Petunjuk 10 – Menanggapi Keingkaran Yang Wujud Dalam Lingkungan Sendiri

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Allah membuat isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami, lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah, dan dikatakan (kepada keduanya)’Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)’.” (At-Tahrim : 10)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Keimanan bukan sesuatu yang boleh diwarisi. Menjadi isteri / anak seorang nabi atau lahir dalam keluarga ulama dan pendakwah semata-mata tidak menjamin kejayaan dan kesolehan seseorang. Oleh itu, didiklah anak / isteri kita untuk menjadikan mereka soleh dan menjayakan perjuangan ini kerana kesolehan dan perjuangan kita tidak diwarisi melalui pertalian darah.

 

2. Mempunyai ahli keluarga yang tidak mengamalkan Islam semata-mata bukan alasan untuk mencacatkan kewibawaan dan keperibadian seorang. Kecelaan terhadap orang berkenaan ialah apabila dia tidak berusaha sedaya upaya untuk berdakwah dengan keluarganya yang sedemikian atau ia mengambil mudah dan redha terhadap kemungkaran berkenaan kerana Nabi Nuh dan Nabi Luth tidak sedikit pun dicela keperibadiannya atas keingkaran isteri mereka. Oleh itu, jangan cepat menghukum individu yang wujud di kalangan ahli keluarganya yang tidak beriltizam dengan Islam kerana mungkin ia seperti Nabi Nuh, yang lebih mulia dari kita.

 

3. Allah taala ingin mencuba manusia dengan pelbagai bentuk ujian. Antara ujian itu ialah mewujudkan ahli keluarga yang tidak beriltizam dengan Islam. Sesiapa yang ditaqdirkan sedemikian, janganlah berputus asa. Sebaliknya hendaklah berusaha dan terus berusaha. Kesabaran atas usaha yang berterusan itu menatijahkan pahala. Mungkin juga Allah taala mahu memberi peluang untuk merapatkan martabat dirinya kepada martabat Nabi Nuh dan Luth.

 

4. Sesungguhnya seseorang tidak dihisab atas keingkaran orang lain. Sesungguhnya seseorang itu hanya dituntut untuk berusaha sedaya upaya, sedangkan natijah dan hidayah hanyalah ketentuan Allah taala semata-mata.