Petunjuk 48 – Besarnya Peranan Wanita Dalam Dakwah

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“(Berkata burung Hud-hud) Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar.” (An-Naml : 23)

 

“Berkata dia (Balqis) ‘Hai para pembesar berilah aku pertimbangan dalam urusanku (ini) aku tidak memutuskan sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam majlis (ku) Mereka menjawab ‘Kita adalah orang-orang yang memiliki kekuatan dan (juga) memiliki keberanian yang sangat (dalam peperangan), dan keputusan berada di tanganmu; maka pertimbangkanlah apa yang kamu perintahkan. Dia berkata ‘Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki sesuatu negeri, nescaya mereka membinasakannya dan menjadikan penduduknya yang mulia menjadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat. Dan sesungguhnya aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah dan (aku akan) menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan-utusan itu.” (An-Naml : 32 – 35)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Ayat-ayat di atas mengisahkan kisah Balqis, Penguasa Kerajaan Saba’ di Yaman pada ketika menerima surat dari nabi Sulaiman r.a untuk beriman kepada Allah taala dan tunduk di bawah kekuasaan beliau.

 

2. Ayat di atas merupakan pengakuan dari Allah taala terhadap kewibawaan beliau, sebagai seorang wanita yang memerintah satu kerajaan yang besar (lihat  An-Naml : 23). Ia juga adalah pengakuan Allah taala terhadap keupayaan dan kebijaksanaan dalam menjalankan tugas. Allah taala menceritakan langkah Balqis melakukan permesyuaratan dengan para pembesar, langkahnya untuk mencari huraian secara aman bagi mengelakkan kerosakan terhadap negara dan rakyat serta kata-katanya mengenai amalan raja-raja apabila menguasai sebuah negara. Kesemua itu diceritakan oleh Allah taala tanpa komen yang negatif. Ia adalah petanda penerimaan Al-Quran terhadap perbuatan sedemikian kerana jika perbuatan dan kata-kata itu tidak sejajar dengan syara’, pastinya akan ada komen mengenainya sebagai petunjuk untuk umat Islam.

 

3. Rakaman kisah Balqis dan pengakuan mengenai kebijaksanaan dan kewibawaannya menunjukkan pengiktirafan Al-Quran terhadap kemampuan wanita dan peranan yang boleh dilakukan oleh mereka di dunia ini.

 

4. Allah taala merakam kisah Balqis yang memainkan peranan menjangkau dari peranan tradisi kaum wanita di zamannya atau yang biasa difahami oleh manusia hari ini juga.

 

5. Umat ini tidak akan dapat dibangunkan sepenuhnya dan jentera dakwah tidak akan berkuasa penuh, jika 50% dari asetnya (kaum wanita) tidak dimanfaatkan atau diabaikan. Pemanfaatan mereka haruslah dilihat melebihi dari sebagai pengurus rumah. Sirah Rasulullah s.a.w sendiri penuh dengan kisah kaum muslimah yang terlibat di medan perang, guru kepada para sahabat, ibu kepada para syuhada’, peniaga yang berjaya dan lain-lain.

 

6. Untuk merealisasikan ini;

 

a. Perlulah bagi semua pihak – ibu bapa kepada anak gadis, suami kepada isteri, anak-anak kepada ibu, kaum wanita kepada diri sendiri dan gerakan dakwah kepada aktivis wanitanya – mempunyai sikap yang positif, terbuka dan perspektif yang luas terhadap peranan dan keupayaan wanita dalam usaha dakwah. Perlulah juga setiap pihak memainkan peranan bagi menggerakkan 50% aset masyarakat ini.

 

b. Pembangunan keupayaan (capacity building) ke atas kaum wanita dan segala yang diperlukan bagi membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih besar.

 

7. Kaum wanita adalah milik Allah taala bukan milik para suami atau para penjaganya. Mereka itu hanyalah pemegang amanah agar kaum wanita itu dikembalikan untuk berkhidmat di jalan Allah taala. Syurga tidak dimiliki oleh kaum lelaki hanya dengan berkhidmat pada isteri dan anak-anaknya. Syurga juga tidak dimilik oleh kaum wanita, hanya dengan melayan si suami atau anak-anaknya sahaja.

 

Nota : Yang masyhur di sisi Jumhur Ulama bahawa kaum wanita hanya tidak diharuskan menjawat jawatan kepimpinan tertinggi negara. Selain dari itu, anjuran Islam terhadap mereka sama seperti anjuran kepada kaum lelaki sejajar dengan prinsip quwwah dan amanah.