Pesanan Dari Al-Quran #16 – Ikhlas dan Memberi Ganjaran Bagi Khidmat Agama

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 15 Januari 2021, di sini. 

Pelajaran

  1. Ayat di atas menceritakan sikap Nabi s.a.w yang tidak mengharapkan ganjaran atau upah manusia apabila melakukan tugas dakwah atau mengajar agama yang diwajibkan ke atasnya.

    Ia juga adalah sikap para anbiya’ yang lain sebagaimana yang disebut dalam ayat-ayat Al-Quran yang lain (contoh, Yunus: 72, Hud: 29 dan 51, Al-Shu`ara’: 127, 145, 164 dan 180).

    Walaupun semua ayat-ayat ini memberitahu akan sikap para anbiya’ tetapi boleh disimpulkan bahawa ia juga adalah perintah Allah taala kepada mereka kerana sikap yang seragam di kalangan para anbiya’ dalam era yang berbeza tidak lain kecuali ia adalah perintah dari satu sumber yang sama, iaitu Allah taala.

    Ertinya, Allah taala menuntut dari semua anbiya’ yang diutus untuk menyampaikan agamaNya kepada manusia agar melakukan tugas itu dengan penuh keikhlasan, tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran atau upah dari manusia.

  2. Walaupun Allah taala memerintahkan para anbiya’ sedemikian, Dia, sebagai “majikan”, menjamin sara hidup mereka dan tidak pernah mengabaikan upah kebendaan bagi mereka. Bahkan Allah taala menawarkan “gaji” atau sara hidup yang lumayan selama mana mereka ikhlas dan tekun melaksanakan tugas mereka. Sebagai contoh;

    – Allah taala menawarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w untuk mengubah bukit-bukit di keliling Mekah menjadi emas sebagaimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Turmuzi. Namun, Nabi s.a.w menolak tawaran itu kerana lebih suka untuk hidup sederhana.

    – Allah taala menjadikan Nabi Daud dan Sulaiman a.s. raja yang menguasai banyak kemewahan dunia.

  3. Apabila Nabi s.a.w tiba di Madinah, beliau berhadapan dengan banyak kemusykilan agama dari orang ramai yang baru memeluk agama Islam hingga menyulitkannya untuk berusaha bagi sara hidup diri dan keluarganya.

    Bagi meringankan beban Nabi s.a.w, Allah taala memerintahkan sesiapa yang datang kepada Nabi s.a.w untuk mendapatkan nasihat tentang agama atau kehidupan memberi sedekah, sebagaimana yang disebut dalam firman Allah taala,

    “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah sebelum kamu mengadapnya; (pemberian sedekah) itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih bersih.” (Al-Mujadilah: 12)

  4. Walaupun perintah ini kemudiannya dimansuh oleh Allah taala dengan larangan ke atas Nabi s.a.w dan ahli keluarganya menerima apa jua sedekah dan zakat, ia diganti dengan hukum yang memperuntukkan Nabi s.a.w dan ahli keluarganya satu perlima dari ghanimah (harta musuh yang diperolehi melalui perang) dalam firman Allah taala,

    “Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya (dibahagikan) untuk (jalan) Allah dan untuk RasulNya dan untuk kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta ibnus-sabil (orang musafir yang keputusan)…..” (Al-Anfal: 41).

  5. Allah taala juga memperuntukkan sedikit bahagian dari fay’ (harta musuh yang dirampas bukan melalui jalan perang) untuk Nabi s.a.w dan keluarganya dalam firmanNya

    “Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan)…” (Al-Hasyr: 7).

  6. Apa yang dinyatakan di atas mengajar bahawa ikhlas dalam menunaikan tugas dakwah tidak bermakna tidak boleh / layak / perlu menerima ganjaran kebendaan terbaik bagi tugas itu.

  7. Muslim hendaklah mencontohi Allah taala yang menjadi “paymaster” yang terbaik bagi Nabi s.a.w dengan memberi upah / ganjaran sebaik mungkin kepada mereka mereka yang mendedikasi tenaga dan masanya untuk agama Allah taala. Pastinya ini tertakluk juga pada mutu kelakonan kerja pihak yang diamanahkan tugas agama itu.

    Hal ini juga sesuai dengan makna dan ruh yang terkandung dalam firman Allah taala;

    “Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Al-Najm, 41)

    “Tidakkah sepatutnya sesuatu kebaikan dibalas dengan kebaikan juga?” (Al-Rahman, 60).