Bagaimana Golongan Pelampau Menyulut Pelampauan dan Pengganasan

 

Bagaimana Golongan Pelampau Menyulut Pelampauan dan Pengganasan

 

Muhammad Haniff Hassan

 

Memahami bagaimana golongan pelampau mengabsah (legitimize) tindakan pengganasan mereka atas nama Islam adalah penting kerana ia membantu bagaimana sanggahan ke atasnya dapat dibuat dengan tepat dan berkesan.

 

Umumnya ideologi pelampau dirangka dan diwar-warkan secara berperingkat-peringkat oleh pihak yang berusaha menyebarkannya untuk mempengaruhi orang lain. Ia ibarat satu bangunan yang mempunyai pelbagai tingkat. Seseorang itu akan di bawa ke satu tingkat dahulu sebelum menaiki tingkat yang lain sehinggalah sampai ke kemuncaknya iaitu tingkat yang mengabsahkan pengganasan sehingga mendorong pihak yang terpengaruh melakukannya.

 

Memahami tingkatan-tingkatan ini juga penting kerana ia membantu individu untuk mengenalpasti sejak awal lagi petanda yang boleh menjerumuskannya pada pelampauan agar dapat menjauhinya dengan segera.

 

Artikel ini bertujuan untuk memberi gambaran mudah dan ringkas bagaimana ideologi pelampau dirangka dan tingkat-tingkat pembinaannya. Perlulah diingatkan bahawa gambaran ringkas dan mudah ini adalah untuk memudahkan pengenalan dan bacaan umum. Ada pun usaha untuk membanteras dan menyanggahnya memerlukan kajian yang mendalam akan perincian dan selok belok hujah-hujah mereka. Cara mudah memahami ideologi pelampauan yang dilakarkan ini tidak seharusnya menjadikan usaha menyanggahnya dilakukan secara simplistik dan ambil mudah kerana sesuatu perlawanan akan berisiko gagal jika pihak yang terlibat mengambil mudah dan memandang enteng keupayaan lawannya.

 

Penggunaan agama bagi mengabsahkan pengganasan oleh pelampau Muslim, umumnya, berlaku melalui tujuh tingkatan hujah yang saling berkaitan antara satu sama lain.

 

Tingkat pertama dari binaan hujah ini ialah peringkat mendefinisikan erti kehidupan dan siapakah dia “golongan lain” (the other). Di tingkat ini, hujah yang dikemukakan ialah hidup ini ialah pertempuran antara Islam dan kekufuran. Kekufuran ialah produk syaitan yang sifatnya sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia dari Islam dan menghancurkan Islam pula.

 

Oleh kerana kekufuran adalah produk syaitan, Muslim berkewajiban untuk memenangkan Islam atas kekufuran dan menjadi tuan kepada orang-orang kafir kerana yang sebaliknya bermakna membenarkan keunggulan syaitan dan kebatilan. Dengan ini juga, “golongan lain” ialah semua yang menyokong kekufuran atau tidak menerima Islam.

 

Tingkat kedua ialah tingkat melabelkan semua “golongan lain” iaitu orang-orang kafir sebagai musuh. Rasionalnya ialah, oleh kerana kufur dan orang-orang kafir adalah produk dan pengikut syaitan (musuh utama manusia), maka kesemua itu juga hendaklah ditanggapi, dilayan dan dibenci selayaknya seperti musuh. Sebagaimana syaitan, semua orang-orang kafir tidak akan sama sekali redha dan suka kepada Muslim. Mereka juga akan sentiasa berkonspirasi jahat sehingga semua Muslim mengikut jalan kekufuran juga.

 

Tingkat ketiga dari hujah golongan pelampau ini ialah memperkukuhkan label negatif ke atas semua orang kafir dengan “bukti-bukti empirikal” dengan tujuan memberi kewibawaan pada dakwaan tadi. Ini dilakukan dengan mengemukakan peristiwa-peristiwa bersejarah secara selektif sebagai bukti bahawa semua orang-orang kafir memang pada dasarnya musuh terhadap Islam dan Muslim.

 

Antara peristiwa-peristiwa yang sering kali digunapakai ialah:

·            Penindasan orang-orang kafir Quraisy ke atas generasi pertama Muslim

·            Peperangan-peperangan yang berlaku antara nabi Muhammad s.a.w dan orang-orang kafir

·            Pengkhianatan Yahudi di Madinah ke atas nabi Muhammad s.a.w

·            Sikap permusuhan empayar Rom yang beragama Kristian terhadap umat Islam generasi pertama apabila ia membantu kabilah-kabilah Arab yang menentang nabi Muhammad s.a.w

·            Permusuhan empayar Parsi yang beragama Majusi terhadap Islam

·            Perang Salib

·            Penjajahan kuasa Barat ke atas tanah umat Islam

 

Peristiwa-peristiwa ini kemudiannya dikuatkan lagi dengan peristiwa-peristiwa yang lebih kontemporari seperti:

·            Penubuhan negara Israel yang disokong oleh kuasa kafir yang menjejaskan hak-hak Muslim di Palestin sebagai simbol konspirasi jahat semua orang kafir

·            Permusuhan Israel ke atas Muslim dan negara-negara Arab sebagai penerusan permusuhan dahulu

·            Sokongan negara-negara kafir ke atas penguasa-penguasa negara Muslim yang bersifat kuku besi dan sekular

·            Penindasan Muslim di India, Rusia, Bosnia, Kosovo, Albania dan Chechnya dan pengabaian kuasa-kuasa besar akan nasib mereka sebagai pembenaran akan sifat jahat semua orang kafir

·            Pencerobohan ke atas Iraq dan Afghanistan yang sedang berlaku

·            Penjarahan sumber-sumber kekayaan negara umat Islam

·            Penyebaran keruntuhan moral di dalam masyarakat Islam melalui program pembaratan

 

Tingkat keempat pula ialah tingkat bermulanya pengabsahan jihad bersenjata ke atas semua orang kafir. Di tingkat ini, golongan pelampau berhujah berdasarkan insiden-insiden permusuhan masa kini bahawa orang-orang kafir bukan hanya telah menyebabkan kesengsaraan ke atas umat Islam dan menyebarkan kebejatan moral, bahkan mereka telah menceronoh dan menduduki tanah umat Islam yang perlu dibebaskan kembali. Penjajahan tanah umat Islam telah menyebabkan ribuan korban nyawa Muslim yang tidak berdosa. Oleh itu, jihad ke atas orang-orang kafir ini, pada hari ini, bukan hanya satu jihad pemikiran melalui dakwah dan pendidikan tetapi yang lebih utama ialah jihad bersenjata sehingga setiap inci tanah yang dijajah dikuasai kembali. Jihad bersenjata dalam konteks ini ialah jihad mempertahankan diri sejajar dengan tuntutan Al-Quran.

 

Tingkat kelima pula ialah hujah yang bertujuan untuk mengerahkan semua umat Islam untuk bersama melakukan jihad bersenjata. Di sini, jihad bersenjata dibentangkan bukan hanya sebagai satu kewajiban fardhu ain ke atas semua Muslim bagi mempertahankan diri dan membebaskan tanahair tetapi juga sebagai kewajiban yang terutama di atas segala kewajiban lain dan juga sebagai satu-satunya huraian bagi membela Islam dari konspirasi jihad semua orang kafir.

 

Tingkat keenam ialah hujah yang merungkai segala batas-batas tradisional jihad bersenjata. Dengan berhujah bahawa jihad hari ini adalah fardhu ain, golongan pelampau lalu merungkai perkara-perkara yang selama ini membataskan pelaksanaan jihad bersenjata iaitu tidak perlu lagi izin dari ibubapa, pemiutang, suami, bahkan penguasa yang sah dan harus merompak harta orang kafir dan lain-lain. Oleh kerana jihad bersenjata adalah satu-satunya cara untuk mengembalikan keagungan Islam dan Muslim dan ini adalah kepentingan tertinggi, apa jua batasan yang boleh menghalang tercapainya kepentingan murni ini boleh dikompromi atas alasan ia hanyalah mudarat yang kecil. Ini menjadikan jihad bersenjata golongan ini sebagai perang total yang mengharuskan apa sahaja demi kepentingan yang lebih besar.

 

Setelah mengabsahkan perang total dan meletakkan dasar bagi membolehkan rungkaian apa jua batasan berjihad, golongan pelampau melanjutkan pembinaan hujah seterusnya ke tingkat ketujuh yang mengabsahkan pengganasan sebagai salah satu taktik utama berperang.

 

Dengan ini, secara sedar membolehkan mensasarkan orang-orang awam. Sasaran orang awam yang kafir diabsahkan sebagai balasan bagi korban orang awam Muslim dan kerana sumbangan mereka kepada pemerintah kafir melalui undi dan pembayaran cukai. Sasaran orang awam Muslim pula diabsahkan samada kerana mereka bukan Muslim tulen atau mereka dianggap sebagai perisai yang melindungi musuh dan menghalang tercapainya kepentingan jihad yang lebih besar.

 

Jika digabungkan kesemua ketujuh tingkat yang membentuk ideologi kelompok pelampau, ia membentuk satu naratif (narrative) yang kuat dan berpotensi untuk mempengaruhi ramai.

 

Cabarannya pula ialah untuk menawarkan satu “naratif” atau hujah balas yang sama meyakinkan. Selain itu, berusaha juga untuk mencabar setiap satu dari tingkat yang dinyatakan di atas oleh mereka yang benar-benar terlatih dan pakar dalam bidang pengajian Islam dengan tujuan yang sudah dipengaruhi dapat diperbetulkan dan menghalang yang lain dari terpengaruh pula.

 

Sebagai contoh, soal status permusuhan syaitan dan kerjanya untuk menyesatkan manusia dari Islam dan menghancurkan Islam adalah sesuatu yang memang jelas terkandung dalam Al-Quran yang dinyatakan dalam tingkat pertama binaan ideologi pelampau. Persoalannya, adakah sifat yang sama wajar dikaitkan dengan semua orang kafir atau ada di antara mereka ini yang memang memusuhi, manakala yang lain pula hanyalah ketentuan keadaan atau mangsa oleh tipu daya syaitan? Kerana pengamatan pada realiti dan data sejarah menunjukkan, sebahagian besar dari mereka ini lahir dan dibesarkan sebagai orang kafir bukan atas pilihan mereka dan sebahagian dari mereka ini pula tidak menerima dakwah yang betul sehingga dapat dipersalahkan atas kekufuran mereka. Yang memilih secara sedar untuk kekal pada kekufuran pula, tidak semua bersifat anti atau memusuhi Islam. Tambahan pula, Allah sendiri nyatakan bahawa kewujudan sebahagian golongan ini adalah lumrah alam yang mana hikmah sebenar disebaliknya hanya Dia sahaja yang ketahui.

 

Selain itu, penonjolan insiden-insiden di tingkat ketiga boleh dicabar dengan membuktikan sifatnya yang selektif. Hal ini kerana ia tidak menggambarkan hakikat-hakikat lain mengenai hubungan Muslim dan bukan Muslim seperti perlindungan Abu Talib ke atas nabi Muhammad s.a.w, raja Habsyah yang beragama Kristian ke atas sahabat yang behijrah ke sana dan data-data yang menunjukkan kehidupan bersama secara harmoni Muslim dan bukan Muslim sepanjang sejarah.