Pesanan Dari Al-Quran #2 – Pelajaran Dari Surah Yasin

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 19 Jun 2020, di sini.

“Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi para utusan.” (Yasin: 13)

“Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan lalu mereka mendustakan mereka; kemudian Kami kuatkan (kedua utusan itu) dengan utusan yang ketiga, lalu utusan-utusan itu berkata: Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu.” (Yasin: 14)

“Penduduk bandar itu menjawab: Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta.” (Yasin: 15)

“Para utusan berkata: Tuhan kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami adalah utusan-utusan yang diutus kepada kamu.” (Yasin: 16)

“Dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata.” (Yasin: 17)

“Penduduk bandar itu berkata pula: Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Yasin: 18)

“Para utusan menjawab: Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau.” (Yasin: 19)

“Dan (semasa utusan-utusan itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu.” (Yasin: 20)

“Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayat petunjuk.” (Yasin: 21)

“Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?” (Yasin: 22)

“Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.” (Yasin: 23)

“Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.” (Yasin: 24)

“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku).” (Yasin: 25)

“(Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Ia berkata; Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui.” (Yasin: 26)

“Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.” (Yasin: 27)

“Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka) dan tidak perlu Kami menurunkannya.” (Yasin: 28)

“(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.” (Yasin: 29)

“Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang utusan melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.” (Yasin: 30)

Pelajaran

  1. Menurut ahli tafsir, ayat-ayat di atas menceritakan kisah dakwah empat pengikut Nabi Isa a.s di sebuah bandar di Antakia (Antioch), sebuah daerah di Turki. Tiga dari mereka diutus oleh Nabi Isa a.s. (Yasin: 13-4) dan seorang lagi ikut serta atas inisiatif sendiri (Yasin: 20).

  2. Allah taala memerintah para pendakwah itu menyampaikan kebenaran dahulu (Yasin: 17, 22-3), sebelum penduduk kampung dihukum telah menolak kebenaran dan kufur.

  3. Allah taala tidak segera menurunkan bencana kerana kufur, tapi menghantar seorang lagi pendakwah untuk memberi peluang kepada mereka untuk beriman dan bertaubat (Yasin: 20).

  4. Al-Rahman telah dikenali sebagai Allah sebelum Nabi Muhammad s.a.w. Hal ini juga didapati dalam surat Nabi Sulaiman a.s. kepada Ratu Balqis (Al-Naml: 30). Ini menjadi dalil bahawa Allah taala lebih suka dikenali sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih kerana, dalam Al-Quran, Al-Rahman adalah satu-satunya nama Tuhan yang diguna hampir sinonim dengan nama Allah (Yasin: 15).

  5. Cara kebatilan ialah tidak berhujah dengan bukti dan hujah yang bernas, tapi mengguna serangan peribadi dan ancaman ke atas lawan (Yasin: 15, 18). Hal ini memberi pengajaran kepada pendakwah bahawa usaha dakwah yang baik tidak harus melakukan cara yang sama.

  6. Cara dakwah yang betul ialah menyampaikan kebenaran dengan jelas. Jelas bermaksud jelas dari segi idea, hujah bagi idea-idea itu dan metodologi. Oleh itu, dakwah bukan hanya sekadar pemberitahuan dan pemakluman sesuatu maklumat. Kebenaram diterima pula atas sebab-sebab ini, bukan kerana paksaan (Yasin: 17).

  7. Tugas utama pendakwah ialah menyampaikan kebenaran sebaik mungkin (Yasin: 17). Samada manusia menerimanya atau tidak, ia tergantung pada hidayah dari Allah taala. Oleh itu, tidak perlu memaksa manusia untuk terima dan amalkan kebenaran atau bersegera untuk melaknat keinkaran mereka kerana mungkin Allah taala belum mengizinkan hidayah untuk mereka lagi.

  8. Tidak memadai hanya beriman akan kewujudan Tuhan. Iman yang betul harus juga meliputi konsep Tuhan yang betul, iaitu tauhid dan bebas dari syirik (Yasin: 22-3).

  9. Dosa sebesar kufur pun akan diampunkan Allah taala jika seseorang itu insaf dan bertaubat. Pintu keampunan tetap terbuka bagi mereka yang kufur kepada Allah taala, apatah lagi bagi Muslim yang bermaksiat (Yasin: 27).

  10. Allah taala jelaskan kenapa mereka dihukum (Yasin: 30), tidak hanya buat tuduhan dan menyalahkan penduduk berkenaan. Tidak seharusnya pendakwah menuduh dan menghukum sesiapa tanpa penjelasan dan bukti, atas nama dakwah.

  11. Muslim yang menghayati tugas dakwah akan sentiasa berinisiatif untuk melakukannya tanpa menunggu perintah dan arahan sesiapa, terutama sekali apabila bantuan diperlukan oleh para pendakwah lain (Yasin: 20).