Larangan Mewujudkan Imej Nabi: Hanya Satu Mitos Atau Radikalisme Semata-Mata?

Kontroversi kartun yang menghina nabi Muhammad s.a.w menarik minat ramai pihak mengenai dasar disebalik hukum larangan membuat imej beliau.

 

Sebahagian pihak pula cuba mengalihkan isu berkenaan kepada persoalan apakah benar perbuatan menggambarkan nabi Muhammad s.a.w salah dalam Islam atau hanya “myth” (mitos) yang popular semata-mata?

 

Pihak berkenaan cuba menimbulkan syak terhadap hukum berkenaan dengan menyatakan bahawa larangan berkenaan tidak terdapat sama sekali dalam Al-Quran. Sebaliknya ia merupakan pengaruh dari sebahagian penganut Kristian yang menetap di daerah Syam dahulu yang menolak penggunaan patung-patung dan imej Isa, Maryam dan lain-lain sebagai simbol agama Kristian. Mereka juga berhujah bahawa lukisan nabi Muhammad bukan sesuatu yang baru dalam sejarah Islam. Pelbagai lukisan nabi telah dijumpai dalam pelbagai buku dan karya para seniman dan tersimpan di pelbagai muzium sebagai bukti. Oleh itu, luahan marah dan bantahan ke atas apa jua bentuk imej nabi Muhammad s.a.w digambarkan sebagai tidak berasas.

 

Namun perlu dipertegaskan bahawa isu yang menimbulkan kemarahan umat Islam merata dunia bukanlah soal melukis imej nabi Muhammad s.a.w tetapi penghinaan yang menggambarkan beliau sebagai seorang pengganas. Bahkan lebih dari itu, agama Islam dan umatnya juga digambarkan sedemikian. Sesiapa pun dari kalangan umat Islam yang melihat 12 lukisan berkenaan yang masih dengan mudah diperolehi di internet akan merasa betapa kejinya lukisan berkenaan.

 

Ini kemudian diburukkan lagi oleh sikap pihak berkenaan yang merasakaan tidak mengapa melakukan yang sedemikian itu.

 

Kemunculan lukisan nabi Muhammad dan silap guna simbol Islam di zaman moden ini bukan sesuatu yang baru. Sebagai contoh, umat Islam pernah membantah kewujudan tulisan seumpama nama Allah di tapak kasut buatan syarikat kasut berjenama dan keratan ayat Al-Quran menghiasi grafik permainan komputer. Namun, jarang sekali ia menimbulkan kemarahan seperti yang disaksikan baru-baru ini kerana biasanya kesilapan berkenaan dengan segera dibaiki dan bantahaan umat Islam ditanggapi dengan rasa sensitif.

 

Kewujudan lukisan-lukisan nabi Muhamamad dari sumber-sumber umat Islam dahulu sememangnya diakui. Namun ia tidak boleh menjadi hujah untuk mengatakan bahawa pandangan yang melarang itu tidak betul atau hanyalah mitos kerana hakikat itu hanya menggambarkan kemungkinan wujud pandangan yang berbeza dalam isu berkenaan. Selain itu, kewujudan lukisan berkenaan bukan petanda ia direstui oleh pandangan fiqh yang dominan tetapi hanya merupakan penghormatan pada pandangan yang berbeza. Tambahan pula, kebanyakan lukisan berkenaan bukan dilukis dalam bentuk yang menghina dan bukan pula atas tujuan yang menghina.

 

Perlu juga diingat bahawa kewujudan sesuatu amalan dikalangan umat Islam bukan bermakna bahawa ia menggambarkan keharusan amalan itu di sisi agama. Sebagai contoh, amalan sebahagian umat Islam meminum arak tidak bermakna haramnya arak itu boleh dipersoalkan. Hukum Islam (halal, haram dan lain-lain) tidak tertegak atas dasar amalan umat Islam tetapi atas dasar metodologi pengambilan hukum yang telah dibangunkan oleh para ulama secara turun temurun dari Rasulullah s.a.w.

 

Sememangnya diakui, tidak terdapat nas (pernyataan) yang jelas dalam Al-Quran yang melarang melukis gambar Rasulullah s.a.w. Namun, ini tidak bermakna bahawa larangan itu tertegak atas hujah yang rapuh kerana Al-Quran bukan hanya satu-satunya sumber hukum Islam.

 

Hukum Islam dihasilkan dari Al-Quran dan hadits. Pada ketika, tiada pernyataan yang jelas dalam Al-Quran dan hadits mengenai sesuatu isu, maka ulama menggunakana alat-alat lain iaitu ijma, qiyas, sad az-zari`ah (menutup/membuka pintu kemudaratan), istihsan (prinsip ekuiti dalam Islam), maslahah mursalah (pertimbangan kepentingan umum), `urf (adat), istishab (mengembalikan sesuatu pada keadaan asal), maqasid syar`iyah (kembali kepada tujuan umum syariat) dan lain-lain. Proses mengeluarkaan hukum dengan menggunakan alat-alat ini dinamakan ijtihad yang dilakukan oleh mereka yang layak.

 

Kembali kepada isu yang berkaitan, memahaminya memerlukan kefahaman terhadap pendirian Islam terhadap syirik dan manifestasinya dalam bentuk penyembahan berhala dan pengkultusan manusia.

 

Oleh kerana tauhid adalah intipati pada ajaran Islam, maka ia mengambil pendirian yang tegas dan amat cemburu terhadap syirik dan segala perkara yang boleh membawa kepadanya. Atas dasar itu, Rasulullah s.a.w melarang secara umum perbuatan membuat patung dan lukisan yang berbentuk manusia dan binatang. Larangan ini mempunyai nas yang jelas dalam hadits. Dalam menghuraikan hadits-hadits ini, sebahagian ulama berpegang pada makna literal dan ada pula yang berpendapat ia merupakan langkah untuk menutup pintu kerosakan (sad az-zari`ah). Natijahnya, para ulama berbeza pendapat mengenai darjah hukum perbuatan berkenaan, dari haram kepada makruh, bergantung pada konteks. Namun, majoriti ulama mempunyai pendirian yang amat tegas dalam isu membuat patung berbanding dalam isu lukisan.

 

Sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Aisyah dari Al-Bukhari daan Muslim ada menceritakan mengenai dua muslimah yang berhijrah ke Habsyah bercerita bahwa di negeri berkenaan terdapat sebuah gereja yang mempunyai patung-patung. Rasulullah s.a.w lalu bersabda “Mereka itu apabila ada orang soleh di kalangan mereka yang mati, mereka membangun masjid di kuburannya, kemudian mereka meletakkan gambar patung di atasnya, mereka itulah seburuk-buruk makhluk Allah.”

 

Dalam Al-Quran, Allah taala befirman yang bermaksud, “Dan mereka berkata: “Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwaa’, yaghuts, ya’uq dan nasr.” (Nuh, 71:23)

 

Dalam menghuraikan ayat ini, Ibn Katsir verkata bahawa wadd, suwaa’, yaghuts, ya’uq dan nasr adalah nama-nama orang soleh yang hidup di antara zaman Adam dan Nuh. Setelah kematian mereka, para pengikut mereka membuat patung-patung untuk memperingati dan menambah kekhusukan dalam beribadah sehingga kemudiannya berubah menjadi penyembahan pula ke atas patung-patung itu.

 

Hadits dan ayat Al-Quran di atas mengingatkan umat Islam bahawa amalan penyembahan berhala dan pengkultusan individu sehingga bercanggah dengan konsep tauhid sejak dahulu lagi bermula dari langkah untuk memperingati orang yang dikasihi dan dimanifestasikan dalam bentuk patung dan yang seumpamanya.

 

Kombinasi dari kefahaman terhadap pelbagai nas Al-Quran dan hadits, ruh ajaran tauhid dan alat pengambilan hukum yang lain seperti sad az-zari`ah, majoriti para ulama mengharamkan perbuatan membuat imej semua para nabi, bukan hanya nabi Muhammad sahaja. Walaupun, pembuatan imej orang-orang yang soleh tidak dikenakan hukum yang tegas seperti itu, tetapi ia masih boleh jatuh pada hukum yang haram jika didapati imej berkenaan boleh membawa kepada natijah yang sama.

 

Islam juga mahukan umatnya beriman dengan Rasulullah s.a.w berdasarkan kebenaran dan keunggulan hujah dan ajarannya. Atas dasar itu, umat Islam tidak perlu bergantung pada imej beliau untuk mencontohi dan mengikuti beliau.

 

Selain itu, apa jua usaha membuat imej Rasulullah s.a.w hanya menatijahkan hasil yang subjektif yang boleh dinilai cantik oleh seseorang tetapi tidak bagi yang lain atau dinilai cantik pada satu zaman tetapi hodoh pada zaman yang lain. Hakikat ini akan lebih dapat difahami, jika ditelusuri evolusi seni lukis hasil usaha manusia sepanjang sejarah dan perbandingan antara hasil lukisan zaman purba atau medieval dengan hasil pengimejan zaman ini.

 

Subjektiviti hasil lukisan manusia berpotensi untuk menimbulkan rasa kurang hormat atau persepsi negatif terhadap imej para anbiya dan Islam tidak mahu perkara sedemikian dilakukan oleh para penganutnya.

 

Disebabkan ketiadaan nas yang jelas mengenai larangan melukis gambar nabi, maka tidak mustahil jika terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenainya. Namun, satu fakta yang tidak dapat ditolak ialah haramnya perbuataan berkenaan adalah pendirian yang dominan. Ia adalah pegangan majoriti para ulama yang diikuti oleh majoriti umat Islam.

 

Kewujudan kelompok minoriti yang berpendapat sebaliknya, tidak wajar dijadikan hujah untuk mempersoalkan keabsahan pendirian umat Islam atau menafikan sensitiviti perbuatan berkenaan.

 

Meninjau pada masyarakat Kristian, penggunaan imej Isa dan Maryam dalam bentuk patung dan lukisan diterima pakai secara meluas walaupun terdapat mazhab tertentu dalam agama berkenaan yang menolak amalaan berkenaan.

 

Kewujudan pihak di kalangan ajaran Kristian yang berbeza pendapat dengan amalan majoriti penganut Kristian tidak boleh dijadikan alasan mana-mana pihak untuk menolak keabsahan pendirian majoriti atau meremehkannya.

 

Kesimpulannya ialah hukum larangan mewujudkan imej nabi Muhammad s.a.w bukanlah sesuatu mitos yang tidak berpijak pada pikiran yang rasional. Ia juga bukan sesuatu yang semata-mata dipengaruhi oleh unsure-unsur luar. Sebaliknya, hujah-hujah bagi larangan berkenaan mempunyai akar pada tradisi ilmu para ulama Islam yang unik dan tersendiri.