Pesanan Dari Al-Quran #32 – Dilarang Bersikap Kasar Terhadap Peminta Bantuan

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 17 September 2021, di sini.

“Adapun orang yang meminta (bantuan) maka janganlah engkau tengking herdik.” (Al-Dhuha: 10)

Pelajaran

  1. Ayat di atas melarang Muslim dari berlaku kasar seperti menengking, mengherdik, mencela, menghalau dan memperli, kepada para peminta sedekah, pemohon bantuan kewangan, penerima bantuan kebajikan, penghuni jalanan atau golongan susah yang datang meminta bantuan.

  2. Erti sebaliknya pula ialah Muslim diperintah untuk melayan dengan baik sesiapa yang ditemui olehnya atau yang mendatanginya untuk meminta bantuan.

  3. Adalah diakui, bukan semua mereka yang datang meminta bantuan, baik yang berada di jalanan atau yang datang ke badan-badan kebajikan, dalam konteks hari ini, mempunyai kesulitan hidup yang tulen.

    Sebahagian dari para peminta sedekah di jalanan terdiri dari anggota kumpulan sindiket. Mereka menyamar sebagai peminta sedekah untuk menipu orang ramai sebagai satu cara mudah mendapat wang.

    Sebahagian yang lain pula, adalah golongan susah yang dipergunakan oleh kumpulan sindiket untuk kepentingan kumpulan itu dan bukan kebajikan golongan susah.

    Ada juga individu yang melakukan perkara yang sama kerana malas bekerja. Mereka juga pergi ke badan-badan kebajikan dan masjid-masjid untuk memohon bantuan kewangan dan kebajikan dengan bertopengkan pelbagai alasan, sedangkan mereka mampu untuk bekerja atau kehidupan mereka tidak susah sebagaimana yang didakwa.

    Seorang Muslim tidak harus mudah tertipu oleh golongan ini. Oleh itu, sikap berhati perlu ada.

    Demikian juga sikap para pegawai di badan-badan kebajikan yang memproses permohonan bantuan yang diterima. Langkah berhati-hati perlu diambil dengan mematuhi proses saringan yang telah ditetapkan.

  4. Namun ayat di atas memberi peringatan agar keinginan berhati-hati untuk mengelak dari tertipu menyebabkan Muslim bersikap prejudis terhadap para peminta sedekah di jalanan atau pemohon bantuan kebajikan yang ditunjukkan dalam bentuk kata-kata yang menyinggung perasaan atau tingkah laku yang menyakitkan hati.

  5. Sikap yang betul dalam situasi ini ialah untuk melayan sesiapa sahaja yang datang meminta bantuan atau berhajat dengan baik selama mana tiada bukti atau tanda akan ketidakjujuran mereka.

    Hal ini kerana Islam melarang Muslim dari bersikap buruk sangka tanpa alasan yang munasabah (Al-Hujurat: 12).

  6. Jika pun ada keraguan, mereka tidak perlu dilayan dengan kasar. Memadai hanya dengan mengelak dari memberi apa-apa bantuan atau menangguhkan bantuan ke waktu yang lain agar terpelihara dari melanggar perintah Allah taala dalam Al-Dhuha: 10 secara silap.

    Ia juga lebih menunjukkan akhlak mulia seorang Muslim sebagaimana dalam Fussilat: 34 (anjuran membalas kejahatan dengan kebaikan) dan dalam Al-Syura: 40 (anjuran memaafkan kejahatan orang lain).

  7. Sikap yang sama juga boleh diterapkan apabila melayan panggilan telefon dari pihak-pihak yang meminta derma atau penjual barang-barang untuk tujuan derma dari rumah ke rumah atau terhadap para juru jual produk komersil yang menghubungi melalui telefon atau ketuk di pintu rumah, yang kadangkala tiba pada waktu-waktu yang tidak sesuai.

    Jika tidak berminat untuk membantu atau membeli, tolak sahaja dengan baik dan jauhi dari mengherdik atau mengasari mereka.