Pesanan Dari Al-Quran #64 – Panduan Al-Quran Tentang Menjadi Ilmuwan, Menghukum dan Membuat Keputusan (7 Januari 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 7 Januari 2023, di sini.

“Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami.”(Al-Kahf: 65)

“Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” (Al-Kahf: 66)

“Dia menjawab: Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.” (Al-Kahf: 67)

“Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?” (Al-Kahf: 68)

Pelajaran

1.    Ayat-ayat di atas merakam kisah Nabi Musa a.s. dan seorang lelaki soleh yang bernama Khidir.

2.    Kisah ini bermula apabila Nabi Musa a.s. diperintah oleh Allah taala untuk mencari dan belajar dari Khidir satu kelebihan yang Allah taala kurniakan kepadanya yang disebut oleh Al-Quran sebagai “rusyd” (Al-Kahf: 66).

Setelah berjumpa Khidir, Nabi Musa a.s. pun memberitahu tujuannya (Al-Kahf: 65-6). Pada awalnya, Khidir keberatan untuk menunaikan permintaan Nabi Musa a.s. kerana berpendapat, dia tidak akan dapat bersabar ketika berada di bawah bimbingannya (Al-Kahf: 67-8).

Setelah dipujuk, Khidir bersetuju hanya setelah Nabi Musa a.s pula bersetuju untuk hanya  memerhati dan tidak akan mempersoalkan tindakan-tindakannya ketika berada di bawah bimbingannya sebelum dia sendiri memberi penjelasan. Ternyata kemudian, Nabi Musa a.s. melanggar syarat yang dipersetujuinya beberapa kali hingga menyebabkan Khidir menghentikan proses pembelajaran. Khidir lalu menjelaskan sebab bagi segala tindakan-tindakannya yang tidak dapat difahami oleh Nabi Musa a.s. Bahagian kisah ini disebut dalam ayat-ayat lain setelah ketiga-tiga ayat di atas dalam surah yang sama yang boleh dirujuk dalam kitab terjemahan dan tafsir Al-Quran.

3.    Pelajaran yang hendak difokuskan dari ketiga-tiga ayat di atas ialah tahap ilmu dan pembelajaran yang perlu dicapai oleh seorang Muslim bagi membolehkannya menjadi ilmuwan dan membuat hukum/keputusan dengan baik seperti Khidir dan menjauhi sikap gopoh pula dalam perkara yang sama seperti Nabi Musa a.s.

Hal ini amat penting kerana keupayaan membuat keputusan satu kemahiran yang penting dalam kehidupan Muslim, samada dalam urusan-urusan peribadi atau dalam urusan dakwah dan kemasyarakatan.

4.    Wujudnya konsep tingkatan-tingkatan ilmu dan pembelajaran dan konsep pemikiran tingkat tinggi (high order thinking) dalam Al-Quran sebagaimana yang dapat ditemui dalam ilmu pendidikan moden.

Ayat Al-Quran di atas membezakan antara memperolehi maklumat dan ilmu dan antara ilmu dan “rusyd”. “Rusyd” lebih tinggi dari setakat faham atau berilmu dan berilmu pula lebih tinggi dari hanya mempunyai maklumat tentang sesuatu perkara.

Demikian juga proses pembelajaran yang perlu dilalui oleh Muslim, iaitu tidak harus hanya mengumpul maklumat, tapi juga perlu faham agar maklumat itu menjadi ilmu. Setelah itu, hendaklah berusaha pula meningkatkan ilmu ke tingkat lebih tinggi iaitu “rusyd”.

Kisah interaksi Nabi Musa a.s dan Khidir tidak memberi penjelasan yang terang akan makna “rusyd”. Namun darinya dapat dirumuskan bahawa “rusyd” ialah keupayaan seseorang untuk menerapkan ilmu yang ada sesuai dengan konteks atau perincian kes yang diperolehi melalui maklumat yang menyeluruh tentang sesuatu masalah atau kes. Inilah yang membezakan Khidir dari Nabi Musa a.s.. Ia juga diperolehi melalui pengalaman yang terkumpul hasil dari kesabaran melalui latihan berkali-kali dan tempoh yang panjang. Ini pula yang ingin diberlakukan oleh Khidir kepada Nabi Musa a.s.

5.    Sebab berlaku kegopohan dalam membuat keputusan dan hukum, sikap “judgmental” atau kedangkalan berfikir (superficial thinking) ialah apabila seseorang itu bercakap tentang sesuatu perkara tanpa maklumat yang menyeluruh atau berdasakan satu sudut pandangan sahaja.

6.    Ilmu sahaja tidak memadai untuk pembelajaran tingkat lebih tinggi. Ia memerlukan pengalaman secara amali yang dicapai dari latihan berulang kali yang memakan masa. Latihan berulang kali dan masa pula memerlukan kesabaran. Tanpanya, proses ilmu tidak meningkat ke tahap lebih tinggi sebagaimana yang dialami oleh Nabi Musa a.s..

7.    Ketinggian ilmu dan kecemerlangan akademik pada individu bukan hanya dicapai melalui IQ yang tinggi, tapi juga EQ (keupayaan untuk sabar) agar tahan diuji berulang kali dan cekal melalui masa yang lama.

8.    Keilmuan juga tidak dicapai hanya dengan ketinggian intelek, kegigihan usaha dan kemampuan wang ringgit. Masa sentiasa diperlukan untuk mengubah maklumat kepada ilmu dan meningkatkan ilmu pula ke tahap yang matang, ibarat buah yang memerlukan masa untuk masak.

Seseorang yang ada intelek yang tinggi, kegigihan untuk berusaha dan wang untuk dibelanja tetap tidak akan capai ilmu yang “masak” jika dia tidak sabar melalui tempoh masa yang diperlukan.

9.    Perkara yang perlu dilakukan sebelum membuat keputusan atau dalam mencari ilmu;

a) dapatkan maklumat secukupnya dari pelbagai sudut dan pandangan
b) fahami maklumat agar menjadi ilmu
c) perlu sabar dalam mengumpul maklumat, bukti, data dan ilmu sebelum membuat keputusan tentang sesuatu perkara
d) perlu sabar untuk tidak membuat keputusan/hukum sebelum memahami dengan baik isu yang dihadapi.

10. Namun penting juga Muslim beringat agar keinginan untuk mencapai tahap ilmu yang tinggi dan ideal menyebabkan sikap pasif dan suka bertangguh dalam membuat sesuatu perkara atas nama bersabar dan menanti maklumat yang menyeluruh hingga banyak masalah peribadi dan masyarakat menjadi terbengkalai.