Artikel – Sikap Islam Terhadap OKU (Bah. 1)

Artikel ini diterbitkan oleh Berita Mediacorp dengan tajuk, Sejauh mana kita sudah bersikap positif terhadap Orang Kelainan Upaya (OKU), 27 Februari 2020. Klik di sini untuk sumber asal.

oleh Muhammad Haniff Hassan

Wasatiyah (seimbang dan sederhana) dalam mengamalkan Islam bukan hanya bermaksud menjauhi perlakuan ganas dan kasar. Ia berkaitan soal bagaimana memanifestasikan misi perutusan Nabi s.a.w ke alam ini iaitu menjadi rahmat kepada seluruh alam (lihat Al-Anbiya’: 106).

Setiap Muslim pasti bersetuju rahmat harus meliputi erti mengasihi, menyantuni dan berlaku ihsan kerana ia adalah perkataan yang mempunyai akar yang sama dengan nama Allah taala, Al-Rahman (Yang Maha Pengasih) dan Al-Rahim (Yang Maha Penyayang), yang darinya lahir perbuatan Allah taala menyantuni dan berlaku ihsan terhadap semua ciptaanNya.

Sebagaimana Allah taala, Muslim hendaklah menjadi sumber rahmat bagi sekalian makhluk, baik manusia atau bukan. Manusia yang layak menikmati rahmat dari Muslim pula bukan hanya saudara Muslim sahaja, tapi juga yang bukan Muslim.

Malangnya, manifestasi keluasan rahmat Islam dalam kalangan institusi-institusi Islam kita pada umumnya bagi meliputi golongan ‘orang kelainan upaya’ (OKU) masih jauh dari yang ideal.

Institusi-institusi Islam yang ada tidak mempunyai pelan dan program yang khusus bagi memenuhi keperluan agama golongan OKU. Aspek kebajikan sosial mereka pula, pada umumnya, lebih dipenuhi oleh badan-badan sosial umum.

Hal ini perlu diubah dan ia perlu bermula dari membina kefahaman yang baik tentang golongan OKU dan sikap Islam terhadap mereka yang menjadi tujuan artikel ini.

Kenali OKU

Golongan OKU ialah mereka yang mana prospek untuk mendapat tempat, kekal dan maju dalam institusi pendidikan dan latihan, pekerjaan dan rekreasi berkurangan dan terbatas disebabkan oleh ketidaksempurnaan,

a) fisikal kerana hilang fungsi seluruh atau sebahagian anggota tubuh seperti keupayaan berjalan, melakukan kemahiran motor halus atau hilang sebahagian atau seluruh dari anggota tubuh seperti kudung.

b) pertumbuhan seperti autisme, palsi sereberum dan sindrom Down.

c) fungsi deria seperti buta dan pekak, sama ada penuh atau sebahagian.

d) intelektual yang diukur berdasarkan darjah kecerdasan (IQ) dan keterbatasan pada fungsi belajar, sosial dan kehidupan harian.

Kecacatan ini berlaku semasa lahir atau diperoleh kemudian kerana sakit seperti strok atau jangkitan kuman atau kemalangan seperti kemalangan jalan raya atau industri.

Perlu difahami tidak semua ketidaksempurnaan pada OKU itu kelihatan pada penglihatan kerana ia mungkin terlindung oleh pakaian atau tidak zahir pada tubuh luar manusia kerana ia melibatkan anggota dalam tubuh badan.

Ada pula ketidaksempurnaan OKU yang bersifat intelektual, mental dan psikologikal yang tidak dapat dilihat oleh mata sama sekali, seperti mereka yang mengalami autisme, disleksia dan gangguan bipolar. Kegagalan menanggapi ini dengan baik boleh menyebabkan seorang individu tidak dilihat sebagai OKU yang memerlukan bantuan dan layanan khusus.

Islam dan OKU

Sebagai agama rahmat, Islam perlu diterjemahkan oleh Muslim dalam bentuk tingkah laku sebagai agama yang membela nasib OKU dan ia bermula dengan kefahaman yang betul akan sikap Islam terhadap mereka.

Yang pertama dan utama, OKU di sisi Islam ialah seorang insan – makhluk yang dimuliakan (lihat Al-Isra’: 70).

Kemuliaan manusia dalam Al-Quran meliputi semua, tidak kira bangsa atau keturunan dan yang normal atau OKU. Oleh itu, wajiblah ke atas Muslim untuk melakukan perkara yang sama, iaitu tidak mendiskriminasi golongan OKU dan hendaklah menunaikan segala hak-hak seorang insan kepada mereka.

Kedua, Islam menganggap OKU sebagai sebahagian daripada kepelbagaian dalam ciptaan Allah taala. Di sebalik kewujudannya pasti ada kebijaksanaan Tuhan (lihat Ali Imran: 191, Al-Mukminun: 115, Sad: 27).

Ia juga dicipta sedemikian atas sebab yang positif – saling kenal mengenali dan belajar antara satu dengan yang lain (lihat Al-Hujurat: 13). Allah Yang Maha Adil mencipta semua manusia dengan kelebihan dan kekurangan. Seorang insan tetap ada ketidaksempurnaannya walaupun fisikal.

Kelebihan tertentu

Demikian juga OKU. Walaupun mereka mempunyai ketidaksempurnaan, mereka pasti ada kelebihan-kelebihan tertentu. Sebagai contoh ramai dari kalangan OKU mempunyai bakat istimewa dalam kesenian. Sebahagian daripada mereka pula mempunyai keupayaan memori yang istimewa.

Oleh itu, Muslim hendaklah menanggapi kewujudan mereka dengan positif, bukan sebagai beban yang menyusahkan. Menjadi tanggungjawab Muslim yang normal juga membantu mencari kelebihan yang ada pada seorang OKU, membangun potensi mereka dan bersabar atas kekurangan mereka (lihat Al-Furqan: 20).

Ketiga, ketidaksempurnaan pada OKU bukanlah satu azab kerana setiap insan lahir ke dunia ini suci dari dosa sendiri dan tidak memikul dosa sesiapa pun, termasuk kedua-dua ibu bapanya.

Ketidaksempurnaan itu hanyalah satu ujian dari Allah taala sebagaimana kesempurnaan fizikal dan segala nikmat di dunia ini juga adalah ujian juga (lihat Al-Mulk: 2 dan Al-Anbiya’: 35)

Keempat, Islam menetapkan kemuliaan manusia di sisi Allah taala bukan terletak pada keadaan fisikal, tetapi pada takwa (lihat Al-Hujurat: 13). Oleh itu, seorang insan biasa tidak seharusnya bersikap angkuh terhadap OKU kerana mungkin sahaja OKU itu lebih mulia darinya di mata Allah taala, sedangkan dirinya hina kerana sombong.

Insan istimewa

Islam menganjurkan Muslim untuk melihat OKU sebagai insan istimewa. Antara keistimewaan OKU yang tidak ada pada insan biasa ialah mereka diberikan ganjaran lebih besar pada setiap amal kebaikan mereka sebagai ganjaran bagi kesusahan yang mereka alami dan ganti bagi ketidaksempurnaan. Hal ini ada disebut oleh Rasulullah s.a.w dalam banyak hadis.

OKU juga istimewa kerana mereka disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai golongan yang menjadi sumber bantuan Allah taala kepada masyarakat. Kekurangan mereka diganti dengan kemuliaan di sisi Allah taala yang menyebabkan doa mereka lebih terkabul.

Nikmat Allah taala diturunkan kepada masyarakat yang membela nasib mereka dan musibah pula dijauhi dari mereka, sebagaimana disebutkan dalam hadis:

“Sesungguhnya kalian ditolong (dimenangkan) dan diberi rezeki disebabkan orang-orang yang lemah di antara kalian – disebabkan doa, solat dan keikhlasan mereka.” (Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud, Ahmad dan Al-Turmuzi Riwayat Al-Nasa’ii)

Sebahagian mereka adalah ahli syurga kerana mereka lahir dalam keadaan tidak sempurna akal yang menyebabkan mereka terkecuali dari segala taklif. Disebabkan itu, mereka tidak berdosa dan akan kembali kepada Allah taala dalam keadaan kekal fitrah asalnya yang mana syurga adalah imbalan bagi mereka yang sedemikian.

Bersifat positif

Dari bacaan terhadap dalil-dalil dari Al-Quran dan hadis dapat disimpulkan bahawa Islam menganjurkan Muslim agar bersifat positif terhadap kewujudan OKU dan memuliakan keberadaan mereka.

Salah satu dari tanda dari sikap sedemikian ialah keupayaan masyarakat Muslim secara kolektif, termasuk institusi-institusi agamanya, untuk membela dan memenuhi keperluan mereka.

Bahagian kedua bagi artikel ini akan membicarakan pula beberapa hak yang Islam anjurkan agar ditunaikan kepada OKU bagi menjelaskan apa yang patut dilakukan untuk mereka oleh masyarakat Muslim.  

Baca Bahagian 2 di sini.


,