Petunjuk 30 – Mencari Pujian Dalam Dakwah

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Janganlah sekali-kali kamu menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan, janganlah kamu menyangka bahawa mereka terlepas dari siksa dan bagi mereka siksa yang pedih.” (Ali Imran : 188)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Walau pun asal ayat ini diturunkan ke atas Ahli Kitab dan orang-orang munafiq, namun keumuman ertinya mengajar kita agar jangan cepat bergembira dengan usaha yang telah kita buat dan jangan pula mencari kepujian dan kemuliaan dari apa yang kita tidak lakukan.

 

2. Dalam larangan untuk bergembira terhadap apa yang telah dikerjakan mengandungi pesanan agar tidak cepat merasa selesa (complacent). Yang dituntut dari kita ialah rasa syukur dan apabila kita memperkatakan tentang sesuatu tugas yang telah disempurnakan ia adalah atas dasar kesyukuran bukan complacency.

 

3. Dalam larangan untuk mencari pujian pada perkara yang tidak dilakukan, selain ia merupakan adab yang perlu dipelihara oleh kita, ia juga mengandungi garis pandu bagaimana badan dakwah mengusahakan program pembangunan imej dan perhubungan awamnya.

 

4. Seringkali dalam usaha untuk memberi gambaran imej yang positif dan mencapai objektif perhubungan awamnya, gerakan dakwah terdorong untuk membuat dakwaan-dakwaan terhadap pencapaian-pencapaian dengan sokongan statistik dan lain-lain. Amalan ini kadangkala tidak memberi gambaran sebenar atau merupakan dakwaan terhadap sesuatu yang bukan dari hasil usaha langsungnya. Ini adalah satu kecelaan yang perlu dijauhi. Dalam sebuah hadits Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang mendakwa satu dakwaan yang bohong agar membanyakkan manfaat dengannya, Allah tidak akan menambah baginya kecuali sedikit (kekurangan).” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)