Menanggapi Pelampauan Mengenai Bid`ah

(Nota: Artikel ini dikutip dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

Persoalan ini menjadi relevan kerana persoalan mengenai bid`ah seringkali timbul di tengah masyarakat dan kadang kala menjadi bahan pertelingkahan dan medan pertuduhan sesama umat Islam. Lebih buruk lagi penuduhan itu sampai ke peringkat menyesatkan orang lain.

 

Apa yang akan dibincangkan di sini ialah persoalan-persoalan berikut;

 

a.       Kedudukan bid`ah dalam persoalan dakwah yang menyeluruh.

b.       Adakah semua perkara yang dinamakan bid`ah disepakati oleh para ulama?

 

Dalil Yang Mencela Bid`ah

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

 

“Barangsiapa melakukan pembaharuan dalam urusan kami ini apa yang bukan darinya, maka ia tertolak.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

“Barangsiapa melakukan satu amalan yang bukan dari kami, maka ia tertolak.” (Riwayat Muslim)

 

“Hendaklah kamu semua berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham kamu. Hendaklah kamu jauhi perkara-perkara baru (dalam agama). Sesungguhnya setiap yang baru itu bid`ah dan setiap bid`ah itu adalah kesesatan.” (Riwayat Abu Daud)

 

Beberapa Noktah Bagi Memelihara Kesederhanaan

 

1.   Telah disepakati oleh para ulama bahawa bid`ah itu dicela dalam urusan ibadah atau     sesuatu yang telah ada ketentuan dalam agama dan ia menyalahi ketentuan itu.

 

2.   Adapun persoalan yang bukan jatuh dalam ruang lingkup ibadah atau yang pada dasarnya tiada ketentuan dalam agama, maka ia melakukan perkara yang baru tidak dikatakan bid`ah.

 

Kalau pun perkara berkenaan dikatakan bid`ah ia tidak disifatkan sebagai bid`ah yang sesat. Sebaliknya dikatakan, bid`ah hasanah atau mubahah. Ini adalah kerana kaedah yang berbunyi;

 

“Asal sesuatu dalam perkara yang bukan ibadat adalah halal kecuali ada dalil yang mengharamkannya.”

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

 

 “Kamu lebih tahu akan urusan dunia kamu.”(Riwayat Muslim)

 

3.   Terdapat perbezaan di sisi ulama mengenai erti bid`ah, jenis-jenis bid`ah, konsep bid`ah dan lain-lain.

 

Walaupun pada prinsipnya mereka bersetuju mengenai hukum bid`ah, kecelaannya dan bahaya bid`ah dalam agama tetapi mereka juga berbeza dalam perkara-perkara furu’, adakah sesuatu amalan tertentu itu dikategorikan sebagai bid`ah? Sebagai contoh ialah apa ayang dinamakan sebagai bid`ah idhafiyah (tambahan) menyedekahkan pahala amalan kepada orang yang telah meninggal dunia, berdoa berama-ramai dengan kuat selepas solat, atau apa yang dinamakan sebagai iltizam (melazimi) terhadap ibadah yang mutlak (tiada ketentuan bagaimana, masa dan sebagainya) seperti membaca zikir-zikir tertentu dalam susunan tertentu atau melaziminya pada waktu tertentu, atau apa yang dinamakan sebagai bid`ah tarkiyah (meninggalkan sesuatu) tindakan seseorang menahan diri dari memakan sesuatu jenis makanan atau memakai sesuatu jenis pakaian yang banyak dilakukan oleh kaum sufi.

 

4.   Berdasarkan hakikat di atas adalah penting bagi seseorang itu sebelum membangkitkan persoalan bid`ah dalam masyarakat hendaklah memastikan samada perkara itu adalah perkara yang telah disepakati atau ia adalah perkara yang masih  dikhilafkan oleh para ulama.

 

Apabila bid`ah itu melibatkan perkara yang dikhilafkan oleh para ulama, maka wajarlah untuk dimaklumkan kepada masyarakat sekurang-kurangnya bahawa dalam persoalan ini ada pandangan yang berlainan agar mereka tidak berburuk sangka kepada sesiapa yang mengamalkan pandangan yang berlainan dan agar tidak berkeras dalam membantahinya kerana ia adalah perkara yang dikhilafkan dan bersedia untuk menghormati orang lain.

 

5.   Bid`ah yang diperselisihkan oleh para ulama hendaklah ditangani sama seperti masalah khilafiyah yang lain.

 

Ini dilakukan dengan melazimi adab-adab ikhtilaf, menjauhi dari melemparkan tuduhan sesat yang menyakitkan perasaan dan mengutamakan kesatuan hati dan masyarakat.

 

6.   Hakikatnya umat Islam dianjurkan untuk menyeru manusia kepada Islam yang syumul.

 

Islam itu adalah luas. Ia meliputi aspek mengajak manusia untuk mengamalkan perkara yang disepakati oleh semua, melarang kemungkaran yang pasti dan lain-lain. Islam lebih luas dari isu bid`ah. Menjauhi bid`ah hanyalah sebahagian dari pesanan dakwah.

 

Atas dasar itu, masyarakat Islam sebenarnya mempunyai lebih banyak perkara yang disepakati untuk mereka bekerjasama, menjalin ukhuwwah dan menjauhi perbalahan.

 

7.   Disebabkan keluasan Islam dan banyaknya perkara yang hendak disampaikan kepada masyarakat serta masalah yang perlu ditangani, maka isu bid`ah mestilah diletakkan dalam konteks yang luas.

 

Ia mesti mengambil kira pertimbangan di manakah kedudukan sesuatu isu yang berkaitan dengan bid`ah seperti isu berzikir beramai-ramai dalam urutan awlawiyat atau keutamaan dakwah.

 

Yang utama ialah untuk kita bersama menangani masalah meninggalkan kewajiban yang telah disepakati oleh semua seperti meninggalkan solat, berzakat dan memakai tudung dan melakukan kemungkaran seperti berzina, menggugurkan anak dan pergaulan bebas. Kemudian diikuti dengan perkara lain dan seterusnya.

 

Perkara-perkara yang dikhilafkan yang dikaitkan dengan bid`ah janganlah ditangani sehingga menimbulkan hijab untuk bekerjasama dalam perkara yang utama.

 

Oleh kerana menangani isu bid`ah adalah sebahagian dari dakwah, maka perlulah memelihara kaedah dakwah dalam membanterasnya yang antara lain:

 

a.       Bertahap-tahap dalam perubahan.

b.       Dengan hikmah.

c.       Berlembut-lembut dan jauh dari sikap keras dan kasar.

d.       Mendidik dan memberi ilmu, bukan menghukum.

e.       Tidak boleh mengakibatkan kemudharatan yang lebih besar atau hilangnya maslahat yang lebih besar.

f.         Mengutamakan Usul bukan Furu’.

g.       Tidak melakukan ta’yin hukum kufur, fasiq dan sesat ke atas individu atau kumpulan dalam isu ini.

 

Atas apa yang telah kita nyatakan di atas, kita bina prinsip kesederhanaan dalam menangani isu bid`ah.