Pesanan Dari Al-Quran #60 – Keajaiban Pada Frasa “Wa Ma Bainahuma (Ciptaan Antara Langit dan Bumi)” Dalam Al-Quran (4 November 2022)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 4 November 2022, di sini.

“Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?” (Al-Sajdah: 4)

Pelajaran

  1. Ayat di atas menyebut tiga ciptaan Allah taala di alam ini;
    a) langit
    b) bumi, dan
    c) apa yang ada di antara langit dan bumi.

  2. Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menyebut dan mengulang-ulang perkara ini.

    Pengulangan ini pastinya mempunyai tujuan. Selain dari untuk menarik perhatian manusia bahawa alam ini adalah makhluk dan ada Pencipta Yang Maha Berkuasa hingga mampu mencipta ciptaan yang amat kompleks ini, ayat ini juga bertujuan untuk menarik perhatian manusia agar mengkaji dan meneroka ketiga-tiga alam yang disebutkan supaya dengan itu mereka menjadi lebih yakin akan kewujudan Pencipta dan kehebatanNya disamping mendapat ilmu darinya untuk dimanfaatkan bagi kehidupan di dunia ini.

  3. Ketiga-tiga ciptaan yang diulang berkali-kali sepanjang Al-Quran juga memberitahu bahawa setiap ciptaan itu mempunyai signifikan tersendiri yang perlu diteroka dan direnungi.

  4. Pada ketika wahyu diturun, hakikat ciptaan bumi adalah jelas bagi kaum Arab di padang pasir di masa itu. Mereka dapat melihat pelbagai bentuk muka bumi, tumbuhan, binatang dan lain-lain.

  5. Walaupun ciptaan langit begitu jauh, kehebatan dan keindahannya dapat diketahui melalui pandangan mata.

    Manusia di zaman itu dapat melihat kehebatan matahari, bulan dan ratusan bintang di langit. Walaupun ilmu masyarakat di zaman itu tentang astronomi dan fizik angkasa di zaman itu tidak semaju di zaman moden kini, mereka bukan jahil sama sekali tentang bintang-bintang di langit. Bahkan orang Arab padang pasir diketahui mempunyai pengetahuan tentang bintang-bintang yang baik kerana mereka amat memerlukannya untuk panduan perjalanan, penentuan masa-masa penting dan membaca cuaca yang mana semuanya sangat penting bagi kelangsungan hidup di masa itu.

  6. Hal ini berbeza dengan ciptaan “apa yang ada di antara langit dan bumi” di masa itu. Manusia di zaman penurunan wahyu tidak nampak atau merasa banyak apa-apa yang penting. Mendongak ke langit, mereka hanya nampak ruang kosong atau debu berterbangan sahaja. Melalui deria lain, mereka pula mereka hanya dapat merasakan angin yang bertiup.

    Namun Al-Quran tidak pernah tersilap apabila meletakkan signifikan ciptaan ini sama dengan ciptaan langit dan bumi kerana ia datang dari Tuhan Yang Maha Mengetahui.

  7. Sains moden membuktikan ruang kosong di antara langit dan bumi mempunyai pelbagai ciptaan Tuhan seperti pelbagai gelombang radio yang mempunyai banyak kegunaannya dalam kehidupan manusia.

  8. Realiti dunia hari ini membuktikan betapa penting ciptaan “apa yang ada di antara langit dan bumi”.

    Ia yang menjadi tunggak bagi teknologi infokom hari ini, iaitu internet dan telefon bimbit. Tanpa gelombang-gelombang radio, telefon bimbit dan aliran data melalui internet yang begitu luas kegunaannya tidak boleh berlaku.

    Walaupun internet masih dapat berfungsi melalui kabel darat dan laut, tapi peranan gelombang radio telah menjadi lebih penting dengan kewujudan telefon bimbit bijak yang mampu menghantar dan menerima data yang besar dengan pantas oleh orang ramai.

    Bayangkan bagaimana kehidupan hari ini tanpa telefon bimbit dan capaian internet disebabkan atau berlaku gangguan pada gelombang radio i.e kos kerugian pada ekonomi, huru hara dalam masyarakat, kerosakan pada infrastruktur? Demikianlah pentingnya ciptaan “apa yang ada di antara langit dan bumi” yang tidak diketahui sebelum ini.

  9. Hal ini memberi beberapa pelajaran:

    a) kehebatan Al-Quran yang mempunyai ilmu dan idea yang jauh maju dan kehadapan berbanding masa di mana ia diturunkan

    b) terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran lain yang serupa dan semua itu membuktikan bahawa ia bukan hasil tulisan manusia biasa, tapi dari Tuhan yang ilmuNya tidak terbatas

    c) jangan cepat menyalahkan atau menolak apa yang ada dalam Al-Quran tapi mustahil pada akal manusia seperti kemungkinan wujud teknologi teleport (Al-Naml: 39-40) dan kewujudan sungai-sungai yang mengalirkan susu dan madu (Muhammad: 15) kerana orang Arab dahulu pun tidak tahu banyak tentang “apa yang ada di antara langit dan bumi” dan kepentingannya yang sama dengan ciptaan langit dan bumi

    d) apa yang tidak kelihatan pada mata kasar seperti gelombang radio di antara langit dan bumi bukan bermakna tidak ada dan tidak penting. Maka jangan cepat menolak perkara-perkara ghaib dan menafikan kepentingannya. Jangan hanya beri tumpuan pula pada perkara kebendaan sahaja

    e) Al-Quran perlu difahami bukan hanya dengan kajian teks dan kaedah-kaedah mentafsir teks sahaja, tapi juga dengan ilmu-ilmu sains lain, baik sains tulen atau sains kemanusiaan dan kemasyaratan

    f) mungkin masih ada lagi banyak makna dan perkara yang masih belum diketahui tentang “apa yang ada di antara langit dan bumi” yang perlu dikaji dan diteroka oleh Muslim sehingga kemudian nanti dapat memicu kemajuan teknologi masa depan pula

    g) Muslim hendaklah terus mengkaji Al-Quran kerana ia mempunyai makna-makna yang sangat dalam yang mana akal manusia seringkali belum mampu memahaminya atau mempunyai ilmu yang komprehensif tentangnya.