Pesanan Dari Al-Quran #12 – Rezeki Dari Allah taala

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 20 November 2020, di sini. 

“Engkau (Allah) jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.” (Al Imran: 27)

Pelajaran

  1. Ayat ini berbicara tentang hukum alam yang berlaku kepada semua manusia dalam soal rezeki di dunia ini.

  2. Allah taala memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mahu merujuk kepada semua manusia, samada Muslim dan bukan Muslim. Hal ini kerana Allah taala Maha Adil. Oleh itu, Dia tidak diskriminatif dalam memenuhi keperluan hamba-hambaNya. Siapa sahaja yang berusaha memenuhi sebab musabab sesuatu perkara boleh memperolehi perkara itu. Hal ini dapat disaksikan dalam alam realiti.

  3. Sifat adil yang ditunjukkan oleh Allah taala di atas adalah untuk menjadi contoh bagi Muslim dalam berlaku adil sesama manusia, iaitu adil tanpa diskiriminasi atas apa jua sebab dengan memberi hak kepada yang layak.  

  4. Terdapat dua cara Allah taala memberi rezeki, iaitu a) berdasarkan kehendak Dia, dan b) berdasakan hukum sebab musabab yang Dia cipta pada alam ini.

    Namun (b) adalah asas bagi ketentuan Tuhan terhadap rezeki manusia dan (a) adalah pengecualian. Maka sebab itu, Muslim perlu berusaha keras untuk memenuhi sebab musabab bagi apa yang dihajati, dan tidak bergantung hanya kepada doa atau tanpa ambil kira sebab yang sesuai bagi hajat yang dikehendaki.

  5. Muslim hendaklah meminta rezeki dari Allah taala kerana dia Pemilik segala yang ada. Sejauh mana kuasa dan usaha yang ada pada seorang Muslim, dia tidak harus lupa akan hakikat ini supaya tidak menjadi sombong dan dia hendaklah sentiasa beringat bahawa Allah taala berkuasa untuk ambil semula rezeki yang diberi, jika hambaNya sombong dan inkar.

  6. Frasa “tidak terhitung” juga bermakna kuasa Tuhan atau sifat pemurahNya tidak terbatas, iaitu siapa sahaja yang berusaha dan penuhi hukum sebab musabab akan dapat.

  7. Rezeki Allah taala banyak (tidak terhitung) (lihat Ibrahim: 34). Hal ini sepatutnya membina dalam diri Muslim minda yang optimis dan positif dalam berusaha memenuhi keperluan hidup.

  8. Jangan hasad terhadap manusia dalam soal rezeki (Al-Nisa’: 54), baik kepada Muslim atau bukan Muslim kerana hasad tidak membuka rezeki. Yang membuka rezki ialah usaha gigih.

    Muslim yang ingin mendapat rezeki seperti orang lain hendaklah berusaha, bukan memusnahkan rezeki orang itu.

    Kemusnahan rezeki orang itu memuaskan nafsu diri tapi tidak menjadikan si penghasad lebih kaya atau berjaya.

    Lebih buruk lagi hasad hanya akan lebih merosakkan seseorang itu sebagaimana sabda Nabi s.a.w, “Jauhilah hasad (dengki), karena hasad akan menghanguskan kebaikan-kebaikan sebagaimana api menghanguskan kayu api.” (Riwayat Abu Daud)