Pesanan Dari Al-Quran #35 – Dakwah Dengan Kesungguhan Tapi Pada Batas Kemampuan

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 5 November 2021, di sini.

“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang kafir.” (Al-Maidah: 67)

“Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu agama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran) Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.” (Al-Maidah: 68)

Pelajaran

  1. Ayat ini memberitahu bahawa Nabi s.a.w wajib menyampaikan wahyu Allah, walau apa jua keadaan. Beliau tidak boleh taqiyah (menyembunyikan kebenaran dan menzahirkan yang sebaliknya).
  2. Walau jahat macam mana sekalipun sesuatu kaum, Nabi s.a.w tetap kena sampaikan dakwah kepada mereka. Beliau tidak boleh elak, merajuk dan putus harap sebagaimana beliau diingatkan dengan  kisah Nabi Yunus a.s yang tinggalkan kaumnya kerana kecewa terhadap kedegilan mereka. Allah taala “didik” dia dengan ditelan oleh ikan paus.
  3. Namun bagi umat Nabi s.a.w menyampaikan dakwah hendaklah ikut kemampuan atau pada batas (constraint) yang ada.
  4. Beban dakwah ke atas Nabi s.a.w lebih berat, tapi Allah jamin beliau dari kejahatan manusia (bunuh / tangkap / cedera yang menghalang beliau menunaikan kewajiban).
  5. Tiada keistimewaan yang sama bagi selain Nabi s.a.w. Oleh itu, beban kewajiban dakwah pun tidak sama.
  6. Hal ini memberi pelajaran bagi pemimpin, iaitu memberi kewajiban hendaklah setimpal dengan sokongan yang boleh diberi.
  7. Ayat ini juga mengajar bahawa kufur hanya berlaku setelah tabligh (sampainya dakwah).
  8. Tentangan terhadap dakwah pasti ada. Namun pendakwah hanya dituntut untuk menyampaikan kebenaran sebaik mungkin pada batas-batas kemampuan dan jangan benarkan kedegilan manusia untuk terima dakwah menjejas perasaannya seperti terlalu bersedih dan kecewa kerana hidayah adalah urusan Tuhan. Pendakwah tidak akan dipertangungjawabkan jika manusia tidak menerima kebenaran setelah berusaha sebaik mungkin.