Petunjuk 3 – Usaha Untuk Melindungi Dakwah

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Lut berkata Seandainya aku ada mempunyai kekuatan (untuk menolakmu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat” (Hud : 80)

 

“Mereka berkata Hai Syuaib, kami tidak mengerti apa yang kamu katakan itu dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah di antara kami; kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami telah merejam kamu, sedang kamu pun bukanlah orang yang berwibawa di sisi kami.” (Hud :

91)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Lut berharap mempunyai sokongan keluarga yang kuat bagi menyokong dakwahnya. Kaum nabi Syuaib pula terhalang dari mengganggu beliau kerana keluarganya yang berada dibelakangnya.

 

2. Gerakan dakwah pada ketika lemah hendaklah berusaha untuk membina sokongan dari sumber kekuatan atau tampuk kuasa bagi menjaga dakwahnya dari gangguan musuh dan menjaga para pendakwahnya. Tampuk kuasa ini boleh dalam bentuk naungan keluarga yang kuat atau individu atau kuasa lain.

 

3. Adalah menjadi kebijaksanaan pendakwah untuk sentiasa mencari sumber kekuatan ini setiap masa dan memenangi sokongan mereka.

 

4. Walaupun dakwah kita adalah benar dan dijanjikan bantuan Allah yang maha agung, tapi ia tidak bermakna kita harus berdiam diri dari berusaha untuk menjaga keamanan dakwah dan pendakwah.

 

5. Hakikat ini ditunjukkan juga oleh Rasulullah s.a.w yang sentiasa membina kekuatan bagi menjaga dakwahnya dengan berlindung di bawah Abu Talib, keluarganya Bani Hashim, berlindung di bawah kabilah ketika pulang dari Taif dan memerintah sahabatnya untuk berlindung di Habsyah.

 

6. Walau bagaimana pun, perlulah dipastikan bahawa perlindungan ini diterima dari elemen yang boleh dipercayai (tidak semestinya muslim) dan tidak menggadaikan prinsip Islam.