Artikel – Sikap Islam Terhadap Warisan Tradisi

CSL_Culture2(c) Muhammad Haniff Hassan, 2013.

(Artikel ini diterbitkan atas tajuk “Tradisi: Nak tolak atau terima?”, oleh Berita Minggu [Singapura], 9 Jun 2013. Untuk versi asal Berita Minggu, sila klik di sini.)

Terdapat segolongan Muslim yang condong menolak apa jua tradisi, warisan, adat atau budaya yang tidak mempunyai anjuran tersurat dari Al-Quran dan sunnah, walaupun tiada larangan mengenainya.

Mereka hanya mahu menerima apa yang ada perintah dari Al-Quran dan diakui sebagai sunnah nabi s.a.w. Selain itu, mereka anggap hanya sesia-sia sahaja dan tidak bernilai.

Tradisi yang dinilai bercanggah dengan Al-Quran dan sunnah pula terus ditolak atas dasar bid`ah.

Tidak boleh atau perlu mengislamkannya kerana mereka berpendapat memadai bagi Muslim apa yang dianjurkan Al-Quran dan diakui sebagai sunnah sahaja.

Bertambah tegar dan keras sikap ini jika tradisi itu datang dari masyarakat bukan Muslim.

Mereka sentiasa bersikap skeptikal terhadap tradisi dan adat kerana tidak mahu jatuh dalam celaan Al-Quran terhadap golongan yang hanya mengikut tradisi datuk nenek mereka.

Berlatarbelakangkan sikap sebegini, artikel ini akan cuba memberi kefahaman pada pembaca sikap saksama dan sederhana terhadap warisan tradisi masa lalu dari sudut agama.

Sebelum itu, definisi tradisi untuk tujuan artikel ini ialah sesuatu yang diwarisi dari masa lampau dari satu generasi ke satu generasi yang lain dalam bentuk kepercayaan, adat, objek, amalan dan lain-lain.

Pembacaan terhadap Al-Quran dan sejarah perjuangan nabi s.a.w mempunyai banyak petunjuk bahawa Islam bukanlah satu agama yang secara tegar bersikap anti-tradisi atau menganjur penolakan total terhadapnya.

Bahkan terdapat banyak petanda akan sikap terbuka Islam terhadap tradisi masyarakat.

Panduan Islam

Pertama, syariah Islam terakhir yang diajar oleh nabi Muhammad s.a.w terkandung bukan hanya tradisi yang diwarisi dari syariah dahulu bahkan juga mengakui dan menyerap tradisi masyarakat Arab yang diamalkan sebelum kenabian Muhammad s.a.w, selama mana ia sesuai dengan prinsip-prinsip Islam.

Contoh syariah dahulu yang diteruskan ialah manasik haji, berkhatan dan korban yang diwarisi dari syariah nabi Ibrahim dan hukum qisas dari syariah Musa.

Contoh adat Arab sebelum Islam pula ialah amalan mudarabah (pemodal memberi harta untuk pengusaha laburkan atau perniagakan lalu berkongsi keuntungan darinya), larangan berperang dalam bulan-bulan tertentu, bersya`ir, mengahwinkan pohon kurma untuk dapatkan buah yang banyak dan amalan posisi seks dari belakang (bukan liwat).

Atas dasar ini jugalah para ulama bersepakat untuk merangka kaedah hukum yang berbunyi Al-Adah muhakkimah yang bermaksud adat dan tradisi adalah sumber hukum yang sah.

Dari kaedah ini, ulama Nusantara di rantau ini memperakui konsep harta sepencarian yang memberi hak kepada isteri untuk berkongsi harta yang diperolehi oleh suami semasa tempoh perkahwinan padahal secara dasarnya konsep ini tidak terdapat dalam Al-Quran dan hadis atau dalam kitab-kitab fiqh lama tulisan ulama Arab kerana ia berasal dari adat pepatih kaum Minang.

Begitu juga dengan amalan hantaran dan nikah gantung dalam masyarakat Melayu.

Ya, bukan semua adat boleh diakui sebagai hukum Islam kerana para ulama meletakkan syarat-syarat tertentu.

Namun kewujudan kaedah itu dan penggunaannya yang meluas menunjukkan keterbukaan fiqh Islam terhadap tradisi masyarakat yang asalnya tiada sandaran dari Al-Quran dan sunnah nabi.

Kedua, pendekatan Islam terhadap tradisi yang terdapat percanggahan dengan prinsipnya bukanlah menolak sepenuhnya tradisi itu tanpa kompromi.

Islam mengharuskan usaha islamisasi tradisi berkenaan dengan membuang aspek-aspek yang bercanggah dan mengekalkan apa yang baik darinya.

Contoh dalam hal ini ialah perakuan Islam pada amalan mengambil anak angkat di kalangan orang Arab tapi melarang menasabkan anak itu kepada si bapa angkat (Al-Quran, 33:5) dan penerusan amalan poligami dengan pembatasan pada empat isteri sahaja (4:9).

Ketiga, Islam sebenarnya bersikap terbuka terhadap apa jua yang baik dari mana sahaja.

Sikap ini jelas ditunjukkan dalam sabda nabi s.a.w, “Hikmah (ilmu) ibarat barang yang hilang daripada Muslim. Muslim lebih berhak memilikinya tanpa kira dari mana dia menemukannya.” (Riwayat Ahmad dan Ibn Majah)

Al-Quran juga menganjurkan Muslim untuk melihat kemungkinan ilmu itu datang dari mana sahaja kerana Allah taala mengurniakannya kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu (2:269).

Al-Quran juga berkata bahawa Muslim yang baik ialah yang mahu terima yang terbaik dari mana sahaja (39:17-8).

Keempat, keterbukaan Islam terhadap tradisi yang baik juga dapat dilihat dari prinsip yang dipegang majoriti ulama dahulu iaitu hukum asal bagi segala perkara yang bukan ibadah ialah halal kecuali ada dalil yang mengharamkannya.

Bahkan ulama dahulu menganjurkan umat Islam untuk belajar ke negeri dan dari orang Cina yang majoritinya bukan beragama Islam.

Ini pastinya juga anjuran mengambil pelajaran dari tradisi masyarakat berkenaan dan masyarakat bukan Muslim yang lain, selama mana tidak bercanggah dengan atau setelah pengubahsuaian ikut Islam.

Kelima, berdasarkan nota-nota di atas boleh dihujahkan bahawa ayat-ayat Al-Quran yang mencela orang Arab kerana mengikut tradisi datuk nenek mereka tidak menatijahkan hukum larangan yang mutlak (2:170, 5:104, 7:70, 23:34, 28:36).

Apabila diteliti konteks penurunan ayat berkenaan, ia merujuk kepada tradisi yang sememangnya bercanggah dengan syariah seperti akidah yang syirik kepada Allah, menyembah berhala, memberi korban pada berhala dan membunuh serta mendiskriminasi anak perempuan.

Ia juga merujuk kepada sikap taklid buta pada tradisi dan kegagalan untuk berfikir secara kritikal setelah hujah-hujah kebenaran disampaikan.

Namun Islam juga mengajar Muslim yang ingin melestari atau menyerap sesuatu tradisi agar bersikap kritikal.

Hal ini bermaksud memahami sejarah, hujah dan falsafah tradisi itu.

Lalu dinilai pula samada segala-galanya itu sesuai dengan prinsip dan ajaran agama atau lebih banyak manfaat dari mudarat apabila diamalkan dalam konteks semasa.

Jika tidak hendaklah ditinggalkan atau disesuaikan.

Ertinya, janganlah amal atau terima sesuatu sebagai tradisi atas dasar tradisi semata-mata, atau taklid buta pada orang ramai kerana ia membawa pada sifat taksub yang dicela agama.

Termasuk dalam berfikiran kritikal ialah memahami bahawa kebanyakan tradisi yang ada adalah natijah dari pengalaman, idea dan ilmu manusia yang bukan bersifat kebenaran mutlak yang tidak boleh diubah dan dicabar.

Walaupun tiada dalil jelas mengharamkannya, tradisi yang terhasil dari manusia pasti mempunyai masa luput dari segi kesuaian dan manfaatnya.

Oleh itu, hendaklah terbuka pada perubahan, jika jelas didapati bahawa kesesuaian dan manfaat telah tiada atau berkurangan disebabkan perubahan masa atau kerana ada pilihan yang lebih baik.

Kesimpulan

Islam bukan agama yang menganjurkan sifat anti-tradisi.

Sebaliknya Islam anjurkan sifat terbuka pada tradisi yang baik dan tidak halang sesiapa mengamal atau kekalkannya dalam masyarakat.

Islam tidak anjurkan Muslim untuk berpada hanya pada apa yang jelas disebut dalam Al-Quran dan sunnah nabi sahaja dalam urusan bukan ibadat.

Islam juga tidak anjurkan Muslim hanya memberi keyakinan pada tradisi yang berasal dari umat Islam sahaja dan bersifat prejudis terhadap yang bukan dari mereka.

Apabila didapati sesuatu tradisi tidak sesuai dnegan agama, janganlah terus buang dan tinggalkan kerana Islam tidak larang usaha islamisasi tradisi itu.

Namun para pencinta tradisi juga harus kritikal dan tidak taklid buta serta peka akan perubahan semasa yang menjejas keperluan pada kelangsungan sesuatu tradisi.

Ustaz Muhammad Haniff Hassan adalah Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura. Beliau berkelulusan bidang syariah dan undang-undang (UKM) dan pengajian antarabangsa (NTU).