Petunjuk 46 – Apabila Berhadapan Dengan Penguasa

Allah taala berfirman yang bermaksud

“Mereka bertanya ‘Apakah kamu yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim.’ Ibrahim menjawab ‘Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika mereka dapat berbicara.’ Maka mereka telah kembali kepada kesadaran mereka dan lalu berkata ‘Sesunguhnya kamu sekalian adalah orang-orang yang menganyiaya diri (sendiri).’ Kemudian kepala mereka menjadi tertunduk (lalu berkata) ‘Sesungguhnya kamu (hai Ibrahim) telah mengetahui berhala-berhala itu tidak dapat berbicara.’ Ibrahim berkata ‘Maka mengapakah kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikitpun dan tidak (pula) memberi mudharat kepada kamu? Ah! (Celakalah) kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah. Maka apakah kamu tidak memahami?’ Mereka berkata ‘Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak bertindak.” (Al-Anbiya’ : 62-68)

“Binasa dan terlaknatlah orang-orang yang membuat parit. Yang berapi(dinyalakan dengan) kayu bakar. Ketika mereka duduk di sekitarnya. Sedang mereka menyaksikan apa yang mereka buat terhadap orang-orang yang beriman.” (Al-Buruj : 4-7)

Fiqh Dakwah

1. Antara sasaran dakwah ialah para penguasa. Di dalam Al-Quran terdapat banyak kisah contoh mengenai dakwah dengan penguasa. Di antara kisah itu ialah kisah nabi Ibrahim dengan Namrud, penguasa Babylon (Al-Anbiya’ : 62-68) dan kisah pendakwah budak di Najran, Yaman (Al-Buruj : 4-7). Rujuk buku tafsir untuk memami setiap kisah di atas dengan lebih terperinci.

2. Ayat-ayat di atas menceritakan mengenai dakwah secara bermuwajahah (confront) dengan para penguasa.

3. Kewujudan ayat-ayat ini menunjukkan bahawa bermuwajahah terus dengan penguasa yang zalim itu adalah salah satu pilihan (option) dalam berdakwah, tertakluk pada pertimbangan mudharat, maslahat dan hikmah. Bahkan kadangkala muwajahah itu satu pilihan yang tidak dapat dielakkan seperti yang berlaku dalam kisah surah Al-Buruj.

4. Namun perlulah juga diperhatikan bahawa Allah taala apabila menceritakan kisah-kisah ini, ia bukan hanya menceritakan kisah muwajahah itu tetapi juga menceritakan natijah dari muwajahah berkenaan. Dalam kisah nabi Ibrahim, natijahnya ialah beliau dicampak ke dalam api tetapi diselamatkan oleh Allah taala. Dalam kisah di surah Al-Buruj, natijahnya ialah pendakwah muda itu dibunuh dan orang-orang beriman dicampak ke dalam parit yang berapi.

5. Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa, walau pun bermuwajahah dengan penguasa yang zalim itu dibenarkan oleh syara’ tetapi kita juga perlu sedar dan tahu akan akibat dari tindakannya itu iaitu reaksi keras dari para penguasa yang zalim seperti diazab, dibunuh, dipenjara dan dihalau. Hakikat ini berlaku secara berulang kali, dari zaman dahulu hingga sekarang, sehingga seolah-olah menggambarkan bahawa ia adalah satu sunnah alam.

6. Walau pun kita boleh bersikap positif dengan akibat dari muwajahah itu. Namun pertimbangan yang lebih penting ialah kesan tindakannya itu terhadap maslahat dakwah di sesuatu medan dakwah. Ertinya segala bentuk azab, penjara, pembunuhan dan pengusiran yang dikenakan ke atas pendakwah hendaklah mudharatnya itu tidak lebih besar dari mudharat ke atas dakwah itu sendiri e.g kepupusan dakwah atau kebekuan dakwah disebabkan kehilangan para penggerak dan pemimpinnya.

7. Dalam hal ini, seorang Mujahid berkata ‘Aku lebih suka seorang mujahid yang hidup dari sepuluh orang mujahid yang syahid kerana peperangan ini perlu dimenangkan oleh mereka yang hidup’. Dia mengatakan sedemikian setelah melihat pelbagai tindakan-tindakan cuai dalam pertempuran oleh anak buahnya kerana ingin mengejar syahid.

8. Berusaha untuk memenangkan dakwah ini adalah tanggungjawab kita manakala syahid itu adalah kurniaan Allah taala. Kita hendaklah fokus kepada usaha untuk menunaikan tangungjawabnya kepada Allah taala bukan memfokuskan kepada kurniaan Allah taala sehingga mengabaikan tuntutan tanggungjawab kita. Yang ditanya kepada kita ialah samada kita telah menunaikan tangungjawabnya  bukan samada ada kita mati sebagai syahid atau bukan. Walau pun tidak dinafikan akan kemuliaan syahid dalam Islam.

8. Ini juga mengajar para pemimpin dakwah bahawa dalam memilih strategi dakwah, kepimpinan dakwah bukan hanya memahamkan para pengikutnya akan strategi itu dan bagaimana pelaksanaannya tetapi juga memahamkan mereka akan natijah dari strategi berkenaan. Dengan itu mereka melaksanakan strategi itu dengan kesedaran apa yang baik dan buruk darinya kerana demikianlah yang Allah taala lakukan di dalam Al-Quran apabila menceritakan kisah muwajahah di atas.