

Keterbukaan yang sama juga ditunjukkan oleh generasi awal Islam. Hal ini dapat dilihat daripada amalan Khulafa Rasyidun yang menggunakan sistem pentadbiran negara yang diamalkan oleh orang-orang Rom dan Parsi iaitu sistem kementerian, sistem pos dan penggunaan tarikh rasmi untuk melicinkan pentadbiran mereka dan kesejahteraan rakyat.

Anjuran ‘tuntutlah ilmu hingga ke negeri Cina’ daripada para ulama kemudiannya yang masyhur di kalangan kita hari ini juga merupakan pengakuan akan sikap terbuka mereka untuk memanfaatkan kemajuan tamadun Cina yang jauh maju sebelum kenabian Muhammad saw.

Walaupun dalil-dalil di atas membuktikan sikap tertutup dan mengasing diri daripada sumber ilmu luar bukan suatu sikap yang tepat, keterbukaan yang tidak terpimpin juga boleh membawa mudarat kerana hakikatnya juga, tidak semua ilmu bersifat neutral dari segi nilai dan falsafah hidup.

Oleh itu, keinginan mengamalkan sikap keterbukaan dalam mencari ilmu hendaklah diambil kira beberapa perkara asas.

Pertama, janganlah usaha sedemikian menyebabkan pengabaian terhadap dasar Al-Quran dan Sunah sebagai neraca bagi kebenaran dan kebaikan. Wajib bagi kita mengetahui ilmu-ilmu yang bersifat Fardu Ain bagi seorang Muslim dan tanggungjawab agama yang lain.

Janganlah sampai usaha untuk mendalami ilmu yang luas sehingga menyebabkan tiada masa untuk mendalami agama sendiri atau mengabaikan Fardu Ain seorang Muslim.

Kedua, apabila terdapat percanggahan antara ilmu yang diperolehi dengan prinsip agama, jangan terus menolak kesemuanya.

Sebaliknya, berusahalah membuat penyesuaian dengan membuang hanya bahagian yang bercanggah dengan dasar- dasar Al-Quran dan sunah serta mengekalkan yang elok. Dengan demikian itu, kebaikan yang ada masih terus dapat diraih.

Ketiga, dalam usaha memajukan diri dan bangsa melalui ilmu-ilmu dan model kemajuan umat lain, janganlah membuang terus adat tradisi dengan dakwaan bahawa ia adalah sesuatu yang kolot. Ingatlah, bangsa Barat yang telah maju hari ini pun tidak membuang tradisi dan sejarah silam mereka.

Adat dan budaya yang terdapat di kalangan umat Islam seperti masyarakat Melayu harus diteruskan selama ia tidak bercanggah dengan lunas Al-Quran dan sunah. Perlulah memahami bahawa sebagaimana tidak semua pendapat itu buruk, begitulah juga tidak semua pandangan itu baik.

Keempat, bertolak daripada hujah di atas, hendaklah sentiasa bersikap kritikal terhadap ilmu yang bersumberkan daripada umat lain, dan juga terhadap sumber-sumber daripada tradisi sendiri.

Al-Quran memberitahu bahawa Malaikat dan Nabi juga bertanya apabila Allah swt membuat sesuatu perintah kepada mereka (Al-Quran 2:30, 2:260 dan 11:74).

Kelima, apabila memberi atau menerima sesuatu pendapat, hendaklah fahami juga konteks di sebalik pendapat itu. Ini termasuk memahami perbezaan di antara konteks di sebalik pendapat yang diterima dan konteks ketika aplikasi pendapat berkenaan di masa kini, sama ada benar-benar serupa atau terlalu berbeza.

Jika sesuatu pendapat perlu difahami bersama konteksnya, maka jika berlaku perubahan konteks, janganlah teragak- agak untuk menimbangkan perubahan pendapat kerana apa yang baik pada sesuatu konteks tidak semestinya baik buat selama-lamanya.

Keenam, dalam menimba kebaikan daripada luar, lihat apakah keutamaan yang perlu diberi perhatian kerana sesuatu yang baik bukan semestinya keutamaan bagi sesuatu konteks.

Ketujuh, keinginan menimba ilmu daripada luar jangan menyebabkan kita hanya menjadi pengguna atau penerima sahaja.

Sewajarnya, kita juga gemblengkan usaha untuk membaiki idea-idea yang diterima dan membuat penyesuaian secara berterusan. Hanya dengan sikap sedemikian menjadikan kita penyumbang kepada yang lain.

Akhir sekali, usaha menimba kebaikan daripada umat yang lain tidak akan terlepas daripada perbezaan pendapat.

Ini kerana dalam banyak hal, penentuan apa yang baik, benar dan hikmah itu bukan sesuatu yang semestinya menatijah keseragaman.

Tambahan pula, apa yang benar dan baik daripada kajian-kajian ilmiah bukan semestinya satu tetapi ada pelbagai.

Maka itu, kita tidak boleh mengharapkan kesepakatan dalam sesuatu isu sepanjang masa.

Janganlah menjadi seorang yang absolutist, iaitu berasa hanya diri sendiri yang benar.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff ialah zamil madya di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.