Menggembeleng Tenaga Guru-Guru Bagi Membangun Anak-Anak Islam Yang Soleh

Tidak dapat dinafikan akan peranan madrasah separuh masa dalam memberikan asas pendidikan agama. Namun suka atau tidak, institusi madrasah separuh masa di Singapura hari ini tidak mampu untuk menampung keseluruhan anak-anak Islam. Dengan perlaksanaan sistem persekolahan satu sesi dan ura-ura melaksanakan pendidikan wajib, persoalan pendidikan asas agama anak-anak Islam yang bersekolah di sekolah-sekolah pemerintah menjadi lebih genting.

 

Dalam hal ini adalah penting untuk dipastikan penglibatan tenaga guru-guru muslim yang bertugas di sekolah-sekolah pemerintah sebagai sebahagian dari jentera yang membantu pembentukan anak-anak Islam sebagai manusia yang soleh.

 

Para guru-guru muslim mempunyai peranan penting kerana merka adalah ‘pasukan barisan hadapan’, mereka berinteraksi dengan anak-anak Islam di sekolah-sekolah setiap hari dan mempunyai peluang yang banyak untuk sentiasa berhubungan dengan mereka. Ini dapat dilakukan samada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah, di waktu persekolahan atau di luar persekolahan. Mereka juga boleh bersama dengan mereka dalam program rasmi atau tidak rasmi.

 

Sekiranya satu perancangan yang jitu dapat diwujudkan bagi menggembleng tenaga para guru muslim ini pastinya akan membantu usaha menanam asas pendidikan agama di kalangan anak-anak Islam, khususnya dari sudut penanaman nilai-nilai Islam yang murni yang pada kebiasaannya berlaku secara tidak langsung.

 

Usaha ini pasti memerlukan penglibatan dan sokongan badan-badan seperti Persatuan Bahasa Melayu di NIE, KGMS, Persatuan Guru-guru Bahasa Melayu, para pensyarah muslim di NIE serta para pegawai kanan muslim yang bertugas di Kementerian Pendidikan Singapura.

 

Atas dasar ini, MUIS adalah badan yang terbaik untuk memulakan inisiatif ini sehingga dapat di wujudkan kertas tindakan dan panduan bagi badan-badan yang terbabit dan badan-badan Islam yang lain.

 

Jika tidak, inisiatif ini boleh juga dimulakan oleh badan-badan yang dinyatakan di atas. Paling tidak, setiap guru muslim yang mempunyai rasa bertanggungjawab dan insaf akan realiti semasa mesti memainkan peranannya semampu yang mungkin. Beberapa idea mungkin boleh dilaksanakan dengan membaca At-Takwin edisi ini.

 

Usaha ini bukanlah satu usaha untuk menjadikan anak-anak Islam sebagai kelompok eksklusif dari arus utama Singapura. Ia juga bukan satu usaha subversif bagi mencabar sistem yang ada. Ia terpaksa dilakukan sebagai satu langkah praktikal bagi menghadapi situasi dan realiti yang ada. Masyarakat Islam Singapura memahami realiti diri mereka sebagai masyarakat minoriti di Singapura. Masyarakat Islam Singapura keperluan untuk menjadi rakan sepasukan yang aktif dalam pembangunan Singapura atas dasar keadilan dan nilai-nilai murni sebagai sebuah negara.

 

Halangan untuk terlibat dalam arus perdana Singapura tidak semestinya disebabkan oleh masyarakat Islam Singapura tetapi boleh juga disebabkan oleh sikap tidak akomodatif terhadap keperluan dan aspirasi masyarakat Islam.

 

Hari ini, persoalan ‘kecairan’ anak-anak muda dari semua kelompok etnik masyarakat Singapura dari nilai budaya asal mereka kerana pengaruh budaya ‘asing’ adalah persoalan yang diakui dan menjadi kebimbangan semua pihak termasuk pemerintah. Bagi masyarakat Cina, masalah ini cuba di bendung dengan pengukuhan aspek-aspek tradisi masyarakat itu di kalangan masyarakat mereka melalui antaranya kempen bertutur bahasa Mandarin, penubuhan sekolah SAP dan penghayatan kepada nilai-nilai ajaran Konfusius. Usaha mengembalikan masyarakat Melayu kepada agamanya tidak lain kecuali atas motif dan kebimbangan yang sama. Apa yang membezakan antara masyarakat Melayu dan masyarakat Cina ialah budaya dan tradisi masyarakat Melayu mempunyai kaitan dengan Islam agama anutan mereka. Bagi masyarakat Melayu hari ini umumnya, mereka tidak menerima agama lain dalam kehidupan mereka kecuali Islam sahaja.

 

Kefahaman bahawa semakin masyarakat Islam kuat beragama (religious) maka semakin diragui kesetiaannya adalah kefahaman lama yang sepatutnya ditinggalkan bersama alaf lalu yang baru sahaja pergi.