Petunjuk 19 – Antara Harapan & Kekesalan

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan hanya kepunyaan Allah, apa sahaja yang ada dilangit dan apa yang ada di bumi supaya dia memberi balasan kepada orang yang berbuat jahat terhadap apa yang mereka kerjakan dan memberi balasan kepada orang yang berbuat baik dengan pahala yang baik (syurga). (Iaitu) orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunannya dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.” (An-Najm : 31-32)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Manusia di sisi Allah taala berbeza-beza. Ada yang melakukan dosa besar, ada yang sentiasa melakukan kebaikan yang banyak dan ada yang melakukan dosa-dosa kecil. Allah taala juga membalas amalan mereka berbeza-beza – ada yang diazab, ada yang diberi ganjaran syurga dan ada yang mendapat keampunan, walau pun melakukan dosa. Kita juga mestilah membeza-bezakan jenis manusia dan melayan mereka sejajar dengan layanan Allah taala terhadap mereka – bersikap keras, bersikap lembut dan pemaaf. Menyamaratakan manusia dan layanan terhadap mereka tidak sejajar dengan perlakuan Allah taala.

 

2. Kita bukan sahaja dianjurkan untuk berbuat baik tetapi berbuat ihsan (lafaz asal Ahsanuu) dalam beribadah.

 

3. Allah taala mengakui bahawa manusia akan jatuh dalam dosa dan bersedia untuk mengampunkannya asal sahaja mereka mahu memohon keampunanNya. Kehinaan sebenar bukan terletak kepada perlakuan dosa tetapi terletak kepada keengganan untuk mengakui perlakuan itu, menyesalinya dan memohon keampunan terhadapnya. Begitulah sikap kita kepada pelaku dosa – menerima kelemahan mereka dan mencetuskan harapan.

 

3. Allah taala memberi pengharapan kepada manusia yang ikhlas dalam beriman dan kekal dalam beribadah tetapi jatuh dalam dosa-dosa kecil kerana kelemahan semulajadi seorang insan, dengan keampunan. Janganlah pula kita menafikan pengharapan ini dari golongan seperti ini dengan mencela, mengkritik dan menyisih manusia yang jatuh dalam kelemahan diri. Kadangkala dalam usaha kita untuk mendidik seseorang, kita menjadi terlalu keras sehingga menuntutnya dengan sesuatu yang tidak realistik dan sejajar dengan fitrah manusia. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Berikan berita gembira dan jangan membuat mereka lari…” (Riwayat Al-Bukhari)

 

4. Kita hendaklah sentiasa menghidupkan dalam diri rasa takut terhadap dosa, walau sekecil mana sekalipun. Namun, apabila didapati seseorang itu jatuh dalam dosa, hendaklah memberi pengharapan kepada mereka akan rahmat dan keampunan Allah taala. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Allah taala berfirman ‘Wahai anak Adam, sesugguhnya jika engkau berdoa dan berharap kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan dosa untukmu atas apa yang telah kau lakukan dan Aku tidak akan peduli. Wahai anak Adam, sekiranya dosa kamu mencapai setinggi langit, kemudian kau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan mengampunkan kau. Wahai anak Adam, jika kau mendatangiKu dengan dosa sepenuh dunia kemudian kau bertemuKu tanpa mensyirikkanKu, Aku akan mendatangi kau dengan kemapunan sepenuh dunia.” (Riwayat Muslim)

 

5. “Janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.” Islam melarang sikap ‘mensucikan diri’ (hollier than thou). Ingat! Allah taala memasukkan wanita pelacur ke dalam syurga kerana membantu seekor anjing yang kehausan. Allah taala mengampunkan dosa seorang yang telah membunuh 100 jiwa kerana mati dalam perjalanan untuk bertaubat. Seseorang yang merasa banyak amal dakwahnya, banyak ibadahnya, banyak ilmunya tetap tidak terjamin syurga bagi dirinya kerana sehasta baki umur yang dia ada, digunakan untuk melakukan amal ahli neraka lalu diambil nyawanya, boleh menghapuskan segala amal yang dahulu.