Pesanan Dari Al-Quran #37 – Ciri-Ciri Orang Beriman

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 3 Disember 2021, di sini.

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Anfal: 1)

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Al-Anfal: 2)

“Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.” (Al-Anfal: 3)

“Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).” (Al-Anfal: 4)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat ini membicarakan tentang ciri-ciri orang beriman (dari akhir Al-Anfal: 1 hingga 4).

  2. Ciri-ciri ini ialah,

    a) takwa (Al-Anfal: 1)
    b) pelihara, lindung dan kekalkan hubungan silaturahmi dengan ahli keluarga terdekat (Al-Anfal: 2)
    c) taat kepada Allah taala dan Rasul s.a.w (Al-Anfal: 2)
    d) selalu berzikir / ingat Tuhan, bukan sahaja dalam bentuk fisikal dan tutur kata, juga dalam bentuk psikologi dan emosi, iaitu merasainya (Al-Anfal: 2)
    e) mendengar Al-Quran (Al-Anfal: 2) hingga “merasakannya” lalu dapat menambah iman
    f) bertawakal (Al-Anfal: 2)
    g) menunaikan solat (Al-Anfal: 3)
    h) bersedekah (Al-Anfal: 3)

  3. Ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang memenuhi ciri-ciri ini pula ialah,

    a) diangkat ke pelbagai darjat
    b) rezeki yang baik
    c) keampunan dari Tuhan (Al-Anfal: 4)

  4. Allah taala mengurrniakan darjat berbeza-beza (Al-Anfal: 4) kerana ia bergantung pada kualiti dan kuantiti amal dan untuk menetapkan prinsip ganjaran dalam Islam, iaitu ganjaran hendaklah berdasarkan kelakonan. Hal ini kerana manusia mempunyai keupayaan yang berbeza-beza. Oleh itu, jangan disamakan semua manusia dan jangan harap semua manusia adalah sama. Yang patut dilakukan bukan menjadikan semua manusia sama, tapi memberi kepada setiap seorang apa yang layak untuknya.

  5. Ayat ini juga memberi tahu bahawa rezeki yang baik (Al-Anfal: 4) dicapai bukan hanya melalui kerja keras, tapi juga ibadah yang banyak. Oleh itu, Muslim tidak harus bertungkus lumus bekerja mencari rezeki hingga lupa atau kurang beribadah, tapi hendaklah seimbang pada kededuanya.

  6. Hal ini boleh dicapai dengan a) rancang ibadah dengan baik, b) memberi tumpuan pada kualiti pada usaha dan masa, dan c) ilmu kerana tanpa ilmu yang betul dan luas Muslim tidak akan tahu amal yang dapat dilakukannya dan akan berfikiran sempit, samada dalam urusan dunia atau ibadah.