Pesanan Dari Al-Quran #33 – Perihatin Nasib Kaum Wanita Dan Golongan Yang Lemah / Terpinggir (Marhaen)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 1 Oktober 2021, di sini.

“Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Al-Mujadilah: 1)

“Orang-orang yang ‘ziharkan’ isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (Al-Mujadilah: 2)

“Dan orang-orang yang ‘ziharkan’ isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Mujadilah: 3)

“Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliah) dan itulah batas-batas hukum Allah dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Mujadilah: 4)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas diturunkan kerana kisah seorang Muslimah yang datang kepada Nabi s.a.w mengadu akan perlakuan suaminya terhadap dirinya setelah berlaku perselisihan. Suami wanita itu telah melakukan zihar ke atas dirinya. Zihar ialah apabila suami mengharamkan isteri ke atas dirinya sebagaimana ibunya haram ke atasnya. Ia adalah satu amalan tradisi Arab sebelum Islam yang bertujuannya untuk menceraikan isteri. Namun setelah keadaan menjadi tenang, si suami ingin melakukan hubungan jenis dengannya atas alasan ia hanya adat jahiliyah. Muslimah itu menolak permintaan itu kerana ragu akan status dirinya, walau pun dia masih ingin kekal bersama si suami.

  2. Muslimah berkenaan mengadu kerana merasakan dirinya dalam keadaan “digantung tidak bertali” dan memohon Nabi s.a.w untuk memberi hukum yang pasti bagi menghuraikan keadaan yang ada.

  3. Hasil dari aduan ini, Allah taala turunkan ayat yang mencela perbuatan zihar dan dianggap berdosa kerana terkandung padanya perbuatan mengharamkan satu perkara yang tidak diharamkan oleh Allah taala (Al-Mujadilah: 2).

    Suami yang melakukan zihar pula diwajibkan untuk melafazkan talak ke atas isteri pada kadar segera atau tempoh waktu yang munasabah (Al-Mujadilah: 2). Jika suami tidak melafazkan talak atau melakukannya bukan kerana untuk menceraikan isteri, dia dilarang melakukan hubungan jenis dengan isteri sehingga dia melakukan salah satu dari kaffarah (denda), iaitu a) merdekakan hamba, b) puasa dua bulan berturut-turut, atau c) memberi makan 60 orang miskin (Al-Mujadilah: 3-4).

  4. Kisah ini merupakan salah satu dalil bahawa Islam memuliakan kaum wanita dan membela nasib mereka yang pada zaman itu tergolong dalam golongan yang lemah dan terdedah pada penganiayaan kaum lelaki.

    Allah taala menunjukkan sifat pengasih dan perihatin yang tinggi sebagai pelajaran bagi Muslim dengan, a) melayan aduan yang datang hanya dari seorang wanita biasa yang merasakan dirinya telah dipersulitkan oleh tindakan kurang waras si suami, b) menurunkan beberapa ayat khusus yang mengandungi hukum yang membela nasib kaum wanita dan celaan kepada suami yang memberi layanan buruk kepada isteri, dan c) menamakan satu surah khusus bagi merakam insiden yang berlaku. Kesemuanya hanya disebabkan oleh aduan seorang wanita/isteri biasa sahaja.

  5. Walau pun Al-Mujadilah: 1-4 berkaitan dengan aduan dari seorang wanita, tapi pelajaran darinya, iaitu rasa perihatin terhadap nasib kaum wanita yang lemah dan membela mereka apabila diperlakukan dengan tidak wajar, boleh dipanjangkan juga kepada golongan lemah dan pinggiran yang lain dalam masyakarat seperti golongan kanak-kanak, orang tua, miskin dan orang lain upaya.

  6. Walau pun Al-Mujadilah: 1-4 diwahyukan sebagai reaksi dari aduan, ia bukan satu anjuran agar Muslim bersikap reaktif sahaja dalam membela dan menunjukkan keperihatinannya pada nasib kaum yang lemah.

    Yang lebih betul ialah sikap yang sebaliknya, iaitu pro-aktif dalam membela kaum yang lemah kerana apa yang berlaku bukan sesuatu yang khusus pada wanita itu. Pastinya ada ramai kaum wanita yang alami perkara yang sama dan golongan lemah lain yang teraniaya oleh keadaan. Mereka ini turut perlu dan dibela. Untuk itu, mereka perlu dicari dan dikenal pasti dan ia tidak akan tercapai kecuali jika Muslim bersikap pro-aktif dan tidak menunggu adanya aduan.

  7. Kesimpulannya, individu/masyarakat Muslim yang baik ialah yang sentiasa terbuka pada keluhan dan aduan dari golongan lemah dalam masyarakat tentang kesulitan hidup yang dialami serta peka akan nasib mereka yang selalu terdedah kepada kezaliman dan pengabaiaan.

    Individu/masyarakat Muslim yang baik juga ialah yang pro-aktif dalam melakukan tugas ini – akan mencari-cari mereka yang perlu dibela, bukan menanti aduan, laporan, berita atau kes untuk muncul sebelum bertindak.