Pelajaran 38 – Menguasai Perasaan & Kepentingan Keyakinan Diri

Allah taala berfirman

وَإِذۡ نَادَىٰ رَبُّكَ مُوسَىٰٓ أَنِ ٱئۡتِ ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ١٠

قَوۡمَ فِرۡعَوۡنَۚ أَلَا يَتَّقُونَ ١١

قَالَ رَبِّ إِنِّيٓ أَخَافُ أَن يُكَذِّبُونِ ١٢

وَيَضِيقُ صَدۡرِي وَلَا يَنطَلِقُ لِسَانِي فَأَرۡسِلۡ إِلَىٰ هَٰرُونَ ١٣

وَلَهُمۡ عَلَيَّ ذَنۢبٞ فَأَخَافُ أَن يَقۡتُلُونِ ١٤

قَالَ كـَلَّاۖ فَٱذۡهَبَا بِـَٔايَٰتِنَآۖ إِنَّا مَعَكُم مُّسۡتَمِعُونَ ١٥

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu menyeru Musa (dengan firmanNya) ‘Datangilah kaum yang zalim itu’. (Iaitu) kaum Firaun, mengapa mereka tidak bertakwa? Berkata Musa ‘Ya Tuhanku, sesungguhnya aku takut mereka akan mendustakan aku. Dan (kerananya) sempitlah dadaku dan tidak lancar lidahku, maka utuslah (Jibril) kepada Harun. Dan aku berdosa terhadap mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku. Allah berfirman ‘Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan).” (Al-Syu`ara: 10- 5)

Pelajaran

1. Allah taala menceritakan perasaan nabi Musa a.s ketika menerima perintah dan tanggungjawab dakwah. Nabi Musa a.s merasa gerun dan gementar dengan tugas berkenaan.

2. Adalah menjadi lumrah bagi manusia untuk merasa gementar dengan tanggungjawab dan amanah dakwah yang terbeban atas bahunya. Ia adalah sebahagian dari sifat kemanusiaan yang semula jadi. Hatta seorang nabi yang gagah seperti Musa a.s juga dihinggapi perasaan sedemikian. Namun, perlulah kita mencontohi nabi Musa a.s kerana beliau tidak membiarkan perasaan itu menguasai dan menghantui diri sehingga dia menjadikan alasan untuk menjauhi atau mengelak dari tugas dakwah. Sering kali kita bertemu dengan ‘pendakwah’ yang menolak tugas dakwah semata-mata kerana melayan rasa gerun dan gementar dalam diri dengan berkata ‘Saya tidak mampu’, ‘Tugas ini terlalu berat’, ‘Saya tidak layak’ dll.

3. Hakikatnya perasaan sedemikian adalah lumrah manusia. Apa yang perlu dilakukan oleh kita dalam menghadapi situasi seperti itu ialah untuk menilai secara objektif kepentingan tugas itu dan bagaimana dia dapat menyumbang untuk menjayakannya. Perasaan sedemikian hendaklah diatasi sebagaimana yang ditunjukkan oleh nabi Musa. a.s. Sebaik-baik cara mengatasi perasaan itu ialah dengan mengadu kepada Allah taala kerana Dialah yang menguasai perasaan dan hati manusia.

4. Perhatikan, bahawa nabi Musa a.s apabila mengadu kepada Allah taala akan perasaannya, dia tidak memohon agar dilepaskan dari amanah itu tetapi dia memohon agar diberi bantuan bagi menunaikannya. Ertinya dia tidak melarikan diri dari tugas dan memberi alasan untuk tidak menerimanya kerana kelemahan diri. Sebaliknya dia memohon sokongan dan bantuan.

5. Oleh itu, dalam menghadapi tugas dakwah dan kelemahan diri, mengadulah kepada Allah taala untuk memperolehi bantuan dan jangan lari dari tugas sebelum mencuba.

6. Tugas dakwah, dalam apa jua marhalah, sentiasa memerlukan keyakinan diri untuk menjayakannya. Tidak mungkin seorang aktivis dakwah atau gerakan dakwah itu berjaya menghadapi Firaun zamannya, sebagaimana nabi Musa a.s tanpa keyakinan diri. Aktivis dakwah atau gerakan dakwah yang ‘timid’ tidak akan mencipta sejarah dan tidak layak untuk memimpin panji-panji dakwah. Maka sesiapa sahaja atau mana-mana organisasi yang mempunyai aspirasi untuk menjadi pemain peranan utama dalam dakwah, perlulah membina keyakinan diri dan perlulah juga membina keyakinan diri dalam setiap anak didik yang ditarbiyah olehnya.

7. Aktivis dakwah yang merasa cukup dengan memainkan peranan-peranan pinggiran sahaja di sepanjang jalan dakwah, sesungguhnya dia telah tidak menghayati anjuran berlumba-lumba dalam membuat kebajikan dan ihsan dalam beramal.

8. Allah taala menjanjikan nabi Musa a.s keselamatan dari dibunuh oleh Firaun dan Dia tidak meningkari janjiNya. Sememangnya Allah taala tidak menjanjikan sedemikian bagi semua pendakwah tetapi Dia menjanjikan bantuan, sokongan, kemenangan dan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang berusaha di jalanNya, dan Dia tidak akan juga mengingkari janjiNya ini.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.