Komentar Berkaitan Ucapan “Merry Christmas” dan Larangan Ke Atas Mufti Menk

Oleh Muhammad Haniff Hassan & Mustazah Bahari

Langkah pemerintah melarang tokoh agama Ismail bin Musa Menk, atau lebih dikenali sebagai Mufti Menk yang berasal dari Zimbabwe dari memasuki Singapura telah mencetus polemik di kalangan segolongan anggota masyarakat Muslim Singapura. Alasan yang diberikan bagi larangan yang dibuat ialah pendapat beliau bahawa umat Islam dilarang dari mengucapkan “Merry Christmas” kepada penganut agama Kristian kerana ia dianggap sebagai pengiktirafan bagi akidah Triniti yang bercanggah dengan konsep tauhid dalam Islam. Di sisi pemerintah, pendapat sebegini tidak menyumbang kehidupan berharmoni antara kaum dan tidak sesuai dengan konteks masyarakat majmuk Singapura.

Kontroversi timbul bukan hanya kerana ia membabitkan Mufti Menk sebagai tokoh agama yang popular di sesetengah golongan dalam masyarakat Muslim Singapura, tetapi juga kerana sebab tersurat dari larangan itu, iaitu pendirian tentang ucapan “Merry Christmas”.

Kami terpanggil untuk memberi komentar berkaitan sebab larangan ini setelah pemerhatian terhadap polemik yang timbul di media sosial atau di kehidupan sosial yang nyata di kalangan masyarakat awam dan asatizah. Ada beberapa pemerhatian yang dapat kami rumuskan dari sebab larangan dalam pernyataan pemerintah dan dalam polemik yang timbul darinya, iaitu:

  1. Berpendapat bahawa ucapan “Merry Christmas” adalah haram dalam Islam sahaja boleh menyumbang pada ketidakharmonian sosial. Oleh itu, ia perlu dicegah dan diganti dengan pendapat yang sebaliknya.
  2. Hanya berpegang dengan pendapat sedemikian sahaja, seseorang boleh dinilai sebagai anasir tidak sihat dalam konteks masyarakat majmuk Singapura. Oleh itu, masyakarat Muslim Singapura perlu didinding darinya.
  3. Asatizah yang berpendapat sedemikian sahaja dan mengajarkannya kepada masyarakat boleh dikenakan tindakan kerana dinilai sebagai bermasalah bagi konteks Singapura.
  4. Pendapat sedemikian adalah petanda seseorang itu berpegang pada mazhab atau aliran tertentu, atau ia adalah natijah dari ajaran mazhab atau aliran tertentu yang perlu dicegah dan masyarakat Muslim Singapura perlu pelihara darinya.
  5. Pendapat sedemikian adalah petanda pelampauan dalam agama dan boleh menimbulkan masalah pelampauan di kalangan masyarakat Muslim Singapura yang perlu dicegah dan masyarakat Muslim Singapura perlu pelihara darinya.

Kami juga terpanggil untuk memberi masukan kerana keperihatinan berikut;

  1. Larangan yang dibuat akan menjadi contoh dan garis pandu bagi para pegawai perkhidmatan awam dalam pelaksanaan polisi hingga menyebabkan kesilapan.
  2. Larangan sedemikian boleh menimbulkan salah faham di kalangan masyarakat bukan Muslim dalam menilai apa itu fahaman agama yang konservatif dengan fahaman agama yang melampau/radikal.
  3. Larangan berkenaan digunakan untuk tujuan sektarianisme apabila segolongan pihak merujuk pada larangan ini dan mendakwa pendapat yang dipegang oleh Mufti Menk adalah pegangan baku semua yang sealiran dengannya lalu memberi kewajaran pula untuk membanteras aliran berkenaan di Singapura serta melarang semua pendakwah atau ulama yang beraliran sedemikian. Bukan hanya sikap golongan ini salah dari segi fakta, asasnya yang bersifat sektarianisme itu, jika tidak ditangani, akan membangkitkan reaksi balas dari pihak lain yang kemudiannya akan menatijahkan ketidakharmonian di kalangan masyarakat Muslim.

Artikel ini kami tulis bagi tujuan memberi masukan (in-put) kami terhadap perkara-perkara di atas selaku pengamat dan pengkaji isu-isu agama dan pelampauan. Kami faham pemerintah mungkin mempunyai sebab-sebab lain apabila membuat keputusan melarang Mufti Menk dari memasuki ceramah yang tidak dapat dinyatakan kepada umum. Kami berpendapat sebaiknya sebab-sebab ini dapat dikongsi secara terbuka bagi memastikan ketelusan di masa-masa akan datang. Namun kami juga berpendapat ia tidak seharusnya mengahalang mana-mana pihak memberi masukan dan maklum balas secara sivil atas niat penambaikan demi maslahat semua kerana jika andaian bahawa pemerintah mungkin ada alasan munasabah lain yang tidak boleh dinyatakan sebagai sebab untuk tidak memberi masukan akan hilanglah segala keperluan untuk rakyat biasa terlibat secara aktif memberi masukan bagi polisi-polisi yang dilaksanakan kerana apa jua masukan dan kritikan akan dengan mudah ditangkis dengan alasan, “mungkin pemerintah ada sebab lain yang kita tak tahu”. Hal ini akan melemahkan prinsip “check and balance” bagi sistem pemerintahan yang baik dan mematikan semangat saling menasihati antara satu sama lain dalam masyarakat.

Sebelum kami lanjutkan untuk mengemukakan masukan, nota-nota berikut ingin kami perjelaskan bagi memberi perspektif yang betul baginya.

Pertama, kami tahu bahawa, bersamaan dengan larangan ke atas Mufti Menk, terdapat larangan yang sama ke atas seorang pendakwah/ustaz dari Malaysia yang bernama Haslin Barahin dan larangan penyebaran tiga buah buku. Namun masukan kami di sini tidak akan menyentuh larangan-larangan ini kerana ia membabitkan isu-isu lain yang bukan sesuatu yang ingin kami fokuskan. Fokus kami hanyalah pada soal mengharamkan ucapan “Merry Christmas” sebagai sebab larangan seseorang untuk masuk dan berceramah di Singapura. Pastinya larangan yang lain juga mempunyai isu-isu yang boleh diberikan komentar. Namun, kami serahkan ia kepada pihak-pihak lain atau pada kesempatan lain.

Kedua, kami memberi masukan sebagai pihak yang berpegang pada pendapat keharusan mengucap “Merry Christmas” oleh Muslim kepada penganut Kristian. Oleh itu, masukan ini sama sekali tidak bertujuan untuk membela atau mempertahankan pendapat yang melarangnya. Bahkan kami berharap masyarakat Muslim Singapura akan bersikap lebih terbuka untuk menerima amalan saling bertukar ucapan sempena hari perayaan setiap kaum (rujuk masukan Ketujuh di bawah bagi memahami sikap kami ini).

Bagi memberi masukan, kami membuat senarai bagi, a) Golongan Yang Melarang Ucapan “Merry Christmas”, yang bersependapat dengan Mufti Menk, dan b) Golongan Yang Membenarkan Ucapan “Merry Christmas”, sebagai bahan perbandingan yang darinya kami hasilkan beberapa rumusan sebagai masukan pada isu yang dibicarakan.

Klik di sini untuk merujuk senarai kededua golongan yang dinyatakan di atas.

Rumusan-rumusan kami, ialah;

Pertama, pendapat yang melarang dipegang oleh mereka yang datang dari pelbagai mazhab atau aliran dalam Islam, bukan hanya dari mazhab atau aliran tertentu yang dianggap bermasalah.

Kedua, termasuk dalam golongan yang melarang ialah mereka yang menganut mazhab Islam arus utama di rantau ini (Sunni/Shafi`ii) serta institusi rasmi agama seperti mufti dan jabatan agama sebuah negara dan badan Islam arus utama yang pendiriannya boleh dinilai sebagai pendirian kolektif seperti Majelis Ulama Indonesia. Oleh itu, ia bukan petanda yang tepat bagi mazhab dan aliran yang perlu masyarakat Muslim Singapura didinding darinya.

Ketiga, pendapat yang melarang bukan hanya dipegang oleh individu atau kelompok radikal seperti Fron Pembela Islam (Indonesia). Oleh itu, menjadikannya sebagai petanda bagi pelampauan atau radikalisasi atau individu/kumpulan pelampau bukan satu rumusan yang betul.

Keempat, sebagai pelajar madrasah yang menuntut ilmu agama dari ramai asatizah tempatan dan sebagai asatizah setelah menjadi graduan, kami dapat berinteraksi dan mengenali ramai asatizah tempatan selaku guru-guru kami atau rakan-rakan asatizah. Dari interaksi dan pengalaman ini, kami boleh katakan bahawa pendapat yang melarang adalah pegangan peribadi sesetengah asatizah yang kami tahu dari tahun 1980an hingga kini. Sepengetahuan kami, walau pun berpendapat sedemikian, mereka bukan golongan pelampau atau radikal dan bukan pula anasir buruk bagi keharmonian sosial. Hal ini adalah kerana mereka mempunyai fahaman-fahaman agama yang lain yang positif bagi konteks masyarakat majmuk Singapura. Mereka juga penyumbang aktif dalam pembangunan agama setempat tanpa menatijahkan ketidakharmonian antara kaum. Hal ini dikuatkan bahawa sepanjang beberapa dekad yang lepas hampir tiada insiden buruk berkaitan keharmonian kaum berakibat dari mereka. Walau pun ada yang masih kekal dengan pendapat lama, sebahagian mereka kemudiannya mengubah pegangan kepada pendapat yang membolehkan atas pelbagai sebab. Sebahagian dari kededua golongan ini merupakan pemain peranan dan tunggak bagi usaha melawan pelampauan dan radikalisasi yang mendapat pujian dari pemimpin nasional pula.

Pekara ini menyokong rumusan di atas bahawa hanya berpegang pada pendapat yang melarang sahaja tidak memadai untuk dijadikan petanda samada seseorang itu radikal atau bukan, anasir positif atau negatif bagi keharmonian kaum di sini. Lebih bermasalah jika ia dijadikan sebab untuk menyaring asatizah yang “ok” dan tidak “ok” bagi masyarakat setempat mendapat bimbingan agama.

Kelima, yang lebih tepat ialah rumusan bahawa pendapat yang melarang adalah satu pendirian yang konservatif dalam kerangka isu-isu yang diikhtilafkan oleh para ulama, bukan pendirian yang melampau atau radikal. Namun ini pun tidak boleh dijadikan petanda mutlak bahawa individu yang berpegang dengan pendapat yang melarang adalah seorang yang konservatif, “old school”, tidak progresif dalam memahami agama atau dinilai negatif bagi keharmonian kaum di Singapura kerana mungkin sahaja individu yang sama mempunyai lebih banyak pandangan-pandangan agama lain yang maju dan kontemporari. Adalah menjadi lumrah untuk mana-mana asatizah untuk mempunyai pendirian yang konservatif dalam beberapa isu tertentu, sebagaimana juga ulama-ulama silam, tapi pendapat yang maju dalam isu-isu lain lebih banyak pada keseluruhannya.

Keenam, senarai golongan yang membolehkan ucapan “Merry Christmas” oleh Muslim kepada bukan Muslim juga menunjukkan ia adalah pegangan ulama dari pelbagai aliran. Mereka yang dikaitkan dengan aliran konservatif seperti salafi juga ada yang berfatwa membenarkan perkara ini, sebagaimana juga terdapat ulama dari aliran tradisional dan tasawuf yang melarang. Hal ini sekali lagi menyokong rumusan di atas bahawa pegangan seseorang dalam isu ini tidak memadai untuk menentukan samada dia datang dari aliran yang dikhuatiri yang perlu dicegah penyebarannya.

Ketujuh, ketika membuat carian bagi kededua golongan yang disenaraikan, kami berjumpa dengan pengisytiharan yang ditandatangani oleh lebih dari seratus ulama dari serata dunia dan aliran (Sunni, Shiah, Salafi, Sufi dll) bagi mengucapkan tahniah atas kehadiran Krismas bagi semua umat Kristian dan tahun baru bagi semua golongan bukan Muslim di serata dunia. Hal ini sekaligus menunjukkan kesepakatan mereka tentang keharusan melakukan sedemikian bagi umat Islam yang lain. Pernyataan ini ada disertakan dalam senarai Golongan Yang Membolehkan (no. 22) untuk dirujuk. Kesepakatan ini amat berguna bagi menegaskan bahawa hal ini adalah isu khilafiyah dan mereka yang melakukannya tidak sesat sebagaimana dakwaan sesetengah pihak kerana tidak mungkin jumlah yang ramai dari kalangan ulama yang diakui kewibawaannya boleh bersepakat, jika ia sesuatu yang menyesatkan. Sekaligus kewujudan kesepakatan ini memberatkan keharusan beramal dengan pendapat yang membolehkan di Singapura. Kami berpendapat mendidik masyarakat dengan hujah sedemikian lebih berkesan dan berguna dari pendekatan bersifat penguatkuasaan undang-undang atau penyaringan (censorship).