Pesanan Dari Al-Quran #4 – Allah Taala Penentu Siapa Yang Layak Masuk Syurga

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 17 Julai 2020, di sini. Muat turun versi pdf di sini.

“(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu dan dia pula tidak akan mendapat selain dari Allah seorang pun yang akan melindunginya dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.” (Al-Nisa’: 123)

“Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpu.” (Al-Nisa’: 124)

“Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.” (Al-Nisa’: 125)

Pelajaran

  1. Sebab turun ayat Al-Nisa’: 123 ialah insiden pertengkaran antara Muslim dan Ahli Kitab. Masing-masing mendakwa hak eksklusif masuk syurga ialah milik mereka. Hal ini dapat dilihat dalam perkataan “amaniyyikum (angan-angan kamu)” yang merujuk pada Muslim.

  2. Ayat ini dan kisah disebaliknya menyokong pendapat bahawa Allah taala tidak suka sesiapa pun yang mendakwa ada keistimewaan atau hak eksklusif masuk syurga, termasuk Muslim.

  3. Ini juga menjadi dalil bahawa menetapkan soal syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah sahaja. Maksud yang sama juga boleh didapati dalam ayat Al Imran: 128 yang mana Allah taala memberitahu bahawa hanya Dia yang menentukan siapa yang berhak mendapat keampunan atau azab dariNya, apabila Nabi s.a.w terlalu bersungguh mendoakan azab ke atas musuhnya.

  4. Syurga bukan diperolehi dengan sangkaan ada hak istimewa, tapi melalui iman dan amal yang betul.

  5. Ayat-ayat ini memberitahu tentang jalan ke syurga sebagai alternatif pada angan-angan dan dakwaan kosong mana-mana pihak;
    – jauhi maksiat (Al-Nisa’: 123)
    – banyakkan amal soleh (Al-Nisa’: 124)
    – iman yang benar (Al-Nisa’: 124)
    – Islam, menyerah diri kepada Allah taala (Al-Nisa’: 125)

  6. Dari senarai ini, Muslim yang ingin memasuki syurga seharusnya fokus pada membanyakkan amal soleh, menjauhi maksiat , membangun iman yang benar dan mengukuhkan penyerahan diri kepada Tuhan kerana inilah yang jamin bagi syurga dan pendinding dari siksa neraka, bukan dakwaan hak eksklusif.

  7. Seorang Muslim yang yakin bahawa dia lebih layak masuk syurga dari bukan Muslim belum pasti akan mendapatkannya jika iman dan Islam pada dirinya hanyalah kata-kata kosong, tanpa amal soleh yang banyak berbanding maksiat yang dilakukan.

  8. Lelaki dan perempuan mempunyai hak dan ganjaran yang sama dalam amal soleh dan peluang masuk syurga. Kesolehan dan ketakwaan dalam Islam tidak berpihak kepada mana-mana jantina.

  9. Iman dan Islam penting bagi jalan memasuki syurga. Namun perlu juga difahami bahawa manusia hanya dituntut untuk beriman dan Islam pada kadar yang dia mampu. Dalam hal ini, ia tertakluk pada sampainya ilmu/hujah yang betul/jelas kepadanya. Maka seseorang yang tidak pernah sampai kepadanya kebenaran tentang iman dan Islam tidaklah boleh ditetapkan secara pasti bahawa dia telah menolak kebenaran dari Allah taala (Al-Isra’: 15) lalu dihukumkan dengan pasti bahawa dia adalah ahli neraka.

  10. Melalui ayat ini juga dapat difahami bahawa celaan Allah taala terhadap Ahli Kitab bahawa mereka pasti masuk syurga (Al-Baqarah: 80) dan, jika masuk neraka sekalipun, hanyalah sebentar sahaja, adalah pelajaran kepada Muslim agar tidak mempunyai angan-angan yang sama kerana kesemua itu adalah hak eksklusif Allah taala dan hanya Dia yang tahu siapa yang menjadi ahli syurga dan neraka tanpa kira status agamanya di dunia ini. Oleh itu, serahkan perkara ini kepada Tuhan dan jauhilah kelakuan seperti “Tuhan” (play God).