Petunjuk 24 – Memberi Ganjaran Dalam Dakwah

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“(Mereka mengerjakan yang demikian itu) Supaya Allah memberi balasan kepada mereka (dengan balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan, dan supaya Allah menambah kurniaNya dengan mereka. Dan Allah memberi rezki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa batas.” (An-Nur : 38)

 

“Dan orang-orang beriman dan beramal soleh, benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari yang mereka kerjakan.” (Al-`Ankabut : 7)

 

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai, seratus biji. Allah melipat gandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah : 261)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Ayat-ayat diatas memberi gambaran mengenai sifat pemurah bagi Allah taala dalam memberi ganjaran kepada hamba-hambanya yang telah berkhidmat di jalanNya. Terdapat banyak ayat yang seumpama di atas dalam Al-Quran.

 

2. Satu karakteristik yang ditonjolkan ialah Allah taala sentiasa membalas kebaikan dengan balasan yang lebih baik dan berganda-ganda.

 

3. Kita tidak bekerja di jalan dakwah ini dengan mengutamakan ganjaran dunia. Namun dalam menjayakan usaha dakwah, kita akan sentiasa memerlukan sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak. Baik pihak itu sebagai staf, aktivis atau ahli keluarga.

 

4. Sebagai mencontohi kemuliaan sifat Allah taala dan tanda kehalusan budi, berikanlah ganjaran yang terbaik bagi setiap khidmat, sokongan dan bantuan yang telah diberikan. Sesungguhnya mereka yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah taala.

 

5. Dalam memberi ganjaran yang terbaik, ia juga haruslah dilakukan dengan cara yang tidak berlebih-lebihan dan tidak kikir (Al-Furqan : 67) dan pada batas kemampuan.

 

6. Di saat manusia tidak mampu memberi ganjaran yang baik atau tidak bersyukur atas usaha baik yang telah dilakukan, kita tidak sekali mengubah pendirian bahawa apa yang ada di sisi Allah taala itu lebih baik dan besar dan Allah taala tidak akan sekali-kali mengabaikannya atau mensia-siakan amalannya.