Pelajaran 18 – Tuntutan Untuk Berinteraksi Dengan Orang Bukan Muslim

Allah taala berfirman

قُلۡ يَٰٓأَيُّهَا ٱلۡكَٰفِرُونَ ١

لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ ٢

وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٣

وَلَآ أَنَا۠ عَابِدٞ مَّا عَبَدتُّمۡ ٤

وَلَآ أَنتُمۡ عَٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ ٥

لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِيَ دِينِ ٦

“Katakanlah ‘Wahai Orang-orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku agamaku’.” (Al-Kaafiruun : 1-6)

Pelajaran

1. Allah taala mendedikasi satu surah khusus bagi menerangkan prinsip bahawa orang Islam tidak boleh mengikuti cara keagamaan golongan bukan Islam dan dasar toleransi beragama dalam Islam. Dalam surah ini, tiada mesej lain kecuali mesej tersebut. Ini menunjukkan betapa pentingnya mesej ini bagi umat Islam.

2. Surah ini bukan hanya mengajar umat Islam agar tidak mengikuti amalan keagamaan penganut agama lain tetapi juga mengajar umat Islam agar menghormati dan menjamin kebebasan mereka untuk melaksanakan amalan agama mereka – ‘Untukmu agamamu, dan untukku agamaku’.

3. Pernyataan dalam surah ini ‘Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah…..Untukmu agamamu, dan untukku agamaku’ bukanlah anjuran agar umat Islam mengasingkan diri dari golongan bukan Muslim semata-mata untuk menjaga kemurnian amalan agamanya dan untuk mengelakkan campur aduk dengan amalan bukan Islam. Pengertian dalam surah ini tidak seharusnya menjadikan kita bersifat ekslusif kepada masyarakat kita sahaja.

4. Sebaliknya surah ini ialah anjuran untuk kita sentiasa berinteraksi (engage) dengan golongan bukan Islam sebagai sebahagian dari misi dakwahnya. Mengapakah prinsip ini dijelaskan? Kerana bagi meletak garis pandu bagi kita dalam berinteraksi dan bermuamalah dengan golongan bukan Muslim. Tanpa interaksi dan muamalah, tiada keperluan kepada prinsip ini. Prinsip ini tidak dijelaskan dalam satu situasi yang kosong (vacuum). Sejarah turun surah ini juga menjelaskan bahawa ia diturunkan sebagai natijah dari interaksi dan muamalah Rasulullah s.a.w dalam berdakwah kepada golongan bukan Muslim.

5. Ertinya surah ini memberi pengertian bahawa umat Islam hendaklah berusaha untuk berinteraksi dengan golongan bukan Muslim dalam misi dakwahnya, namun hendaklah memperhatikan prinsip yang dinyatakan.

6. Dalam situasi masyarakat Islam juga berada dalam kejahilan terhadap agama, usaha dakwah terbahagi antara keperluan dakwah kepada masyarakat Muslim dan dakwah kepada bukan Muslim. Oleh kerana Islam adalah agama yang seimbang, maka kita juga haruslah mengambil sikap yang seimbang antara dua tuntutan ini. Kita dan badan dakwah haruslah mempunyai peranan dalam dakwah kepada masyarakat Muslim dan bukan Muslim. Kadar dan peratusan yang diberi kepada  setiap satu mungkin berbeza-beza mengikut pertimbangan masing-masing tetapi peranan dalam kedua-dua bidang itu mesti ada. Jika kita hanya sibuk dengan usaha dakwah kita kepada masyarakat Muslim sahaja, apakah jawaban kita nanti jika di akhirat seorang bukan Islam membela dirinya dari dihumban ke neraka dengan mengadu kepada Allah taala bahawa dia sememangnya tidak pernah mendengar mengenai Islam dari mana-mana pihak di sini, dan didapati pembelaan dia benar?

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.