Pesanan Dari Al-Quran #8 – Berempati Terhadap Mereka Yang Mengalami Ujian Berat

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 18 September 2020, di sini. 

“Dan (bapa mereka – Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.” (Yusuf: 84)

“(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!” (Maryam: 23)

“Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu? Dan dia meletakkan Luh-luh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta dia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka); oleh itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku dan janganlah engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.”  (Al-A`raf: 150)

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta diguncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Al-Baqarah: 214)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat ini menceritakan tentang keadaan insan-insan soleh ketika berhadapan dengan ujian berat dalam kehidupan, a) Nabi Yaakob a.s. hilang penglihatannya kerana kesedihan yang amat sangat terhadap kehilanagan anak kesayangannya Nabi Yusuf a.s., b) Maryam merasa mati lebih baik baginya kerana terlalu berat sakit melahirkan bayi dan tekanan menghadapi masyarakat setelah kelahiran anaknya, c) Nabi Musa a.s melontar papan yang terkandung wahyu Tuhan dan mengasari saudaranya Nabi Harun kerana terlalu marah terhadap perbuatan Bani Israil menyembah patung anak lembu, dan d) Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya sampai bertanya bilakah bantuan Allah taala akan datang kerana tekanan dari kepungan musuh semasa Perang Khandaq.

  2. Pelajaran penting di sini ialah kesolehan dan ketinggian takwa seseorang itu, walau anbiya’ sekali pun, tidak menghilangkan dari mereka sifat-sifat kemanusiaan apabila berhadapan dengan tekanan yang berat. Mereka boleh merasa sangat sedih, marah, bimbang, takut dan stres sebagaimana selayaknya manusia.

  3. Apa yang disebut dalam ayat-ayat ini bukan petanda bahawa insan-insan berkenaan tidak sabar, reda dan bertawakal tetapi ia adalah manifestasi kemanusiaan yang tabi`ii, apabila mengalami kesusahan yang amat sangat. Perhatikan! Allah taala tidak mencela sesiapa pun dari mereka kerana menunjukkan tingkah laku sedemikian.

  4. Jika para anbiya’ boleh menunjukkan tingkah laku sedemikian apabila tertekan, insan-insan biasa pasti tidak terlepas darinya juga. Oleh itu, Muslim hendaklah bersifat empati terhadap mereka yang menunjukkan tingkah laku yang serupa apabila hadapi tekanan berat dalam hidup. Bukan cepat memarahi mereka dengan tuduhan tidak sabar dan reda atau kerana ia petanda kurang iman dan amal.

  5. Manusia haruslah dibenarkan bertingkah seperti manusia, bukan malaikat. Manusia hendaklah dididik dan dibangun sebagai manusia, bukan sebagai malaikat. Piawai kesolehan bagi manusia ialah piawai yang sesuai dengan tabiat manusia yang boleh sedih, marah, takut dan stres.

  6. Seseorang itu juga hendaklah dinilai secara holistik dan bukan pada insiden-insiden tertentu seperti ketika hadapi tekanan yang berat sahaja kerana tingkah laku pada ketika itu mungkin sahaja satu pengecualian dan bukan hakikat dirinya yang sebenar.

  7. Fahaman sebegini amat berguna dalam hubungan suami-isteri, ibubapa-anak-anak, ketua-pengikut, adik beradik dan sesama kawan. Urusilah hubungan-hubungan ini sebagai hubungan antara manusia. Satu contoh norma yang tidak sejajar dengan sifat kemanusiaan dalam sesetengah masyarakat ialah melarang anak lelaki untuk bersedih atau menangis apabila ditimpa kemalangan atau kesulitan kerana ia dianggap satu kelemahan – anak lelaki tidak boleh menangis kerana itu “cengeng” dan tidak boleh takut kerana itu “pondan”. Kededuanya dianggap aib bagi sesetengah ibubapa, ahli keluarga dan kawan-kawan.