Sesudah Abu Bakar Baashir dihukum (Berita Harian [Singapura], 25 Jun 2011)

25 Jun 2011


PANDANGAN

Sesudah Abu Bakar Baashir dihukum


Oleh
Muhammad Haniff Hassan Dan Nur Azlin Yasin

SESUDAH ABU Bakar Baashir (gambar), 72 tahun, pendakwah tegar dan ketua organisasi garis keras Jamaah Anshor Tauhid, dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun, apakah akan berubah suasana pengganasan di Indonesia?

Mahkamah Indonesia mendapatinya bersalah membiayai dan mendapatkan sokongan bagi Tanzim Al-Qaeda Serambi Mekah – sebuah kelompok militan Indonesia yang merancang, antara lain, untuk membunuh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan menyerang sasaran asing seperti Kedutaan Amerika Syarikat dan Australia.

Kini, keupayaan operasi kumpulan ini telah dapat dipatahkan apabila khemah latihannya di pedalaman barat Aceh ditutup setelah diserbu pihak berkuasa Indonesia.

Sejak itu, terhimpun bukti tentang sumbangan dan peranan Abu Bakar dari segi penyaluran wang dan merekrut anggota untuk kumpulan ini.

Sebahagian militan yang tertangkap bersaksi bahawa Abu Bakar sendiri telah menonton video latihan ketenteraan di Aceh yang dijadikan bukti bahawa wang dermanya digunakan untuk kegunaan latihan ‘jihad’.

Abu Bakar Baashir dan para penyokongnya menolak hukuman yang dikenakan dan menuduh ia sebagai satu penindasan ke atas Islam oleh pihak berkuasa Indonesia dengan tujuan mengampu pihak Amerika Syarikat dan Australia.

Beberapa hari sebelum hukuman dijatuhkan, wujud ancaman akan berlaku pengeboman serentak di 36 lokasi yang disebarkan melalui SMS dan Twitter.

Ribuan anggota polis dan tentera dikerahkan untuk menjamin keselamatan di seluruh Indonesia.

Kawalan pihak polis lebih ketat di kawasan mahkamah dan sekitarannya yang berjejal ratusan para penyokong Abu Bakar untuk mendengar keputusan hakim pada 16 Jun lalu.

Walaupun tempoh hukuman penjaranya lebih singkat daripada penjara seumur hidup yang dituntut oleh pihak pendakwa, ia tetap dianggap oleh ramai pemerhati sebagai satu kejayaan undang-undang dalam usaha membanteras pengganasan di Indonesia. Ini kerana status Abu Bakar yang berpengaruh di kalangan para militan.

Malangnya, terpenjaranya Abu Bakar belum pasti melemahkan pengaruhnya. Ini kerana idea-idea radikalnya masih dapat terus disebarkan jika aturan keselamatan penjara yang menampungnya didapati tidak ketat.

Hal ini bukanlah baru. Ramai militan yang ditahan sebelum ini dapat berkomunikasi dengan dunia di luar penjara dan juga merekrut pengikut baru di dalam penjara. Ini terbukti pada kes tiga pelaku pengeboman Bali I – Imam Samudra, Ali Ghufron dan Amrozi – sebelum dilaksanakan hukuman tembak dan juga Muhammad Jibriel, pengurus halaman web militan arrahmah. com.

Mereka dapat menyebarkan pelbagai pernyataan dan bahan propaganda secara dalam talian dan biasa semasa dalam tahanan.

Bahkan, status mereka sebagai tahanan telah meninggikan imej mereka di kalangan para militan dan simpatisan mereka serta mengukuhkan persepsi masyarakat bahawa pemerintah Indonesia sememangnya menindas Islam.

Oleh itu, Abu Bakar hendaklah dipantau dengan dekat dan diasingkan agar tidak dapat menyebarkan ajaran radikal semasa di penjara.

Masalah radikalisasi di Indonesia akan mengambil masa kerana Jemaah Islamiyah (JI) mempunyai akar dalam gerakan kemerdekaan melawan penjajah dan pembangkang melawan rejim Suharto yang tidak demokratik. Ertinya, JI masih menarik simpati daripada kalangan masyarakat umum Muslim yang percaya bahawa Abu Bakar difitnah oleh pemerintah yang anti-Islam.

Untuk itu, masyarakat Indonesia perlu diyakinkan mengenai ancaman fahaman pelampau. Ini tidak akan dapat dicapai hanya melalui dialog dan interaksi pemerintah- masyarakat.

Pemerintah Indonesia perlu merangka dan melaksanakan langkah-langkah sosio-ekonomi yang akan mengurangkan kemiskinan, pengangguran dan rasuah. Ia juga perlu menyusun kembali sistem kebajikan masyarakat umum.

Penerbitan bahan radikal juga tidak akan terhenti apabila Abu Bakar dipenjara.

Pertama, kerana banyak bahan ini boleh didapati di alam sibermaya dan juga di pelbagai kedai-kedai buku di Indonesia.

Kedua, Abu Bakar yang datang daripada generasi tua JI bukanlah satu-satunya pendakwah tegar yang ada di Indonesia dan daripada kalangan JI. Abu Jibril yang pernah bertanggungjawab ke atas JI Singapura masih terus aktif berdakwah di masjid-masjid serata Indonesia.

Tambahan pula, terdapat generasi muda JI seperti Muhammad Jibril, anak Abu Jibril, dan Abdul Rohim, anak Abu Bakar, yang sudah pun aktif meneruskan usaha bapa-bapa mereka.

Pemerintah Indonesia perlu memastikan pengaruh Abu Bakar dibatasi dari penjara dan membaiki faktor-faktor sosial, ekonomi dan politik bagi mengatasi masalah radikalisasi dan pelampauan dalam usaha panjang melawan pengganasan.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah Zamil Penyelidikan Bersekutu dan Nur Azlin Yasin pula Penganalisis Penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.