Pesanan Dari Al-Quran #1 – Halal Dan Tayyib (Baik) Dalam Pemakanan

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 5 Jun 2020, di sini.

Oleh Muhammad Haniff Hassan

“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah setan; karena sesungguhnya setan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 168)

“Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (Al-Jathiyah: 13)

Pelajaran

  1. Ayat Al-Jathiyah: 13 adalah dalil di sisi ulama yang mengatakan asal sesuatu benda, termasuk makanan, adalah halal kecuali ada dalil yang mengharamkannya. Ia juga dalil bahawa memakan makanan yang halal adalah wajib.

  2. Wujud makanan yang diharamkan bukan untuk menyusahkan manusia kerana setiap yang diharamkan pasti ada mudaratnya. Tambahan pula, yang halal lebih banyak dari yang haram dalam Islam.

  3. Dianjurkan (tidak wajib) bukan hanya makan yang halal, tapi juga yang baik (tayyib). Ini bermakna bukan semua yang halal itu tayyib . (Al-Baqarah: 168). Contohnya ialah minuman karbodinat yang tinggi kandungan gula dan mee segera yang tinggi kandungan garam dan pengawet.

  4. Harus memakan yang tidak tayyib, asalkan halal. Cuma lebih bagus meninggalkannya.

  5. Apa yang halal, tidak boleh diharamkan, walau pun ia tidak tayyib. Oleh itu, tidak perlu bersikap keras dan tegar kepada diri sendiri dan orang lain dalam soal ini. Tidak mengapa pula memakannya sekali sekala kerana ia bukan haram. Perlu difahami bahawa apa yang tidak tayyib bagi seseorang, mungkin tidak sedemikian bagi orang lain. Oleh itu, jangan paksa pilihan peribadi ke atas orang lain.

  6. Perlu membezakan antara makanan yang halal di sisi fikih dan makanan yang bersijil halal kerana yang halal di sisi fikih tidak mesti bersijil halal atau yang tidak bersijil halal tidak mesti tidak halal di sisi fikih, walau pun ia dihasilkan oleh bukan Muslim. Oleh itu, jangan sudah menghukum pilihan orang lain.

  7. Dalam konteks Singapura, utamakan makanan bersijil halal adalah penting kerana status halalnya lebih terjamin dan bagi menyokong institusi dan industri yang bermanfaat bagi agama umat Islam. Namun perlu diketahui bahawa apa yang bersijil halal, tidak mesti tayyib seperti kebanyakan makanan segera.

  8. Perlu juga diketahui bahawa makanan yang tidak bersijil halal, mungkin tayyib berbanding yang ada sijil halal. Namun jangan meremehkan institusi pensijilan halal kerana ia ada peranannya. Selain itu, hendaklah hormat dan sensitif pada norma dalam masyarakat jika ingin beramal dengan pendapat ulama tertentu dalam pemakananan yang bukan pegangan ramai dalam masyakarat seperti berpegang pada fatwa luar negara yang menghalalkan gelatin dalam kebanyakan makanan.

  9. Bukan semua makanan-makanan yang tayyib disebut dalam Al-Quran dan hadis seperti buah Tin, Zaitun, madu dan Habbatul Sauda’. Banyak lagi yang tayyib tapi tak disebut. Dalam hal ini, Muslim dianjurkan untuk mencarinya melalui kajian-kajian saintifik atau dengan merujuk kepada ahli sains yang pakar dalam bidang berkenaan, tidak semestinya asatizah (Al-Jathiyah: 13).

  10. Makanan-makanan yang disebut dalam Al-Quran dan hadis umumnya baik. Namun kebaikan dan faedah yang ada tidak terbatas pada makanan berkenaan kerana kemungkinan ada yang seumpamanya dari makanan tempatan.

  11. Mengamalkan pemakanan yang disebut dalam Al-Quran dan hadis pun perlu panduan betul iaitu pastikan kesesuaian pada diri i.e. tiada alahan dan sesuai dengan selera, dos yang betul i.e. bukan makan semahu diri. Perlu juga difahami bahawa berfaedah bukan bermakna tiada mudarat langsung pada diri sebagai contoh memakan madu bagi yang berpenyakit kencing manis.

  12. Jika tidak suka pada makanan yang disebut kebaikannya dalam Al-Quran dan hadis kerana tidak sesuai pada selera, tidak perlu kutuk orang lain yang memakannya. Yang suka memakannya pula tidak perlu mencela sesiapa yang tidak menggemarinya. Memakan makanan “sunnah” sahaja bukan sebab menjadikan seorang lebih bertakwa dari orang lain.

  13. Sebagai tambahan, sila rujuk

    – Odio ceramah, “Halal dan Haram Ternyata. Syubhat Bagaimana?”, di http://haniff.sg/odio/odio-ceraman-halal-haram-dan-syubhat/

    – Odio kuliah zohor, “Halal, Haram, Syubhat dan Yang Didiamkan”, di http://haniff.sg/odio/odio-kuliah-zohor-masjid-maarof-a-memudahkan-manusia-melakukan-ibadah-b-haram-halal-syubhat-dan-yang-didiamkan-30-mei-2018/ 

    – Kemusykilan Agama – Adakah “no pork, no lard” bermaksud halal?, di http://haniff.sg/kemusykilan-agama/kemusykilan-agama-adakah-no-pork-no-lard-bermaksud-halal/