Asas Hubungan Umat Islam Dan Bukan Islam (2/3)

Nota: Artikel ini adalah petikan dari kertas kerja Konvensyen Ulama PERGAS 2003 yang ditulis oleh penulis sendiri. Bagi perincian. sila rujuk buku Kesederhanaan Dalam Islam terbitan PERGAS, 2004.

 

….sambung dari bahagian 1

 

Perang Sebagai Dasar Hubungan : Tafsiran & Latarbelakang

 

Jika telah tsabit apa yang telah dinyatakan di atas, maka persoalannya ialah dari mana datang pemikiran ‘perang’ sebagai asas hubungan antara masyarakat Islam dan bukan Islam?

 

Pemikiran ini datang dari kaedah yang berbunyi “Asal dalam hubungan kemanusiaan adalah perang.” Kaedah ini dipegang oleh ramai ulama silam.

 

Sememangnya kita menghormati pandangan ulama dahulu namun perlulah juga kita fahami akan maksud sebenar dari pendapat mereka dan konteks zaman yang mereka berada.

 

Berkaitan dengan ini, Sheikh Faisal Mawlawi menerangkan dalam kitabnya, Al-Mafahim Al-Asasiah Li Ad-Da`wah Al-Islamiah Fi Bilad Al-Gharb;

 

“Ramai para fuqaha’ menyebutkan bahawa ‘Asal hubungan antara kamu muslimin dan bukan Muslim ialah perang’ tetapi mereka tidak bermaksud seperti apa yang dianggap oleh ramai manusia hari ini. Kalau kami ingin mencerna apa yang dimaksudkan orang para fuqaha itu di masa mereka mengikut bahasa kita hari ini akan kami katakan bahwa apa yang mereka maksudkan dari pernyataan itu ialah ‘Asal hubungan antara kamu muslimin dan bukan Muslim ialah kemungkinan (ihtimal) perang’ bukan perang yang sebenar. Ini jelas dari apa yang mereka nyatakan berkaitan gugurnya sifat harbi disebabkan seringan-ringan sebab.

 

Seorang harbi boleh mendapat jaminan keamanan dari mana-mana Muslim yang baligh dan berakal, hatta dari seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun di sisi Malik, Ahmad, dan Muhammad b. Al-Hasan.

 

Apabila seorang harbi masuk ke negara Islam tanpa jaminan keamanan, apakah yang akan berlaku ke atasnya? Yang segera terlintas dalam kefahaman kita ialah dia akan dibunuh kerana dia adalah seorang harbi dan tidak mempunyai jaminan keamanan. Tetapi para fuqaha’ berkata: Jika dia berkata – seorang harbi – ‘Aku masuk kerana hendak mendengar firman Allah taala’, atau ‘Aku adalah utusan – samada dia mempunyai surat atau tidak, atau ‘Aku masuk atas jaminan keamaan seorang muslim’ tanpa memberi bukti, dibenarkan kata-kata dia dan tidak dihalangi kerana kemungkinan benar apa yang didakwanya…. Tiada seorang pun dari fuqaha’ yang berkata bahawa dia perlu dibunuh semata-mata kerana dia adalah kafir harbi, sedangkan dia tu dianggap harbi oleh sekalian fuqaha’ itu.

 

Sesungguhya dia tidak dianggap sebagai harbi secara langsug dan dilaksanakan ke atas hukum-hukum perang kecuali ketika berlaku perang yang sebenar antara dia dan masyarakat Islam.”

 

Adapun latarbelakang kaedah itu pula, Sheikh Faisal Mawlawi berpendapat bahawa ia dicerna berdasarkan pada realiti perhubungan masyrakat Islam dan bukan Muslim di masa itu iaitu pada zaman dahulu orang-orang kafir harbi sentiasa bersiap sedia untuk memerangi dan melancarkan perang pada setiap kali yang membolehkan. Agar orang-orang Islam tidak lalai dalam melakukan persiapan di masa akan datang, para fuqaha berpendapat bahawa hukum-hukum perang mentarjihkan andaian kemungkinan perang dari mereka, walau macam mana sekali pun kita mahukan keamanan. Maka berdasarkan konteks ini menanggapi bahawa asal dalam hubungan ialah perang.

 

Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan melihat kepada realiti masa lalu yang seperti berikut;

 

a.        Dominasi budaya perang, pembunuhan dan keganasan di zaman dahulu.

 

Di zaman dahulu budaya perang amat dominant. Masyakarat, kabilah dan negara berperang dan berbunuhan disebabkan masalah yang kecil.

 

Hakikat ini diperkuatkan lagi dengan permusuhan dalam bentuk perang yang berterusan dari negara-negara di sekeliling umat Islam dahulu. Atas suasana seperti inilah, bahasa perang mewarnai bahasa yang digunakan bagi menggambarkan hubungan masyarakat Islam dan bukan Islam.

 

b.   Keadaan pemerintahan kuku besi yang bermaharajalela di zaman itu ke atas masyarakat umumnya.

 

Pemerintahan seperti ini sering kali menghalang kebebasan beragama mengikut kehendak rakyatnya bahkan memaksa rakyat beragama dengan agama rasmi negara. Ini bukan hanya terhad pada pemerintahan Paris dan Rom sahaja tetapi juga pemerintahan yang berlaku di Eropah. Hakikat ini boleh dilihat dalam kisah Ashabul Ukhdud, Ashabul Kahfi, Namrud dan nabi Ibrahim, Firaun dan Musa.

 

Hakikat ini berbeza dengan zaman hari ini, yang mana rata-rata pemerintah di merata tempat tertakluk untuk di bawah undang-undang antarabangsa untuk menjamin kebebasan beragama. Ini diperkuatkan lagi dengan meratanya Sekularisme  sebagai dasar pemerintahan yang menjadikan negara tidak bepihak kepada mana-mana agama. Tanpa menafikan kewujudan beberapa negara yang masih mengamalkan dasar kuku besi, namun hakikat ini ialah berdasarkan kepada hukum umum yang berlaku di pelbagai benua.

 

Walaupun juga diakui bahawa rasa permusuhan di kalangan pemerintah bukan Muslim terhadap Islam masih wujud di setengah-setengah tempat tetapi, dalam konteks hari ini dia tidak dimanifestasikan dalam bentuk tindakan peperangan sebagaimana dalam hukum perang Islam. Yang ada adalah tindakan mencemarkan imej Islam atau menyukarkan beberapa amalan Islam. Tindakan seperti ini tidak memberi justifikasi untuk melayan mereka seperti seorang harbi. Dalam banyak hal, Rasulullah s.a.w tidak melayan orang bukan Muslim dengan hukum perang hanya kerana mereka mengejek Islam.

Demikianlah gambaran ringkas yang melatakbelakangi kaedah yang dinyatakan di atas.

 

Selain itu, ayat surah At-Taubah pula adalah ayat yang ditujukan kepada orang-orang Arab musyrikin di Semenanjung Tanah Arab. Dr Wahbah Az-Zuhaili dalam kitab tafsirnya menulis berkaitan At-Taubah : 5;

 

“Wajib memerangi orang-orang musyrik Arab sehingga mereka masuk Islam. Tidak dapat diterima dari kecuali Islam atau perang itu kerana tanggapan bahawa mereka adalah pemikul risalah dakwah Islamiah ke seluruh alam.”

 

Maka dalam hal ini tafsiran yang menyokong pandangan asas hubungan adalah perang mempunyai ihtimal (kemungkinan) erti yang khusus.

 

Kesimpulannya ialah;

 

a.       Kaedah berkenaan tidak difahami sekadar pada lafaz zahir.

b.      Kaedah berkenaan dirangka dengan berlatarbelakangkan kehidupan di masa itu.

c.       Di sebalik kaedah berkenaan, terdapat banyak petanda yang mana para fuqaha’ di masa itu masih beriltizam dengan prinsip aman dalam Islam. Ini dapat dilihat dalam huraian berikut.

 

Asal Hubungan Adalah Aman

 

Setelah kita memahami tafsiran bagi kaedah berkenaan dan latarbelakangnya, dapat disimpulkan bahawa yang lebih utama ialah ‘Asal hubungan antara masyarakat dan bukan Muslim ialah damai bukan perang’. Hujah-hujahnya ialah;

 

a.       Islam tidak memerangi orang bukan Muslim semata-mata disebabkan kekufuran mereka.

Yang menjadikan seorang bukan Muslim itu harbi apabila ia melakukan tindakan perang ke

atas umat Islam.

 

Ini dinyatakan dalam Al-Mumtahanah : 8-9.

 

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sebab permusuhan ialah kerana tindakan perang. Tanpa tindakan sedemikian, Allah tidak menghalang umat Islam untuk bermuamalah dengan mereka. Bahkan Allah taala memerintahkan agar umat Islam melakukan kebaikan dan keadilan ke atas mereka dengan pernyataan ‘an tabarruhum wa tuqsituu ilaihim’.

 

b.   Dasar hubungan atas keamanan sejajar dengan perintah jihad yang hanya dilakukan apabila diperangi.

 

Ini dinyatakan dalam Al-Baqarah : 190. Jika semua orang bukan Muslim asalnya adalah harbi yang wajib diperangi, ini tidak konsisten dengan pelbagai perintah yang melarang membunuh orang bukan Muslim yang tidak terlibat dalam peperangan seperti kanak-kanak, perempuan, orang tua dan paderi. Kesemua ini wujud dalam penulisan para fuqaha’ yang melakarkan kaedah asal hubungan ialah perang.

 

c.   Dalam hukum layanan terhadap tawanan perang, Islam membenarkan tiga bentuk    layanan; dibunuh, dibebaskan, ditebus atau ditahan, mengikut budi bicara penguasa.

 

Jika sifat kufur semata-mata menjadikan itu harbi, maka pastinya tidak perlu kepada aturan seperti ini. Sebaliknya aturan ini diadakan kerana keadaan tawanan perang sudah tidak lagi mampu melakukan perlawanan.

 

d.   Rasulullah s.a.w tidak memulakan layanannya dengan pemerintah bukan Muslim       dengan perang.

 

Ini dapat dilihat dari surat-surat Rasulullah s.a.w kepada raja-raja dan para pembesar yang hanya mengandungi ajakan untuk masuk Islam sahaja. Beliau menulis kepada Kisra Parsi;

 

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad Rasulullah kepada Kisra Agung Parsi. Salam sejahtera ke atas mereka yang mengikut petunjuk dan beriman dengan Allah dan RasulNya dan meyaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan bahawa Muhammad itu hamba dan RasulNya. Dan aku menyeru kamu dengan seruan Allah bahawa sesungguhnya aku adalah Rasulullah kepada manusia seluruhnya untuk mengingatkan siapa yang hidup dan membenarkan kata-kata ke atas orang-orang kafir. Jika kamu menganut Islam, nescaya kamu selamat dan jika kamu enggan, maka ke atas kau dosa orang-orang Majusi.”

 

Beliau hanya memerangi pemerintah yang memerangi beliau setelah menerima surat dari beliau. Beliau memerangi Rom kerana menyokong kabilah Arab yang telah membunuh utusan Rasulullah s.a.w dan memerangi Parsi kerana telah mengutus dua orang untuk membunuh beliau. Kesemua perbuatan itu adalah perbuatan yang dianggap sebagai deklarasi perang ke atas Rasulullah s.a.w.

 

Hakikat ini menjelaskan mengapa para sahabat setelah beliau langsung menawarkan kepada pemerintah Parsi dan Rom setelah itu dengan pilihan; Islam, jizyah atau perang, kerana kesemua perintah itu telah pun berstatus harbi disebabkan tindakan mereka terhadap Nabi dan mereka tidak menarik balik sifat harbi dan permusuhan itu. Dalam konteks hari ini, membatalkan deklarasi perang dengan menawarkan perdamaian.

 

Apa yang dilakukan oleh para sahabat di masa itu bukanlah gambaran hukum asal tetapi kerana membalas tindakan perang dan menolak permusuhan. Tindakan itu diperkuatkan pula oleh sifat pemerintah berkenaan yang zalim dan kuku besi.

 

e.   Hari ini latarbelakang kaedah yang dicerna para fuqaha’ dahulu telah berubah.

 

Umumnya budaya perang sudah tidak dominan dalam hubungan kenegaraan. Bahkan umumnya negara dan masyarakat lebih cenderung kepada perdamaian. Bantahan jutaan manusia terhadap pelbagai bentuk peperangan dan baru-baru ini terhadap rancangan untuk menyerang Iraq adalah satu tanda yang jelas.

 

Negara-negara di dunia pula umumnya semakin bersifat terbuka dan demokratik untuk menjamin hak-hak asasi rakyat, termasuk kebebasan beragama. Demokrasi sudah mengatasi pemerintahan kuku besi dahulu.

 

Dengan perubahan ini, maka kaedah berkenaan juga wajar diubah dan dikembalikan kepada ruh dan sifat asal Islam iaitu cinta kepada kedamaian. Dasar perdamaian dalam hubungan antara manusia juga lebih memenuhi maslahat dakwah dalam persekitaran yang telah berubah. Bagaimana mungkin kita memenangi hati manusia yang didominasi dengan idea perdamaian dengan ‘dasar perang’ dalam pemikiran kita?

 

Atas dasar itu tsabitlah bagi kita bahawa ‘Asal hubungan antara masyakarat Islam dan bukan Muslim adalah perdamaian dan keamanan’. Atas dasar ini, kita menjalani kehidupan sebagai minoriti Muslim di Singapura.

 

Kita tidak bersetuju dengan kekufuran tetapi kita tidak memerangi orang bukan Muslim kerana sifat kufur. Kita peka terhadap sifat dengki yang wujud pada sebahagian masyakarat bukan Muslim tetapi kita tidak memerangi perbuatan dengki itu selama mana ia bukan tindakan perang.

 

Kita membalas segala sesuatu dengan yang setimpal; hujah dengan hujah, kempen dengan kempen. Kita meletakkan setiap kelompok manusia pada kedudukannya yang sesuai dan sejajar dengan kebaikan dan keburukan yang ada padanya.

 

…………………… bersambung di bahagian 3.