Di sebalik aneka teori konspirasi 911 (Berita Harian (Singapura), 17 Mei 2010)

BERITA HARIAN, SINGAPURA

17 Mei 2010

KOMENTAR

Di sebalik aneka teori konspirasi 911

Oleh
Muhammad Haniff Hassan dan Mohamed Redzuan Salleh

SERANGAN pengganas pada 11 September 2001 (atau dikenali 911) telah mencetuskan bahas hangat dan pelbagai teori konspirasi.

Makalah ini bukan hendak menyanggah perspektif berkenaan. Ia sekadar cuba menyingkap perspektif yang belum diberi pendedahan yang memadai buat pengetahuan semua pihak yang berminat.

Keraguan terhadap versi rasmi 911 tidak pernah padam sejak sembilan tahun lalu. Pada 2006, Pusat Kajian Pew (di Amerika Syarikat) telah menjalankan tinjauan di 13 negara dengan mengajukan soalan kepada umat Islam apakah mereka yakin bahawa segolongan Arab bertangungjawab ke atas peristiwa 911.

Hasilnya, kebanyakan yang ditinjau tidak berpendapat sedemikian.

Empat tahun kemudian – tahun ini – sentimen yang sama disuarakan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menulis di blognya ‘jika mereka (Amerika) boleh menghasilkan filem Avatar, sudah pasti mereka boleh mendalangi serangan dan keruntuhan Pusat Perdagangan Dunia di New York’.

Teori konspirasi 911 bukan hanya didokong oleh orangorang Islam, malah masyarakat bukan Islam juga.

Tentulah suara Tun Dr Mahathir, yang turut lantang mengkritik dunia Barat, akan memperkuat lagi keraguan masyarakat Islam dalam hal ini. Anehnya, andaian-andaian yang menjadi pegangan beliau atau golongan yang mempercayai konspirasi 911 bersumber daripada kajian pelopor teori konspirasi dari Barat.

Padahal golongan masyarakat Barat inilah yang dikritik dan diragui beliau sendiri.

PERSPEKTIF YANG HILANG

Namun, di sebalik bahas ini, terdapat sejumlah perspektif penting dalam isu ini yang belum dipertimbangkan, khususnya perspektif golongan yang berada dalam kelompok pelampau. Begitu juga mereka yang telah meninggalkan kelompok itu. Menurut penelitian, mereka ini tidak pernah menafikan penglibatan Al- Qaeda sebagai perancang dan pelaku serangan itu.

Mereka juga tidak menimbulkan soal teori konspirasi, sedangkan sebahagian besar daripada mereka ini adalah golongan yang amat percaya akan teori konspirasi dalam isu-isu lain. Bahkan ramai di antara mereka percaya bahawa memang Al-Qaeda yang melakukan serangan itu dan sebahagian yang lain pula berpendapat tidak mustahil ia didalangi AlQaeda.

PENGAKUAN AL-QAEDA

Hakikatnya, Al-Qaeda sendiri telah beberapa kali membuat pengakuan terhadap serangan 911 yang mereka sendiri istilahkan sebagai Serangan Manhattan.

Pemimpin nombor wahid Al-Qaeda, Osama bin Laden, sehingga kini dilaporkan membuat pengakuan itu sebanyak tiga kali. Ia menyebutnya pada 2001, 2007 dan yang terkini ialah tahun ini. Beliau menegaskan bahawa beliau adalah ‘satu-satunya orang yang bertanggungjawab’ terhadap serangan itu.

Bahkan, pemimpin nombor dua Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri, telah merakamkan pengakuan Al-Qaeda dalam bukunya, Kebenaran Jihad dan Kebatilan Sifat Munafik, dengan menulis ‘pihak Mujahidin, dengan izin Allah, telah mendahului pihak Amerika Syarikat dengan menyerang mereka pada 11 September sebelum pihak Amerika memulakan serangan ke atas Afghanistan…’.

PERNYATAAN BEKAS PELAMPAU

Daripada kalangan kelompok pelampau, dua pertubuhan terbesar kumpulan radikal yang pernah menjadi sekutu dekat Al-Qaeda, iaitu Jemaaah Islamiyah dan Pertubuhan Jihad di Mesir, telah menulis pendapat mereka mengenai serangan 11 September itu. Kedua-dua kumpulan ini kini telah meletakkan senjata dan menerbitkan puluhan buku yang menolak penggunaan kekerasan dan keganasan sejak akhir tahun 1990-an.

Dalam bukunya, Sungai Kenangan, Jemaah Islamiyah Mesir meluangkan satu bab khusus mengenai Teori Konspirasi: Analisa dan Kritikan.

Kepimpinan badan itu merakamkan rasa pelik terhadap mereka yang mengaitkan serangan tersebut dengan teori konspirasi, khususnya di Dunia Arab. Pada pengamatan mereka, memang jelas sekali bahawa Al-Qaedalah yang telah melakukan serangan berkenaan, berdasarkan pengakuan mereka sendiri yang merupakan bukti cukup, menurut nas-nas Islam, untuk mensabitkan kesalahan seseorang.

Dalam bukunya yang terkini, Masa Depan Konflik di Afghanistan, Sayyid Imam alSharif (juga dikenali sebagai Dr Fadl), yang satu masa dahulu merupakan pemimpin Pertubuhan Jihad Mesir dan ideologi terkemuka kelompok penjihad, tidak meragui sama sekali penglibatan Al-Qaeda dalam serangan 911.

Beliau secara jelas menyatakan ‘Khalid Sheikh Muhammad pada awalnya berasa ragu untuk melibatkan Bin Laden dalam operasi 11 September kerana dia tahu Al-Qaeda adalah satu organisasi yang tidak terurus. Namun, ia berasa terdesak untuk melibatkannya, juga kerana keperluan pada wang dan tenaga yang hanya boleh diperolehi daripada Bin Laden’.

Kerana melakukan serangan itu, Sayyid Imam menegaskan bahawa Bin Ladenlah satu-satu orang yang wajib dipertanggungjawabkan terhadap serangan Amerika ke atas Afghanistan dan Iraq dan segala pertumpahan darah berikutan serangan 911.

Turut berpendapat serupa ialah Sheikh Salman Al- Awda, seorang alim Saudi yang amat berpengaruh dan pernah dipenjara kerajaan Arab Saudi kerana pendapatnya yang radikal. Beliau menulis sepucuk surat terbuka kepada Bin Laden yang mengandungi soalan adakah beliau akan berasa gembira bertemu Tuhan dengan beban sedemikian.

Seorang lagi mantan pemimpin Pertubuhan Perjuangan Islam Libya yang juga sekutu Al-Qaeda, Noman Benotman, pernah berkata bahawa kedua-dua pemimpin utama Al-Qaeda pernah merancang secara serius untuk menyerang Amerika dan mengakibatkan sebanyak kemusnahan yang mungkin. Malah, beliau pernah menghadiri satu mesyuarat tertutup dengan kepimpinan Al-Qaeda yang dianjurkan setahun sebelum 11 September.

Omar, anak lelaki Bin Osama, membuang keraguan yang ada padanya mengenai penglibatan bapanya setelah mendengar rakaman suara yang mengandungi pengakuan bapanya.

Walau apapun, teori ‘perbuatan pihak dalam’ hanya akan menjadi lebih kredibel jika dapat dibuktikan bahawa Bin Laden adalah seorang agen Agensi Risik Pusat (CIA).

Namun, kebenaran perkara itu juga, setakat ini, adalah terlalu imaginatif kerana tiada seorang pun daripada mantan kelompok pelampau yang dinyatakan dan lain-lain menimbulkan kemungkinan itu.

Apa yang menarik, apabila bom Bali pertama dikaitkan dengan angkara CIA oleh beberapa ulama, pelaku pengeboman itu sendiri dengan segera menafikannya dan menganggap pendapat sedemikian sebagai satu penghinaan terhadap ‘jihad suci’ mereka.

Pada kesimpulannya, bagi mereka yang ragu akan kebenaran Al-Qaeda sebagai pelaku 911, perlulah mengambil perhatian bahawa walaupun mereka berasa Al-Qaeda tidak melakukannya, cukup jelas sekali bahawa Al-Qaeda mengabsahkan serangan sedemikian dan ideologinya juga mengabsahkan serangan membuta tuli bagi tujuan mencapai ‘matlamat murni’ mereka.

Daripada perkongsian maklumat yang dinyatakan di atas, diharapkan para penyokong teori konspirasi dapat menggabungkannya dalam perspektif mereka dan menilai pula implikasinya terhadap perspektif itu pula.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah Zamil Bersekutu dan Ustaz Mohamed Redzuan Salleh ialah Penganalisis Penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.