Pesanan Dari Al-Quran #38 – Dari Kehidupan Syurga Ke Kehidupan Syurgawi Di Dunia

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 17 Disember 2021, di sini.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa.” (Al-Dukhan: 51)

“Dia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.” (Al-Dukhan: 52)

“Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).” (Al-Dukhan: 53)

“Demikianlah keadaannya dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.” (Al-Dukhan: 54)

“Mereka meminta di dalam Syurga itu tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa.” (Al-Dukhan: 55)

“Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu dan Allah selamatkan mereka dari azab Neraka.” (Al-Dukhan: 56)

Pelajaran

  1. Ayat-ayat di atas menceritakan tentang nikmat kehidupan di syurga sebagai galakan bagi Muslim untuk beramal di dunia ini jika ingin menikmati kehidupan sedemikian di Akhirat kelak.

  2. Ayat-ayat di atas memberitahu;

    i) syurga dan segala nikmat di dalamnya diperolehi dengan menjadi insan bertakwa dahulu, iaitu melaksanakan segala perintah Allah taala dan menjauhi segala laranganNya semampu mungkin (Al-Dukhan: 51)

    ii) sifat-sifat kehidupan syurga sebagai nikmat besar bagi manusia pula ialah;

    a) keamanan dan kedamaian yang kekal (Al-Dukhan: 51)
    b) kehijauan alam dan kesegaran air sebagai simbol bagi kebersihan dan kesegaran alam sekitar (Al-Dukhan: 52
    c) pakaian yang baik (Al-Dukhan: 53)
    d) rumah dan tempat tinggal yang baik yang difahami dari, “…(mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing).” (Al-Dukhan: 53, lihat juga Al-`Ankabut: 58)
    e) pasangan dan teman-teman (nota: kewujudan “hur” bukan semestinya bermaksud isteri yang dikahwini oleh lelaki-lelaki di syurga tetapi juga bermaksud teman-teman yang menghibur sekalian ahli syurga lelaki dan perempuan, Al-Dukhan: 54)
    f) pembantu yang memudahkan urusan kehidupan seharian (Al-Dukhan: 54, lihat juga Al-Waqi`ah: 17)
    g) makanan menyihatkan yang disimbolkan oleh buah-buahan sebagai diet utama ahli syurga (Al-Dukhan: 55)
    h) tiada kesusahan dan penderitaan sebagai simbol bagi kehidupan sihat yang menyeluruh (Al-Dukhan: 55)

  3. Walaupun ayat-ayat di atas menceritakan tentang kehidupan di syurga, tapi ia mempunyai pelajaran bagi kehidupan di dunia kerana Allah taala tidak menurunkan ayat-ayat di atas hanya untuk memberitahu kebaikan hidup di syurga untuk didambakan oleh Muslim di dunia ini.

    Fahaman yang benar ialah untuk menjadikan segala sifat-sifat kehidupan syurga yang indah sebagai pelajaran tentang bagaimana mewujudkan kehidupan yang baik di dunia kerana kebahagian di syurga bermula dengan berusaha untuk cara hidup yang sama di dunia ini.

    Dengan ini, gambaran syurga di dalam Al-Quran bukan hanya satu idealisme yang dirindui tetapi sesuatu yang mampu dicapai dalam kehidupan realiti.

  4. Oleh itu, segala sifat-sifat kehidupan di syurga dalam ayat-ayat di atas hendaklah difahami sebagai piawai bagi kehidupan yang baik atau kehidupan syurgawi (heavenly life) di dunia sebagai salah satu syarat penting bagi kebahagian hidup insan.

  5. Maka piawai kehidupan yang baik di dunia ini bagi suami atau ayah bagi isteri dan anak-anak, pemerintah bagi rakyat, ketua bagi masyarakatnya, ialah mewujudkan;

    a) hidup berasaskan nilai takwa – taat dan patuh kepada Tuhan
    b) keamanan dan kedamaian dalam keluarga, masyarakat dan negara
    c) alam sekitar yang bersih dan segar
    d) bekalan pakaian yang cukup dan baik
    e) rumah dan tempat tinggal yang baik
    f) pasangan, teman-temana dan kehidupan sosial yang baik
    g) pembantu-pembantu yang memudahkan urusan hidup seharian
    h) bekalan makanan yang baik dan cukup
    i) sifar (atau kadar minimum) penderitaan / tekanan mental dan psikologi dalam hidup
    j) kesihatan yang menyeluruh.