Empat Tema Besar “Kurikulum” Maya Jihad

Ramai para penyelidik hari ini berpendapat bahawa internet adalah wadah propaganda penting bagi golongan pelampau penjihad. Sifat terbuka internet yang menyukarkan kawalan dan pengawasan, membolehkan golongan pelampau mempropagandakan ideologi dan menawarkan perspektif alternatif bagi apa yang berlaku di dunia hari ini. Hal ini telah membolehkan golongan pelampau memperolehi simpati dari kelompok tertentu dari masyarakat Islam yang kemudiannya menyertai “perjuangan” mereka. Hasilnya ialah ancaman yang berterusan dari golongan pelampau, terutamanya dari kelompok yang menjadi radikal dengan sendiri dan tidak menganggotai mana-mana organisasi yang menyukarkan pengenalpastian mereka sebagaimana yang ditunjukkan oleh kelompok yang melakukan serangan keretapi London pada Julai 2005.

 

Kurikulum Maya Penjihad

 

Oleh kerana memahami ideologi kelompok pelampau merupakan aspek penting untuk membanterasnya, maka memahami kandungan bahan-bahan yang dihasilkan oleh penjihad juga adalah penting. Hal ini bermula dengan memahami apa yang diistilahkan sebagai “kurikulum maya penjihad”oleh Stephen Ulph, zamil kanan dan penyunting Terrorism Monitor yang menawarkan analisa semasa mengenai isu pengganasan di bawah Yayasan Jamestown.

 

Sebenarnya, tiada satu kurikulum yang rapi bagi melatih dan melahirkan seorang pelampau penjihad. Namun menurut Stephen Ulph, bahan-bahan ideologi kelompok pelampau ini di alam maya sungguh banyak dan komprehensif sehingga ia boleh dianggap sebagai satu kurikulum bagi melahirkan sarjanamuda penjihad.

 

Hakikat ini dapat diteliti dengan jelas melalui sebuah halaman web yang didedikasi untuk Abu Muhammad Al-Maqdese, seorang ideolog utama kelompok pelampau penjihad. Ramai penyelidik mengakui bahawa halaman web ini merupakan penyimpan terbesar bahan-bahan ideologi pelampau penjihad. Ia mengandungi ribuan bahan-bahan tulisan yang dihasilkan oleh para ideolog penjihad hari ini dan masa lalu termasuk juga karya-karya klasik para ulama mengenai jihad. Satu-satu aspek yang tidak kedapatan di halaman ini, dibandingkan halaman pelampau yang lain hanyalah pengetahuan mengenai persenjataan, taktik pertempuran dan video-video yang menunjukkan operasi ketenteraan kumpulan pelampau.

 

Sebagai satu pengakuan terhadap pentingnya halaman ini, Pusat Menentang Pengganasan di West Point menjadikan ia sebagai sumber utama bagi mengenalpasti pemikir yang berpengaruh di kalangan golongan pelampau yang dibukukan dalam buku The Militant Ideology Atlas. Kajian ini mengenalpasti Al-Maqdese sebagai ideolog penjihad yang paling berpengaruh kerana halaman webnya menyediakan satu pusat perhentian bagi mendapat bahan-bahan penjihad. Ia hampir sahaja berfungsi sebagai satu universiti maya terbuka bagi sesiapa yang ingin menjadi penjihad.

 

Empat Tema Besar

 

Stephen Ulph mengenalpasti empat tema besar atau objektif dari “kurikulum maya penjihad”.

 

Pertama, isi “kurikulum” ini berusaha untuk melemahkan orde hari ini. Hal ini cuba dicapai dengan menyerang secara gencar ideologi demokrasi, sekularisme dan pluralisme. Golongan ini berhujah bahawa kesemua itu hanyalah ideologi buatan manusia yang bercanggah secara dasar dengan Islam yang dihasilkan oleh gerakan konspirasi menentang Islam bagi menyesatkan umatnya dari ajarannya yang benar. Muslim yang menerimanya dianggap telah jatuh dalam perangkap yang akan membatalkan akidahnya.

 

Kedua, ia berusaha untuk melemahkan orde yang sedia ada dalam masyarakat Islam. Ini cuba dicapai dengan menafikan keabsahan pemerintah Muslim, sistem pemerintahan di negara Muslim, amalan politik dan para ulama yang menyokong pemerintah, sistem dam amalan politik yang sedia ada dan tidak berusaha menentang kesemua itu.

 

Dengan melemahkan dan seterusnya menafikan keabsahan kedua orde yang dinyatakan, golongan pelampau sebenarnya mewujudkan ruang vakum bagi memudahkan ideologi mereka mengisi ruang berkenaan.

 

Namun, setakat menolak orde yang sedia ada di dunia dan di dalam masyarakat Islam, tidak akan merubah realiti yang sedia ada atau menjamin orde yang ingin ditegakkan oleh golongan pelampau akan berjaya. Bagi mereka, ini memerlukan usaha dan tindakan. Dalam hal inilah, pada pengamatan Ulph, tema ketiga “kurukulum” penjihad menjadi penting iaitu menanam kewajiban berjihad di kalangan Muslim.

 

Pelampau penjihad mengemukakan empat hujah bagi membakar semangat jihad. Pertama, ia disifatkan sebagai satu kewajiban yang terabai yang perlu dihidupkan kembali amalannya. Pengabaian ini, dianggap oleh mereka, sebagai punca kehinaan umat Islam hari ini. Kedua, jihad dikemukakan sebagai fardu ain ke atas semua Muslim serupa seperti solat yang wajib, yang tidak memerlukan izin sesiapa pun untuk menunaikannya. Ketiga, erti jihad yang pertama dan utama, pada perspektif mereka, ialah perlawanan bersenjata. Keempat, disebabkan keadaan masyarakat Islam yang hina hari ini, jihad bersenjata dianggap sebagai keutamaan tertinggi mengatasi segala kewajiban yang lain.

 

Oleh kerana pelampau tidak hidup dalam suasana vakum, mereka sentiasa menghadapi kritikan dan cabaran dari kalangan umat Islam sendiri. Hal ini memaksa mereka untuk sentiasa meemberi penjelasan terhadap pendirian dan ideologi mereka serta memberi kritikan balas kepada pengkritik mereka. Oleh itu, tema keempat yang boleh didapati dalam “kurikulum” penjihad ini ialah penegasan berterusah akan kedudukan mereka sebagai wewenang bagi membicara mengenai Islam dan bagi pihak umatnya. Dalam usaha mengekal wewenang ini, golongan pelampau sering mengemukkan sikap bahawa mereka sentiasa lebih baik dari orang lain dalam semua isu berkaitan doktrin agama. Objektif mereka dalam hal ini ialah untuk mencapai dan mengekalkan kedudukan moral yang tinggi di mata khalayak ramai.

 

Pengamatan Ulph mengenai keempat-empaa tema yang mendasari “kurikulum” maya penjihad yang telah dinyatakan wajar mendapat kajian seterusnya yang mendalam. Sebagai contoh, pengamatan beliau bahawa golongan pelampau sentiasa memberi perhatian yang penting terhadap keabsahan wewenang mereka di mata umat Islam. Tiada kritikan yang serius dari mana-mana pihak, kecuali akan dijawab oleh mereka dan tiada pula tindakan yang dilakuakn oleh mereka, kecuali akan diberikan penjelasan. Hakikat ini dapat dilihat dalam karya Imam Samudra melalui bukunya Aku Melawan Teroris dan tulisan Az-Zawahiri yang panjang lebar bagi menghujah kembali kritikan-kritikan bekas teman-teman seperjuangannya yang telah bertaubat. Halaman web Al-Maqdese sendiri merupakan satu pengakuan kepada hakikat ini.

 

Peluang Bagi Usaha Pembanterasan Ideologi Pelampau

 

Walaupun penyebarluasan “kurikulum” jihad maya golongan pelampau di internet, menimbulkan keperihatinan terhadap ancaman radikalisasi golongan muda hari ini, ia juga, pada waktu yang sama, memberi peluang untuk memahami dengan mendalam selok belok ideologi pelampau. Dalam hal ini, Ulph menganjurkan agar perihatian khusus diberi kepada polemik dan debat dalaman di kalangan golongan pelampau itu sendiri kerana ia mendedahkan aspek-aspek kelemahan dan kontroversi yang ada dalam ideologi itu sendiri yang berguna bagi menyanggah dan melemahkannya di mata khalayak ramai.

 

Walaupun ideologi golongan penjihad yang melampau adalah satu penyelewengan dari ajaran Islam yang tulen, ini tidak bermakna bahawa mereka adalah kelompok yang berfikiran simplistik dan naif yang boleh diambil mudah. Sebaliknya, bahan-bahan yang dihasilkan oleh mereka yang didapati di internet sepatutnya menjadi saksi akan kesungguhan dan dedikasi mereka untuk memenangkan ideologi mereka. Oleh itu, mereka sepatutnya dilihat sebagia pencabar yang serius kepada pencinta Islam yang tulen yang mana hanya dapat dikalahkan oleh usaha-usaha yang sama serius dan dedikasi yang sama tinggi oleh Muslim di arus utama.