Pelajaran 34 – Sumber-Sumber Kekuatan Dakwah II

Allah taala berfirman

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢

“Dan beristiqamahlah sebagaimana engkau (Muhammad) telah diperintahkan dan mereka yang bertaubat bersama kau dan janganlah kamu semua melampau, sesungguhnya Dia terhadap apa yang kamu lakukan maha melihat.” (Hud: 112)

Pelajaran

1. Ayat yang ringkas ini mengandungi beberapa asas kekuatan bagi umat Islam, iaitu:

a. Kekuatan komitmen. Ini dapat diambil dari kekata perintah beristiqamah. Sesungguhnya dalam istiqamah itu mengandungi tuntutan komitmen yang kuat. Tanpa komitmen, sukarlah seseorang itu untuk beristiqamah dengan agamanya, kerja dakwah dan organisasi yang dia berada.

b. Kekuatan manhaj/ideologi. Ini dapat dilihat dari kekata ‘sebagaimana yang engkau telah diperintahkan’, iaitu Islam. Islam adalah sumber kekuatan bagi manusia dan umatnya. Para sahabat dahulu ramai yang hina tetapi dengan Islam mereka menjadi mulia. Maka untuk membina kekuatan dalam umat Islam, Islam tidak boleh diabaikan. Diperingkat peribadi dan organisasi, perlulah dipastikan bahawa usaha dakwah dilakukan bukan hanya dengan semangat tetapi diasaskan atas ‘ideologi’ yang mantap. Apabila seseorang berada dalam sebuah organisasi, maka perlulah ia bertanya apakah ideologi yang menjadi asas kerja organisasi itu dan sejauhmanakah kekuatan ideologi itu bila diuji.

c. Kekuatan akhlaq / spiritual. Ini dapat dilihat dari sifat taubat yang dinyatakan dalam ayat itu. Taubat adalah langkah untuk membersihkan rohani dari dosa. Kekuatan rohani tidak dicapai kecuali jika ia bersih. Taubat adalah puncak sifat rohani. Maka ia adalah simbol kekuatannya. Perjuangan yang tidak didokong oleh kekuatan rohani akan tidak tahan diuji.

d. Kekuatan berjamaah / ukhuwwah. Ini dapat dilihat dari kekata ‘yang bersama kamu’. Ayat ini bermula dengan perintah kepada nabi Muhammad s.a.w lalu disertakan bersamanya orang-orang yang beriman, bagi menonjolkan elemen berjamaah. Tiada perjuangan yang dapat dijayakan tanpa usaha kolektif.

e. Kekuatan disiplin. Ini dapat dilihat dari perintah agar jangan melampau. Pelampauan berlaku apabila melanggar batas-batas yang ditetapkan. Pelampauan berlaku apabila tidak ada disiplin dalam diri atau organisasi dari melanggar batas. Aktivis dakwah dan organisasi dakwah yang tidak disiplin tidak dapat diharapkan untuk memimpin kejayaan perjuangan ini. Tanpa disiplin boleh menatijahkan fatal dan pendek nafas bagi aktivis dakwah dan organisasi dakwah.

f. Kekuatan muraqabah. Ini dapat dilihat dari pernyataan bahawa Allah taala maha melihat apa yang kita lakukan. Muraqabah adalah nilai yang mendasari sifat disiplin dalam diri. Kerana kesedaran terhadap Allah maha melihatlah, seseorang itu sentiasa menjauhi batas-batas yang dilarang, baik waktu sendirian atau terang-terangan. Dalam konteks organisasi dakwah, selain muraqabah dibina dalam diri, muraqabah juga dapat dilihat dalam erti proses pemantauan dan audit bagi menjaga kesolehan organisasi itu.