Islam Agama Yang Fleksibel (2/2)

(Nota: Artikel ini dikutip dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

………………… sambungan dari kiriman yang lalu.

7. Salah satu tunggak bagi sifat Islam yang memudahkan dan bagi membolehkan keanjalan, ialah penerimaan sifat kontekstual dalam mengeluarkan hukum dan mengamalkan agama.

 

Kontekstual bermaksud, Islam mengambil kira realiti masa, persekitaran, manusia dan lain-lain dalam penetapan hukum dan mengamalkannya. Justeru itu juga, hukum bagi sesuatu perkara boleh berlainan dan berubah disebabkan perbezaan realiti, samada hukum itu sebagai polisi umum bagi masyarakat atau bagi individu atau kumpulan tertentu sahaja.[i]

 

8. Islam sentiasa mengutamakan sesuatu yang lebih utama dan menekankan kepentingan pengutamaan (prioritising).

 

Ulama mengemukakan konsep Maqasid Syar`iah[ii], Dharuriyat[iii], Hajiyat[iv] dan Tahsiniyat[v] dan pelbagai konsep lagi yang menunjukkan dasar pemikiran pengutamaan dalam Islam. Pelbagai kaedah fiqh yang dinyatakan di atas itu sendiri mengandungi dasar pemikiran sedemikian, seperti mengutamakan penghapusan mudarat yang besar dari yang kecil dan mudarat umum dari mudarat khusus.

 

Sebagai tanda kesederhanaan Islam juga, ia meletakkan asas yang menjamin keseimbangan (check and balance). Keseimbangan yang bukan hanya memelihara Islam dari pelampauan yang menyusahkan tetapi juga menjaganya dari pelampauan yang memudah-mudahkan.

 

Atas dasar itu, asas-asas berikut juga wujud dalam Islam:

 

1.   Ada perkara di dalam Islam yang tetap dan tidak akan berubah.

 

Setiap agama mempunyai sifat konservatisme yang tersendiri. Tiada agama yang membenarkan keanjalan mutlak sehingga mencairkan identiti dan keasliannya. Contoh-contoh yang Islam tidak menerima keanjalan ialah seperti kewajiban beriman dengan apa yang terkandung dalam Rukun Iman dan beramal dengan apa yang ada dalam Rukun Islam, kewajiban bersifat dengan sifat-sifat terpuji seperti amanah, benar dan sabar[vi].

 

2. Islam tidak membenarkan bid`ah[vii] (inovasi) yang bercanggah dengan apa yang telah tsabit secara qat`ii.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Barangsiapa melakukan pembaharuan dalam urusan kami ini apa yang bukan darinya, maka ia tertolak.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Barangsiapa melakukan satu amalan yang bukan dari kami, maka ia tertolak.” (Riwayat Muslim)

 

3. Kuasa tasyri’ mutlak hanya milik Allah taala sahaja.

 

Manusia dibenarkan berijtihad dengan berpandukan prinsip yang terkandung dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Berbeza dengan pemikiran liberal, Islam tidak menerima kebebasan mutlak manusia dalam semua hal, termasuk dalam berfikir. Bahkan sebenarnya tiada satu agama atau sistem kehidupan yang membenarkan kebebasaan mutlak bagi manusia.

 

4. Islam menyeru kepada perubahan dari keburukan kepada kebaikan dan dari kebaikan kepada yang lebih baik.

 

Atas dasar itu juga, Islam mewajibkan umatnya untuk berusaha bagi merubah apa yang tidak sejajar dengan tuntutan agama berdasarkan konsep hikmah, ihsan dan mengikut kemampuan.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud:

 

“Hendaklah ada dari kalangan kamu satu umat yang mengajak kepada kebaikan dan menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar dan mereka itulah golongan yang berjaya.” (Al-Qasas : 87)

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia ubah dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

 

Mudah, Anjal & Kontekstual Adalah Sifat Islam

 

Apa yang hendak dinyatakan di atas ialah di dalam Islam itu terdapat pelbagai elemen yang menjamin kemudahan bagi manusia dan keanjalan.

 

Oleh itu, kita menolak apa jua pandangan dari sesiapa pun, (jika ada) bahawa Islam itu sendiri menyulitkan, beku dan tidak realistik. Realiti umat Islam yang tidak memberi gambaran sebenar akan hakikat Islam adalah kerana kelemahan mereka dan amat dikesali, kita tidak menafikan hakikat ini.

 

Kita amat komited untuk mengemukakan Islam yang mudah, anjal dan kontekstual. Namun kita juga perlu menegaskan bahawa:

 

1.       Untuk mudah tidak bermakna tiada taklif[viii] (bebanan) langsung.

2.       Untuk anjal dan kontekstual, tidak boleh sampai merungkai aspek-aspek yang tetap dalam agama dan menatijahkan pembaharuan yang dikeji.

3.       Dalam mengakui keterbatasan dan realiti, tidak bermakna kita tidak berusaha untuk merubah keadaan dan membiarkan kemungkaran begitu sahaja.

 

Dasar amalan beragama dalam Islam ialah apa yang tsabit dalam Al-Quran dan Sunnah. Bagi masyarakat bukan Islam ini boleh dipastikan dengan merujuk kedua rujukan berkenaan atau bertanya pada para ulama. Dalam konteks pemerintah Singapura, nasihat boleh didapati dari MUIS.

 

Walaupun 50 tahun dahulu umat Islam mungkin tidak mengamalkan satu perintah agama kerana kejahilannya, itu tidak menjadi alasan untuk tidak mengamalkannya hari ini. Amalan sedemikian juga tidak wajar dipersoalkan jika ia memang tsabit dalam Islam. Hakikat seperti ini adalah sebahagian dari proses perubahan yang berlaku dalam alam. Kalau kita boleh menerima kepentingan perubahan minda ekonomi disebabkan perubahan persekitaran, maka wajarlah juga kita menerima perubahan minda sosial disebab perubahan dalam sosio-agama masyarakat.



[i] Lihat Dr. Wahbah Az-Zuhaili, Usul Fiqh Al-Islami, Dar Al-Fikr, Damsyik, 1986, jld 2, ms 1116. Lihat juga Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Al-Khasais Al-`Ammah Li Al-Islam, ms 233 – 237.

[ii] Ia bermaksud tujuan-tujuan umum yang terdapat dalam syariat. Tujuan-tujuan berkenaan ialah;

 

·            Menjaga agama

·            Menjaga jiwa

·            Menjaga keturunan

·            Menjaga harta

·            Menjaga akal

 

Lihat Al-Muwafaqat, Al-Imam Asy-Syatibi, jld 2, ms 2-4.

[iii] Ia bermaksud sesuatu yang mesti ada bagi menjaga maslahat (kebaikan) agama dan dunia, ketiadaannya akan menyebabkan kerosakan dan kebinasaan kehidupan. Lihat Al-Muwafaqat, Al-Imam Asy-Syatibi, jld 2, ms 4.

[iv] Ia bermaksud sesuatu yang diperlukan untuk kemudahan hidup dan menghilangkan kesempitan yang biasanya mengakibatkan kepayahan tetapi kepayahan itu tidak pula sampai ke peringkat yang memusnahkan pada hukum kebiasaan. Lihat Al-Muwafaqat, Al-Imam Asy-Syatibi, jld 2, ms 4-5.

[v] Ia bermaksud sesuatu yang baik dan elok seperti adat kebiasaan yang baik dan menjauhi kekotoran. Lihat Al-Muwafaqat, Al-Imam Asy-Syatibi, jld 2, ms 5.

[vi] Lihat Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Al-Khasais Al`Ammah Li Al-Islam, ms 208 – 209.

[vii] Terdapat pelbagai pengertian bid`ah di sisi ulama. Ada yang ringkas dan ada pula yang luas. Secara umum ia boleh dimaksudkan dengan apa jua yang tiada asasnya dalam agama. Perbahasan mengenainya boleh dirujuk pada buku Al-Asas Fi As-Sunnah Wa Fiqhiha (Al-`Aqaid Al-Islamiyah), Dar As-Salam, Mesir, 1992, jld 1, ms 339 -368.

[viii] Ia bermaksud perbuatan yang Allah perintahkan ke atas manusia baik perintah melakukan sesuatu atau perintah meninggalkan sesuatu. Walaupun pada taklif itu sendiri ada bebanan ke atas manusia tetapi segala taklif yang Allah taala tentukan pada hakikatnya dalam batas keupayaan manusia untuk melaksanakannya. Sifat mudah Islam tidak menatijahkan tiada tanggungjawab agama yang perlu dilakukan oleh manusia tetapi Allah taala menetapkan tanggungjawab yang boleh dilaksanakan, walau pun dengan sedikit kepayahan. Kepayahan yang ada adalah sebagai ujian. Hakikatnya tiada agama yang tidak menetapkan tanggungjawab tertentu ke atas penganutnya. Begitulah juga Islam. Lihat Usul Fiqh Al-Islami oleh Dr. Wahbah Az-Zuhaili, jld 1, ms 132 – 157.