Pesanan Dari Al-Quran #31 – Tidak Mesti Berkasar dan Bersikap Keras Terhadap Mereka Yang Degil

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 3 September 2021, di sini.

“Maka biarlah mereka tenggelam (dalam kesesatan) dan bermain-main sampai mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka.” (Al-Zukhruf: 83)

“(Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka dan katakanlah: Salam sejahtera [kepada kamu]! Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!” (Al-Zukhruf: 89)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat ini diturunkan kepada Nabi s.a.w semasa era dakwah di Mekah untuk memberi panduan tentang sikap yang betul terhadap golongan Arab Quraisy di kota itu yang begitu degil menolak dakwah kepada kebenaran.

    Anjuran dalam ayat-ayat ini bukan satu-satunya pilihan atau sikap terhadap golongan yang tegar dan degil.

    Namun keabsahan sikap yang dianjurkan dalam ayat-ayat ini adalah jelas dan kepentingannya dapat dilihat dalam banyak ayat-ayat lain dalam Al-Quran yang menganjurkan sikap yang sama terhadap golongan yang sama juga (lihat Al-Baqarah: 109, Al-Maidah: 13, Al-An`am: 68-9, Al-A`raf: 199).

  2. Allah taala memerintahkan Nabi s.a.w untuk membiarkan sahaja mereka yang memilih untuk menolak kebenaran, setelah segala usaha menjelaskan kebenaran kepada mereka dilakukan.

    Mereka tidak boleh dipaksa, tidak perlu dikasari atau cela atas pilihan mereka, walau pun degil.

  3. Allah taala juga menasihati Nabi s.a.w agar menyerahkan sahaja kedegilan mereka menolak kebenaran kepada Allah yang akan menghukum mereka secara adil di Akhirat nanti.

  4. Jika tidak mahu terima kebenaran kerana degil tidak mesti dihadapi dengan kekerasan, seharusnya mereka yang belum mahu menerima kebenaran kerana jahil atau tidak mempunyai maklumat mengenainya lebih utama untuk disantuni dengan baik.

  5. Anjuran untuk bersikap santun dan lembut kepada golongan yang belum terima kebenaran, samada kerana degil atau jahil, dapat dilihat dari frasa yang berbunyi, “..katakanlah: Salam sejahtera [kepada kamu]!..” (Al-Zukhruf: 89).

    Memberi salam yang mengandungi makna selamat, sejahtera, aman dan damai adalah simbol bagi perlakuan baik, sopan dan santun serta kasih dan sayang kerana tidak mungkin ucapan salam itu diucapkan dengan betul tanpa disertai oleh sikap-sikap tadi.

  6. Perintah, “Maka biarlah mereka tenggelam (dalam kesesatan) dan bermain-main..” (Al-Zukhruf: 83) memberi maksud bahawa membiarkan seseorang dalam kesesatan atau kemunkaran serta menyerahkan urusan dia (mendapat hidayah atau kekal sedemikian) kepada Allah taala setelah berusaha memberi nasihat semampu mungkin tidak menjadikan seorang Muslim itu berdosa, dianggap bersyubhat dan dipertanggungjawabkan atas kemunkaran yang berlaku.

    Jika ia satu dosa, Allah taala pasti tidak akan perintahkan sedemikian kepada Nabi s.a.w.

  7. Walau pun ayat-ayat ini turun kepada golongan bukan Muslim yang menolak dakwah Islam, pelajaran yang terkandung dalamnya relevan dalam berhubungan dengan Muslim dan ahli keluarga yang terpesong dari ajaran agama dan degil untuk terus dalam keadaan sedemikian (Al Imran: 159, Yusuf: 92 dan 97-8, Al-Taghabun: 14).

    Bahkan anjuran dalam ayat-ayat ini dan yang seumpamanya lebih utama untuk diamalkan kepada sesama Muslim dan ahli keluarga yang terpesong kerana jahil.

    Mereka ini seharusnya disantuni dengan baik dan ditangani dengan ramah dan kasih sayang lebih dahulu, bukan dengan kekerasan seperti dipulau, dihalau dari rumah, dipinggir oleh masyarakat, disindir, dimaki hamun, diputus hubungan kekeluargaan (silaturahmi) dan didiskriminasi.

  8. Ada pendapat yang mengatakan bahawa aplikasi ayat-ayat di atas dan yang seumpamanya dalam Al-Quran terhadap golongan bukan Muslim telah dimansukhkan oleh ayat Al-Quran yang memerintahkan umat Islam untuk berjihad ke atas mereka dalam Al-Taubah: 5, sehingga mereka memeluk Islam atau tunduk di bawah pemerintahan Islam sebagai golongan Zimmi.

    Namun pendapat ini ditolak oleh kebanyakan ulama kerana tiada dalil yang dijumpai yang menyokong dakwaan berlaku pemansukhan. Maka yang tepat ialah seluruh ajaran yang terkandung dalam ayat-ayat di atas dan yang seumpamanya kekal berlaku dan relevan sampai bila-bila