KBE… Oh KBE

Nota : Artikel ini ditulis pada tahun 1999. Pandangan dan analisa yang terkandung di dalamnya adalah berdasarkan realiti di masa itu.

 

Knowledge Based Economy atau singkatannya KBE menjadi isu yang hangat diperkatakan hari ini. Sejak ia ditimbulkan, pelbagai pihak mengemukakan reaksi masing-masing. Ada yang mengemukakan pelan bertindak dengan bajet yang besar ada pula yang hanya memberi komen-komen sahaja.

 

Dalam keributan ini, hendaknya kita tidak lupa akan satu persoalan asas yang perlu dijawab, sekiranya apa yang kita lakukan benar-benar untuk menjayakan KBE, iaitu Apa dia yang dimaksudkan dengan KBE? Apa definisi KBE?

 

Persoalan ini adalah penting kerana berdasarkan maklumat yang diberikan oleh seorang wartawan TV bahawa dalam tinjauan yang dibuat terhadap 15 orang awam, sekitar 14 dari mereka tidak mengerti apa itu KBE atau sedar akan isu ini.

 

Adalah malang sekiranya fenomena ini juga berlaku dikalangan mereka yang akan memainkan peranan dalam menjayakan KBE yang terdiri dari pemimpin masyarakat dan penggerak pertubuhan-pertubuhan Melayu / Islam.

 

Perkara ini tidak mustahil berlaku jika dilihat akan naluri semula jadi manusia yang lebih mudah reaktif dan mengamalkan sikap sheep (kambing biri-biri), sikap suka mengikut semat-mata.

 

Hakikatnya penulis sendiri pun tidak begitu jelas mengenai konsep dan definisi KBE. Kita tidak perlu malu untuk mengakui ini kerana tanggungjawab utama untuk menjelaskan perkara ini sebenarnya terletak pada mereka yang pertama sekali membangkitkannya.

 

Namun kita tidak boleh menjadi seorang jahil yang pasif dalam persoalan ini kerana KBE adalah satu isu yang bersifat nasional. Nampak gayanya ia akan diterima oleh pemerintah. Dalam situasi seperti ini, biasanya apa jua langkah yang diambil oleh pihak pemerintah ia pastinya akan memberi kesan pada diri kita. Oleh itu, masyarakat Islam perlu mengambil inisistif untuk memahami apa itu KBE agar mereka tidak terlepas peluang-peluang untuk mengambil manfaat dari KBE dan ketinggalan dari yang lain.

 

Sebagai seorang Islam kita juga perlu menempatkan KBE dalam perspektif Islam agar kita dapat berjaga-jaga dari kemungkinan sesuatu yang bercanggah dengan agama.

 

Dalam hal ini penulis ingin memberi sumbangan berdasarkan apa yang penulis tahu untuk manfaat semua dan sebagai sumbangan penulis untuk menjayakan apa yang positif dari KBE ini.

 

Jika KBE dikaitkan dengan keperluan untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang terkini, maka ini pastinya jelas dianjurkan oleh Islam. Terlalu banyak dalil yang mendorong kit auntuk sentiasa mengejar ilmu pengetahuan dan sudah terlalu sering kita mendengarnya hingga tidak perlu untuk diulang kembali. Jika benar hakikat ini, sepatutnya kitalah yang menjadi juara dalam isu ini bahkan sepatutnya kitalah yang menimbulkan persoalan ini, bukan orang lain.

 

Jika KBE dikaitkan dengan usaha melahirkan seorang pekerja yang mahir, maka ini juga adalah tuntutan Islam yang perlu dihayati oleh para pekerja Islam, tidak kira samada isu KBE ini timbul atau tidak.

 

Rasulullah s.a.w menyatakan dalam sebuah hadits bahawa Allah mengasihi seorang hamba yang pakar. Dalam sebuah hadits yang lain pula Rasulullah s.a.w juga mengatakan bahawa Allah mengasihi seorang hamba yang mengamalkan konsep itqan dalam bekerja. Konsep itqan ini adalah anjuran untuk kita melakukan sesuatu dengan tekun dan bersungguh-sungguh sehingga menghasilkan sesuatu yang ihsan. Ihsan ini juga adalah anjuran Islam agar kita melakukan sesuatu yang terbaik. Logiknya ialah kalau kita mahu itqan kita perlu menjadi seorang yang pakar dan mahir. Jika kita tidak menjadi pakar dan mahir, kita tidak akan dapat mengamalkan tuntutan ihsan dalam hidup.

 

Dalam hal ini, apa jua jalan yang membawa kita untukmenjadi seorang yang pakar dan mahir dalam sesuatu bidang adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam, selama mana ia tindak bercanggah dengan prinsip-prinsip yang lain. Oleh itu training dan re training sepatunya bukan satu isu bagi masyarakat Islam.

 

Jika KBE dikaitkan dengan penguasaan teknologi maklumat, maka Islam sememangnya menggalakkan umatnya untuk sentiasa memanfaatkan teknologi. Di dalam Al-Quran ada dinyatakan bagaimana nabi Daud diajar oleh Allah taala untuk memanfaatkan besi sebagai satu teknologi yang memberi kekuatan. Rasulullah s.a.w juga pernah menganjurkan para sahabat mempelajari kaedah penggunaan teknologi dabbabah, alat yang digunakan untuk meruntuhkan tembok pertahanan dan manjanik, alat yang digunakan untuk melempar batu-batu besar ke arah tentera atau pertahanan musuh. Dalam konteks hari ini, jika teknologi maklumat terbukti sebagai suatu yang perlu untuk menjamin penakatan masyarakat Islam, maka pastinya penguasaan teknologi adalah sesuatu yang dianjurkan.

 

Jika KBE dikaitkan dengan pembinaan daya saing, maka ia adalah sesuatu yang berkaitan dengan anjuran ke atas masyarakat Islam untuk menjadi khairu ummah, umat yang terbaik dan cemerlang. Pastinya kita tidak mampu menjadi khairu ummah jika kita menjadi lebih baik dalam persaingan dengan yang lain. Ini pula tidak akan berlaku jika kita tidak mempunyai daya saing yang diperlukan. Apa jua keperluan untuk memastikan kerelevanan daya saing kita adalah sesuatu tuntutan untuk mencapainya dalam Islam, selama ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam yang lain.

 

Perlu juga diperingatkan bahawa KBE tidak boleh dilihat sebagai satu usaha untuk mencapai matlamat ekonomi semata-mata bahkan KBE haruslah dilihat sebagai satu dari program pembangunan manusia. Maka yang penting sebenarnya ialah melahirkan manusia yang akan membina ekonomi yang sesuai dengan fitrahnya, bukan membina manusia untuk fit in semata-mata dengan suasana ekonomi yang ada atau yang akan datang.

 

KBE sebagai satu program pembangunan manusia haruslah menjangkau pembinaan sistem nilai yang betul kerana manusia yang tidak mempunyai sistem nilai yang betul dia akan hanya menjadi alat bagi keadaan dan suasana. Pastinya kita tidak mahu melihat kelahiran manusia yang berkemahiran tinggi, berdaya maju dan bersaing tetapi kosong dari nilai amanah, jujur, ikhlas, syukur dan pelbagai nilai-nilai murni yang lain.

 

Persoalan ini sungguh relevan kerana kebelakangan ini kita dapat melihat pelbagai laporan kejadian pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya di media-media kita. Yang membimbangkan ialah kejadian-kejadian ini bukan dilakukan oleh mereka yang jahil atau rendah pendidikannya tetapi mereka yang terpelajar, professional dan berkemahiran tinggi.

 

Pemerintah hari ini juga telah menyedari akan kesan negatif dari pengejaran kemajuan yang bersuifat material semata-mata. Peningkatan gejala sosial dalam masyarakat tidak dapat dinafikan kaitannya dengan gaya kita dalam mengejar kemajuan. Semua ini sebenarnya adalah petanda akan kerapuhan daya tahan dalaman diri yang semakin meningkat.

 

Kita tidak boleh menanti perkara ini menjadi sesuatu yang berleluasa untuk mengatasinya. Sekiranya kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencorakkan KBE atas nilai-nilai yang betul, jangan terperanjat jika KBE ini hanya akan menambah lagi insiden-insiden buruk dalam amalan ekonomi kita. Cukuplah apa yang berlaku di Barat sebagai satu contoh yang jelas akan akibat buruk ekonomi yang berteraskan kebendaan semata-mata dan jauh dari nilai-nilai murni bagi manusia.

 

Dalam hal ini, masyarakat Islam yang menyakini keluhuran Islam sebagai agama yang memangkin nilai-nilai murni sejagat mempunyai peranan penting untuk mencorakkan KBE dengan nilai-nilai yang baik, jika tidak kitalah yang akan dicorakkan.