Pelajaran 41 – Menghadapi Kesempitan Dan Kesulitan

Allah taala berfirman

قَالَ بَلۡ سَوَّلَتۡ لَكُمۡ أَنفُسُكُمۡ أَمۡرٗاۖ فَصَبۡرٞ جَمِيلٌۖ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَأۡتِيَنِي بِهِمۡ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡعَلِيمُ ٱلۡحَكِيمُ ٨٣

وَتَوَلَّىٰ عَنۡهُمۡ وَقَالَ يَٰٓأَسَفَىٰ عَلَىٰ يُوسُفَ وَٱبۡيَضَّتۡ عَيۡنَاهُ مِنَ ٱلۡحُزۡنِ فَهُوَ كَظِيمٞ ٨٤

قَالُواْ تَٱللَّهِ تَفۡتَؤُاْ تَذۡكُرُ يُوسُفَ حَتَّىٰ تَكُونَ حَرَضًا أَوۡ تَكُونَ مِنَ ٱلۡهَٰلِكِينَ ٨٥

قَالَ إِنَّمَآ أَشۡكُواْ بَثِّي وَحُزۡنِيٓ إِلَى ٱللَّهِ وَأَعۡلَمُ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٨٦

يَٰبَنِيَّ ٱذۡهَبُواْ فَتَحَسَّسُواْ مِن يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَاْيۡـَٔسُواْ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ لَا يَاْيۡـَٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨٧

“Ya’qub berkata ‘Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.

Dan Ya’qub berpaling dari mereka (anak-anaknya) seraya berkata ‘Aduhai duka citaku terhadap Yusuf’ dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya (terhadap anak-anaknya).

Mereka berkata ‘Demi Allah, senantiasa kamu mengingati Yusuf sehingga kamu menghidap penyakit yang berat atau termasuk orang-orang yang binasa.

Ya`qub menjawab ‘Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadu kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu putus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.” (Yusuf: 83-87)

Pelajaran

1. Ayat ini menceritakan kisah nabi Ya’qub yang kehilangan dua orang anak yang dikasihinya iaitu Yusuf dan Benjamin. Di dalamnya mengandungi banyak pengajaran bagi para pendakwah dalam menghadapi kesulitan dan kesempitan dalam kehidupan.

2. Sikap nabi Ya`qub dalam menghadapi kehilangan anak-anaknya dapat disimpulkan sebagai berikut;

a. Sabar yang berterusan.

b. Optimis dengan janji Allah taala (nabi Ya`qub tahu bahawa anak-anaknya tidak mati dan akan dikembalikan oleh Allah taala melalui wahyu).

c. Tidak mudah putus asa.

d. Berbuat baik kepada mereka yang melakukan kesalahan (nabi Ya`qub tidak membalas kejahatan anak-anaknya dengan kejahatan dan kekasaran).

e. Menjaga adab sepanjang masa, hatta dalam waktu-waktu susah dan menekan.

f. Pengasih dan bersedia untuk memaafkan (nabi Ya`qub memaafkan anak-anaknya setelah mereka kesal dengan kesalahan yang dilakukan).

g. Menjauhi sikap membalas dendam.

h. Berusaha berterusan sebagai tanda tidak putus asa (nabi Ya`qub menyuruh anak-anaknya terus mencari Yusuf dan adiknya).

i. Menjadikan Allah taala tempat mengadu.

3. Satu perkara istimewa yang perlu dipelajari dari kisah ini ialah walau pun nabi Ya`qub memperoleh wahyu dari Allah taala mengenai keadaan Yusuf yang tidak dibunuh, dia tidak menggunakannya untuk berhujah dan menangkis dakwaan anak-anaknya kerana wahyu adalah satu kurniaan khusus yang tidak dapat dibuktikan secara tabi`ii. Ini memberi pengajaran kepada kita khususnya para pemimpin bahawa pengetahuan khusus yang dimiliki tidak memadai untuk dijadikan sandaran bagi membuat keputusan atau menghukum sesuatu perkara yang berkaitan dengan maslahat umum. Seorang pemimpin tidak wajar berkata “Saya buat seperti ini kerana saya tahu apa yang kamu tidak tahu tapi saya  tidak dapat beritahu kamu apa yang saya tahu.”

Walau pun kemungkinan si pemimpin bercakap benar, namun dari segi sistem

membuat keputusan, hujah sedemikian akan membuka ruang ketidaktelusan (not transparent) kerana ia tidak dapat dicabar dan didebatkan.

4. Sering kali dalam usaha dakwah kita mengahadapi satu situasi yang amat berat bagi emosi dan jiwa kita. Begitu berat keadaan itu sehingga kita merasa pasrah dan lemah kerana tidak mampu buat apa-apa, seperti wabak SARS yang melanda dan nasib malang yang menimpa para penduduk Iraq. Dalam hal ini, kisah nabi Ya`qub yang sungguh bersedih dengan perpisahan dengan anaknya. Walau pun dia tahu anaknya masih hidup tetapi dia tidak dapat melakukan apa-apa. Dalam situasi seperti ini, dia mengajar kita sikap;

“Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadu kesusahan dan kesedihanku”

“Jangan kamu putus asa dari rahmat Allah”

5. Oleh itu, jangan lupa akan doa Rasul kita “Ya Allah, aku mengadu kepadaMu kelemahan kekuatanku dan sedikitnya usahaku”. “Ya Allah, berikanlah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

6. Kasihanilah diri sendiri dengan membenarkan ia untuk meluahkan perasaannya dan melayan kesedihannya. Kasihanilah orang lain juga dengan membenarkan mereka melakukan sedemikian. Jangan mereka dicela kerana bersedih dengan tuduhan tidak sabar dan tiada pergantungan dengan Allah taala. Lihatlah bagaimana nabi Ya`qub bersedih kerana dia dan kita semua adalah manusia belaka.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.