Pesanan Dari Al-Quran #9 – Berita Angin, Bergosip dan Hubungan Sesama Manusia

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 2 Oktober 2020, di sini. 

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).” (Al-Nisa’: 83)

Pelajaran

  1. Sebab turun ayat ini ialah tersebarnya cerita bahawa Nabi s.a.w telah menceraikan isterinya kerana isu dalam keluarga. Hal ini kerana beliau s.a.w kelihatan bertindak menjauhkan diri dari mereka.

  2. Ayat ini mengajar akan larangan bergosip. Hal ini juga boleh dilihat dalam ayat Al-Nur: 11-2 yang mengisahkan kisah fitnah ke atas Aisyah dan menyebarkan gosip mengenainya.

  3. Ayat ini menganjur Muslim agar memastikan kebenaran sesuatu berita yang diterima, dan tidak menyebarkan apa yang belum pasti benar (lihat juga Al-Hujurat: 6). Hal ini boleh dicapai dengan bertanya kepada pihak yang berita mengenainya tersebar, merujuk rujuk pada sumber yang berwibawa atau bertanya kepada pakar.

  4. Rumahtangga Nabi s.a.w alami apa yang dinyatakan sebagai “ sedangkan lidah lagi tergigit”. Hal ini disokong oleh ayat-ayat Al-Ahzab: 28, Al-Talaq: 1 dan Al-Tahrim: 3.

  5. Muslim yang berumahtangga harus bersikap realistik – perselisihan dalam rumahtangga sesuatu yang normal, bukan semestinya sesuatu yang aib dan bukan tanda lemah iman atau kurang keberkatan dalam hidup.

  6. Rumahtangga Muslim bukan rumahtangga yang mesti bebas dari konflik dan objektif untuk mencapai rumahtangga yang bahagia bukan dengan meniadakan konflik, tapi mengurusnya dengan baik.

  7. Sebuah hadis melaporkan bahawa Um Salamah r.a membawa makanan dalam pinggan miliknya untuk Rasulullah s.a.w dan para sabahabtnya. Lalu Aisyah datang dengan batu lesung dan memecahkan pinggan itu. Nabis s.a.w pun mengutip serpihan pinggan yang pecah dan berkata kepada ara sabahabatnya, “Makanlah. Ibu kamu sedang cemburu”, dua kali. Rasulullah s.a.w ambil pinggan Aisyah untuk diberi kepada Um Salamah dan memberi pinggan Um Salamah yang pecah kepada Aisyah. (Riwayat Al-Nasa’ii).

    Dalam sebuah hadis lain, Aisyah r.a berkata, “Aku tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti cemburuku kepada Khadijah kerana Nabi s.a.w sering menyebut namanya. Satu hari beliau mengingatnya. Lalu aku berkata, “Apa yang dapat kau lakukan dengan wanita tua itu? Padahal Allah taala telah memberi ganti untukmu dengan yang lebih baik darinya.” Beliau menjawab, “Demi Allah. Allah taala tidak menggantinya untukku?” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

  8. Pelajaran yang dinyatakan di atas juga relevan juga dalam konteks pekerjaan, organisasi dan hubungan kemasyarakatan – perselisihan bukan perlu dihapuskan, tetapi dihadapi dan diuruskan dengan baik.

  9. Namun untuk hadapi dan urus perselisihan dengan baik, baik dalam keluarga, organisasi dan hubungan kemasyarakatan, bukan hanya perlu pada sikap yang betul, tapi juga pada kemahiran yang relevan. Oleh itu, Muslim perlu pelajari dan kuasai kemahiran-kemahiran ini seperti pengurusan konflik, komunikasi dan psikologi.