Pelajaran 17 – Erti Rabbani Dalam Dakwah

Allah taala berfirman

قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِيۖ وَسُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ١٠٨

“Katakanlah ‘Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku, mengajak (kamu) kepada Allah atas hujah (basirah) yang nyata, Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk dalam orang-orang yang musyrik’.” (Yusuf: 108)

Pelajaran

1. Ayat ini mengajar beberapa prinsip dalam kerja dakwah iaitu

a. Dakwah ini bersumberkan dari Allah taala. Ini dapat dilihat dari perkataan ‘katakan’ yang memberi maksud bahawa Rasulullah s.a.w menerima perintah dari Allah taala dan juga perkataan ‘jalan (agama)ku’ yang menunjukkan bahawa dakwah harus berjalan atas panduan agama Islam. Ertinya sifat dakwah kita ialah ‘minallahi’ – dari Allah.

b. Dakwah ini menyeru kepada (ubudiyah kepada) Allah taala bukan kepada

pengangungan individu atau organisasi. Seruan kita ialah kepada Islam dahulu

sebelum yang lain. Ertinya sifat dakwah kita ialah ‘illahi’ – kepada Allah.

c. Dakwah ini dilakukan hanya kerana Allah taala. Ini dapat dilihat dari firmanNya ‘Maha Suci Allah dan aku tiada termasuk dalam orang-orang yang musyrik’. Sesungguhnya melakukan dakwah atas niat selain dari mencari keredhaan Allah taala adalah syirik yang tersembunyi. Maka jadilah sifat dakwah kita ‘lillahi’ – kerana Allah semata-mata.

d. Atas dasar itulah kita katakan bahawa usaha kita sebagai Perjuangan Rabbani (minallah. ilallah, lillah) Bukan Yang lain.

e. Dakwah perlu dilakukan secara kolektif (jama`ii). Ini dapat dilihat dari firmanNya ‘aku dan orang-orang yang mengikutiku’.

f. Dakwah perlu dilakukan atas kejelasan ilmu dan hujah bukan atas ikut-ikutan. Ini dapat dilihat dari firmanNya ‘mengajak (kamu) kepada Allah atas hujah (basirah) yang nyata’. Untuk melakukan dakwah atas ilmu, pendakwah perlulah faham dan sentiasa berfikir.

2. Ayat ini juga mengajar kita sumber-sumber kekuatan dakwah, iaitu

a. Kekuatan manhaj. Ini dapat dilihat dari perkataan ‘Katakanlah’, ‘Jalan (agama)ku’, ‘Atas hujah (basirah)‘.

b. Kekuatan kepimpinan dan jamaah. Ini dapat dilihat dari perkataan ‘Aku dan mereka yang mengikuti ku’. ‘Aku’ itu merujuk kepada Rasulullah s.a.w sebagai simbol kepimpinan dakwah. Gabungan ‘Aku’ dan ‘mereka yang mengikuti ku’ adalah simbol berjamaah.

c. Kekuatan disiplin. Ini dapat dilihat sifat sahabat yang taat ‘mengikuti’ Rasulullah s.a.w, istiqamah atas manhaj dan niat semata-mata kerana Allah taala. Tanpa disiplin, segala prinsip yang dinyatakan akan mudah diabaikan. Apabila prinsip telah ditinggalkan, maka jadilah dakwah sebagai usaha yang  memenatkan sahaja.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.