Pelajaran 7 – Dasar Dalam Membangun Imej Gerakan Dakwah

Allah taala berfirman

إِن تُبۡدُواْ ٱلصَّدَقَٰتِ فَنِعِمَّا هِيَۖ وَإِن تُخۡفُوهَا وَتُؤۡتُوهَا ٱلۡفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّـَٔاتِكُمۡۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ٢٧١

“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang faqir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu, dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah : 271)

Pelajaran

1. Allah taala menganjurkan kita menyembunyikan sedekah / amal dakwah kita. Namun Allah taala juga membenarkan kita untuk menampakkannya. Yang demikian itu, dikatakan oleh para ulama, dalam situasi yang boleh menarik orang untuk mencontohi perbuatan kita, bergabung dalam kerja dakwah dan mencapai maslahat-maslahat dakwah yang penting.

2. Oleh itu, tidak semua usaha dakwah yang ditonjol-tonjolkan itu tercela atau dianggap sebagai menyeleweng dari jalan dakwah.

3. Tidak dinafikan bahawa riya’ itu adalah satu perkara yang halus yang boleh menyelinap dalam hati aktivis dakwah, namun tidaklah wajar untuk sesiapa menghukum individu atau organisasi dakwah yang menonjolkan kerja dakwahnya dengan hukuman yang negatif kecuali dia mempunyai bukti terhadap niat atau tujuan yang  jahat. Asalnya kita dituntut untuk berbaik sangka dan menghukum mengikut apa yang zahir sahaja kerana tiada yang mengetahui hati seseorang kecuali Allah taala.

4. Walau bagaimana pun, tidak salah untuk kita saling memberi peringatan dan menasihat kerana agama adalah nasihat. Cuma, di sana jelas berbeza antara memberi nasihat dengan menghukum.

5. Perlu juga dibezakan antara menonjolkan individu yang melakukan dakwah dan mempromosi organisasi dakwah kerana mempromosi organisasi tidak bermakna mempromosi mana-mana individu. Riya’ pula wujud dalam diri individu bukan organisasi. Walau pun mempromosi organisasi boleh juga menimbulkan riya’ di kalangan individu dalam organisasi itu tetapi risikonya tidaklah sebesar mempromosi individu, maka berbezalah juga hukumnya.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.