Pesanan Dari Al-Quran #51 – Islam, Identiti dan Perkauman (24 June 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 24 Jun 2022, di sini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat: 11)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat:13)

Pelajaran

  1. Kededua ayat di atas mengandungi pelajaran bagi Muslim tentang sikap Islam terhadap identiti dan perkauman.

  2. Al-Hujurat: 13 memberi tiga pelajaran;

    a) keterikatan manusia secara psikologi kepada identiti kelompok (collective identity) memang direncana Tuhan dan satu lumrah kehidupan

    b) Allah taala membenarkan kewujudan pelbagai identiti kelompok atas tujuan yang positif iaitu agar setiap satu kelompok dapat saling mengenali. Namun berkenalan di sini bukanlah bermakna saling bertukar-tukar maklumat tentang kelompok masing-masing, tapi lebih tepat ialah untuk saling belajar dari satu sama lain dan dapat bekerjasama bagi manfaat bersama kerana inilah yang memajukan kemajuan sesuatu kaum, bukan setakat pertukaran maklumat.

    c) memiliki identiti kelompok seperti Melayu dan Jawa bukan sesuatu yang dilarang agama kerana ia diwujudkan untuk kebaikan manusia.

  3. Kesimpulan ini dapat disokong pula oleh hakikat bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah melarang para sahabatnya dari menggunakan gelaran-gelaran yang menonjolkan identiti kelompok pada nama mereka seperti nama Abu Musa Al-Asy`ari (dari kabilah Bani Asy`ar), Salman Al-Farisi (berbangsa Parsi), Suhaib Al-Rumi (berbangsa Romawi) dan Abu Zar Al-Ghifari (dari kabilah Bani Ghifar).

    Ramai dari kalangan ulama besar Islam juga mengguna gelaran-gelaran ini bagi identiti diri. Bahkan ramai pula lebih dikenali dengan gelaran identiti kelompok dari nama sebenar mereka seperti Imam Al-Bukhari dan Imam Al-Qurtubi.

  4. Yang dicela oleh Islam ialah identiti kelompok yang bersifap perkauman, yang diistilahkan oleh Kamus Dewan sebagai rasialisme, “layanan berat sebelah atau sikap bermusuhan terhadap seseorang berasaskan keturunan bangsanya” atau “fahaman yang menekankan suku kaum sendiri sahaja yang paling unggul” (Kamus Dewan edisi keempat).

  5. Perkauman dicela oleh Islam kerana;

    a) perintah Al-Quran agar umat Islam menegakkan keadilan walaupun ia tidak berpihak kepada kaum kerabat sendiri (Al-Nisa’: 135), bahkan jika berpihak kepada musuh sekalipun (Al-Maidah: 8), sedangkan perkauman mengandungi sikap berat sebelah kepada mereka yang sekaum

    b) larangan Al-Quran perbuatan memandang rendah dan mempersenda individu atau kaum lain (Al-Hujurat: 11), sedangkan perkauman sering kali mendorong individu untuk melakukan sedemikian

    c) larangan Al-Quran umat Islam dari mempunyai tanggapan bahawa diri sendiri sentiasa lebih mulia dari orang lain (Al-Najm: 32)

    d) pendirian Al-Quran yang meletakkan kemuliaan individu pada takwa, dan Nabi s.a.w menafikan kelebihan seseorang atau kelompok atas dasar keturunan dan kaum dalam sabdanya,

    “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas yang bukan Arab, atau bukan Arab ke atas orang Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” (Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi)

    e) perkauman mendorong individu untuk berasa sombong dan bongkak kerana merasa diri lebih baik dan mulia menyerupai sikap Iblis yang tercela apabila berkata tentang ciptaan Nabi Adam,

    “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.” (Sad: 76)

  6. Sikap cinta dan bangga dengan identiti kelompok (baik bersifat kaum, etnik atau keturunan) yang disertai dengan apa yang dinyatakan di atas ialah apa yang dimaksudkan dengan asabiyah yang melampau oleh hadis Nabi s.a.w,

    “Barangsiapa berperang di bawah bendera buta tuli; marah atas dasar asabiyah, menyeru kepada asabiyah atau membela asabiyah lalu dia mati, maka matinya dalam keadaan mati jahiliyah.” (Riwayat Muslim)

  7. Islam tidak mewajibkan Muslim untuk hanya memiliki satu identiti kelompok, iaitu sebagai Muslim dan membuang semua identiti lain.

    Islam akui bahawa hubungan psikologi individu dengan keluarga, etnik dan kaum adalah sesuatu yang tabi’ii dan membenarkan pula Muslim untuk memiliki pelbagai identiti selain sebagai Muslim dan anggota sesuatu etnik atau kaum dan lain-lain.

  8. Muslim hendaklah menjauhi perkauman kerana ia adalah prinsip agamanya, walaupun jika dirinya sendiri pernah didiskriminasi disebabkan anutan agama atau identiti etniknya.

    Bahkan Muslim hendaklah kehadapan melawan perkauman tanpa kira samada ia berlaku ke atas dirinya atau kaum/agama lain kerana ini juga prinsip agamanya.

  9. Dalam berusaha menangani masalah perkauman pula, Muslim hendaklah sentiasa memilih saluran undang-undang dan sivil dan menjauhi pula dari respon yang bersifat perkauman yang sama kerana ia tidak termasuk dalam maksud firman Allah taala,

    “Dan balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya…” (Al-Syura: 40)

  10. Segala hujah di atas juga boleh diterapkan pada sikap patriotisme terhadap Singapura. Ia sesuatu yang dibenarkan selagi ia tidak dimanifestasikan dalam bentuk seperti perkauman yang dinyatakan di atas.