Pesanan Dari Al-Quran #65 – Memberi Peluang Kepada Mereka Yang Pernah Tersilap (20 Januari 2023)

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 20 Januari 2023, di sini.

“Dia [Khidir] menjawab: Sekiranya engkau [Nabi Musa] mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu.” (Al-Kahf: 70)

“Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar.” (Al-Kahf: 71)

“Dia menjawab: Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?” (Al-Kahf: 72)

“Nabi Musa berkata: Janganlah engkau marah akan aku disebabkan aku lupa (akan syaratmu) dan janganlah engkau memberati aku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu).” (Al-Kahf: 73)

“Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya. Nabi Musa berkata: Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!” (Al-Kahf: 74)

“Dia menjawab: Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?” (Al-Kahf: 75)

“Nabi Musa berkata: Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, janganlah engkau jadikan aku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku.” (Al-Kahf: 76)

“Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa berkata: Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!” (Al-Kahf: 77)

“Dia menjawab: Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.” (Al-Kahf: 78)

Pelajaran

1.    Ayat-ayat di atas adalah dialog antara Nabi Musa a.s dan Khidir. Ia adalah sambungan dari ayat-ayat yang dibicarakan pada tajuk sebelum ini.

2.    Dialog ini memberitahu bahawa Khidir membenarkan Nabi Musa a.s. untuk berada di bawah bimbingannya dengan syarat Nabi Musa a.s. perlu bersabar dari bertanya atau mempersoalkan tindakan-tindakannya sebelum dia sendiri memberi penjelasan (Al-Kahf: 70).

Nabi Musa a.s bersetuju dengan syarat berkenaan tetapi kemudian melanggarnya (Al-Kahf: 71). Setelah diberi amaran, Nabi Musa a.s. memohon diberi peluang sekali lagi (Al-Kahf: 73) dan ini berulang sekali lagi (Al-Kahf: 76).

Akhirnya hubungan Nabi Musa a.s. dan Khidir berakhir atas kehendak Nabi Musa a.s. (Al-Kahf: 76) setelah dia gagal memenuhi syarat pada kali ketiga (Al-Kahf: 78).

3.    Kisah ini menjadi dalil bahawa Islam menggalakkan Muslim untuk memberi peluang beberapa kali kepada mereka yang telah melakukan kesilapan, kesalahan atau dosa, sebagaimana yang dilakukan oleh Khidir kepada Nabi Musa a.s.

Ertinya dalam usaha untuk mencegah kemunkaran, Muslim tidak seharusnya berpada dengan pendekatan menghukum sahaja, tetapi juga memberi peluang untuk pelaku maksiat atau kesalahan mencuba untuk membaiki diri dan membetulkan kesalahannya.

4.    Hal ini boleh disokong oleh hadis Nabi s.a.w yang menceritakan tentang kisah seorang yang ingin bertaubat dan menjadi baik setelah membunuh 100 nyawa. Peluang itu tetap diberi cuma dia dinasihatkan untuk berpindah ke tempat lain bagi memudahkannya untuk menjalani hidup baru.

Dalam sebuah hadis lain, Allah taala tetap memberi peluang berkali-kali kepada hambaNya yang mengulang dosa dan bersedia untuk menerimanya kembali,

“Ada seorang hamba yang berbuat dosa lalu ia berkata: Ya Tuhanku, aku telah berbuat dosa, ampunilah aku. Lalu Allah taala berfirman: Hambaku mengetahui bahwa ia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa, lalu dosanya diampuni. Berjalanlah waktu, lalu ia berbuat dosa lagi.  Setelah itu, ia berkata: Ya Tuhanku, aku telah berbuat dosa lagi ampunilah aku. Lalu Allah taala berfirman: Hambaku mengetahui bahwa ia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa, lalu dosanya diampuni. Waktu kembali berjalan, ia berbuat dosa kembali, dan meminta pengampunan: Ya Tuhanku, aku telah berbuat dosa lagi, ampunilah aku. Lalu Allah taala berfirman: Hambaku mengetahui bahwa ia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa, lalu dosanya diampuni….” (Riwayat Al-Bukhari)

5.    Tindakan Khidir memberi peluang beberapa kali sejajar dengan hadis di atas dan memberi pelajaran pula bahawa Muslim tidak harus cepat putus asa atau menutup peluang untuk pelaku maksiat dan salah berubah dan membaiki kesilapan jika dia gagal pada peluang pertama, kedua dan seterusnya.

Ini bermakna, Muslim tidak harus bersikap keras untuk segera menyisih pelaku maksiat atau salah apabila mengulang perbuatan mereka setelah diberi peluang untuk berubah.

Ini bukan pula bermakna bahawa peluang itu diberi tanpa batas kerana Khidir juga membataskan peluang kepada Nabi Musa a.s. Tambahan pula keluasan peluang yang Allah taala berikan kepada manusia untuk bertaubat dan berubah juga ada batasnya, iaitu sebelum seseorang itu berada  dalam keadaan nazak (lihat )

6.    Kisah di atas memberi hujah akan keharusan inisiatif-inisiatif yang memberi peluang pesalah jenayah untuk menjalani kehidupan yang normal sebagai sebahagian dari progam pemulihan diri mereka baik oleh pemerintah atau badan-badan kemasyarakatan seperti program Yellow Ribbon (https://www.yellowribbon.gov.sg/ ) dan FITRAH (https://msha.ke/fitrahsg/ ).

7.    Muslim digalakkan untuk menganjurkan inisiatif sebegini atau menyokong inisiatif yang sedia ada.

8.    Jika apa yang dinyatakan diatas wajar dilakukan kepada pelaku maksiat/orang asing, ia lebih utama dilakukan kepada ahli keluarga terdekat sepertu suami/isteri, anak-anak, ibu bapa, adik beradik yang pernah melakukan kesalahan pada kita.