Pelajaran 22 – Peranan Rakan Seperjuangan Dalam Dakwah

وَٱجۡعَل لِّي وَزِيرٗا مِّنۡ أَهۡلِي ٢٩

هَٰرُونَ أَخِي ٣٠

ٱشۡدُدۡ بِهِۦٓ أَزۡرِي ٣١

وَأَشۡرِكۡهُ فِيٓ أَمۡرِي ٣٢

كَيۡ نُسَبِّحَكَ كَثِيرٗا ٣٣

وَنَذۡكُرَكَ كَثِيرًا ٣٤

إِنَّكَ كُنتَ بِنَا بَصِيرٗا ٣٥

Allah taala berfirman

“Dan jadikanlah aku seorang pembantu dari kalangan keluargaku. (Iaitu) Harun, saudaraku. Teguhkan dengan dia kekuatanku. Dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku. Supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau. Dan banyak mengingat Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Melihat (keadaan) kami.” (Taha : 29 – 35)

Pelajaran

1. Ayat ini menceritakan bagaimana nabi Musa a.s meminta Allah taala agar diberi pendokong dalam kerja dakwah dan mensifatkan sifat pendokong dakwah yang baik.

2. Sebagaimana dakwah itu perlu dilakukan secara berjamaah, kita secara individu juga memerlukan pendokong atau rakan / beberapa rakan yang rapat dalam perjuangan.

3. Oleh kerana setiap mukmin itu pembantu bagi mukmin yang lain dalam urusan amar makruf dan nahi munkar, maka perlulah seorang mukmin untuk menghiaskan dirinya dengan sifat-sifat seorang rakan seperjuangan / pendokong dakwah yang baik – sifat ‘Harun’ bagi nabi Musa a.s.

4. Sebagai rakan seperjuangan, kita mestilah memainkan peranan berikut 

a. Meneguhkan saudara kita dalam usaha dakwah dengan membantu dia melalui pelbagai cara. Kehadiran kita bersama saudara kita hendaklah menatijahkan rasa kekuatan dalam diri saudara kita. Kehadiran kita merupakan aset bukan beban kepada saudara kita.

b. Sentiasa bersama dalam kerja. Bukan rakan seperjuangan yang sebenar, jika kita sentiasa membiarkan saudara bersendirian melaksanakan kerja dakwah sedangkan kita berehat di rumah. Bukan rakan seperjuangan yang sebenar, jika kita tidak merasa bersalah untuk datang lewat atau pulang awal sehingga saudara kita harus memikul kerja yang lebih dari kita untuk menyempurnakan sesuatu urusan. Bukan rakan seperjuangan yang sebenar, jika kita sentiasa menolak kerja kepada saudara kita sehingga kerja kita menjadi kerja dia dan kerja dia kekal menjadi kerja dia.

c. Saling mentarbiyah untuk mendekatkan diri kepada Allah taala dengan tasbih dan zikir. Sebagai rakan seperjuangan, kita menjadi inspirasi bagi saudara kita untuk beribadah dan menggandakan amal bukan melekakan dia atau menjadi sumber lagho (kelalaian).

d. Kehadiran kita memantapkan perasaan bahawa Allah taala sentiasa melihat

perbuatannya.

5. Kita hendaklah menjadi sumber kekuatan, motivasi, bantuan dan tazkirah. Kita adalah cermin bagi saudara kita dan dia adalah cermin bagi kita dan rakan seperjuangan di jalan dakwah.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.